INFO MUZIK adalah wadah yang membicarakan tentang (1) sejarah atau tercetusnya sesuatu muzik dan 'subgenre'nya seperti muzik rock, reggae, pop, blues, fusion, bassanova, opera/muzik klasik manakala muzik tempatan seperti gamelan, ghazal dan Melayu Deli. Terdapat karyawan muzik yang memerah idea untuk menghasilkan konsep muzik yang baru berdasarkan pengaruh daripada persekitaran kehidupan seharian mereka; (2) sejarah ringkas asal usul atau pengaruh luar terhadap tarian tradisional Melayu dan Nusantara seperti Tarian Piring, Tarian Lilin, Tarian Asyik, Tarian Daling Daling, Dabus; tarian tradisional etnik tempatan antaranya Ngajat, Sumazau dan Limbai. Juga tarian popular 'mendunia' di peringkat antarabangsa seperti cha cha, salsa, limbo dan tarian gelek; (3) instrument muzik seperti dram, gitar, kompang, rebab, sape, sompoton dan cak lempong; (4) persembahan kesenian tradisional dan pengaruh luar terhadapnya seperti ulek mayang, mek mulong, bangsawan, dondang sayang, rodat, boria, wayang kulit dan dikir barat; (5) persembahan kesenian atau nyanyian bercorak keagamaan seperti nasyid, berzanji, qasidah, berendoi dan kempelingan; (6) tokoh / kumpulan muzik tempatan antaranya M Shariff - penyanyi irama pop yeh yeh, Seha - penyanyi kumpulan Freedom, Quinary M - kumpulan muzik lima bersaudara, Panca Sitara - kumpulan yang cukup sinonim dengan cermin mata gelap, Lefthanded - kumpulan Rock Malaysia yang mula dikenali selepas menyertai Juara Rock 1983, Ahmad Jaafar - komposer, penggubah dan pemuzik tersohor Singapura dan Andre Goh - penyanyi irama tradisional Melayu. Manakala tokoh muzik antarabangsa adalah Kitaro - lagenda muzik dunia, Fela Kuti - pengasas genre muzik Afrobeat, Leo Fender - pencipta dan pengasas kepada jenama gitar ternama di dunia iaitu gitar Fender dan Steven Val - pemain gitar instrumental rock terkenal yang juga merupakan penggubah lagu, vokalis, penerbit dan pelakon; (6) lain-lain topik antaranya lagu 'Negaraku', lagu iklan (jingle), kejuruteraaan audio, tugas DJ, penggubah muzik, pengarah muzik, koir, album runut, lagu raya malar segar, maksud 'diva' dan Anugerah Grammy. |
MENU UTAMA INFO MUZIK |
Mengikut sejarahnya, Tarian Daling Daling sebenarnya berasal dari Sepanyol. Ia dipercayai diperkenalkan oleh tentera Sepanyol kepada penduduk Filipina. Akibat pengaruh yang dibawakan tentera Sepanyol, kini tarian Daling Daling menjadi tarian bagi kaum Sulu yang tinggal di Tawau. Alat muzik yang digunakan ialah 'gabbang' dan dua bilah kayu yang disebut 'bolak-bolak'. Daling Daling ditarikan secara berpasangan, masing-masing tiga penari lelaki dan wanita. |
Tahukah anda, Teen Pop ialah subgenre muzik pop yang disasarkan dan berorientasikan kalangan remaja. Teen pop juga meliputi genre dan gaya muzik seperti pop, dance, R&B, hip hop dan rock. Mengikut sejarah perkembangannya, awal 1960-an adalah era yang dikenali sebagai Golden Age bagi idola remaja pop seperti Paul Anka, Fabian dan Frankie Avalon. Gelombang pertama memberi impak terhadap kegilaan pada teen pop berlaku sekitar pertengahan ke akhir 1980-an, dengan kemunculan artis seperti Debbie Gibson, Tiffany dan New Kids On The Block. |
Tahukah anda, Space Rock adalah subgenre kepada muzik rock. Istilah ini asalnya merujuk kepada kepada kumpulan muzik kebiasaannya progresif rock British era 1970-an dan band psychedelic seperti Hawkwind dan Pink Floyd. Muzik mereka dikategorikan sebagai perlahan, instrumental yang lama dan panjang serta didominasi synthesisers, kerja gitar yang sangat eksperimental dan tema lirik cenderung ke arah fiksyen sains. |
Reggae yang dikatakan tercetus daripada evolusi muzik ska mula bertapak di Jamaica pada tahun 1960-an paling menyerlah selepas ia dipopularkan oleh Bob Marley tidak lama selepas itu. Tidak seperti irama lain, reggae mempunayi kelebihan daripada segi alunan melodi lagu-lagunya yang santai di mana ia mudah untuk dihayati oleh segenap lapisan pendengar. Rentak irama reggae yang perlahan dikuatkan dengan kombinasi alat-alat muzik seperti gitar, bass, perkusi, harmonika dan keyboards menambahkan lagi lontaran iramanya. Selain rentak lagunya yang mudah dikenal pasti, gaya imej penyanyi serta pemuzik reggae yang tampil dengan rambut dreadlock (bersimpul mati) seolah-olah menjadi pengenalan diri mereka. |
Karyawan muzik biasanya akan memerah idea bagi menghasilkan konsep muzik yang baru, segar dan unik. Tujuannya supaya mampu memenuhi selera peminat mereka. Kelainan daripada segi bunyi, susunan muzuk, irama dan penampilan imej yang tersendiri amat penting bagi membezakan antara seseorang artis itu dengan yang lain. Cetusan idea-idea itu antaranya bergantung kepada kreativiti dan pengamatan yang tinggi di kalangan karyawan muzik. Faktor itu turut dipengaruhi oleh persekitaran kehidupan seharian mereka dalam menzahirkan sesebuah konsep muzik. |
Tahukah anda, muzik melampau (extreme music) adalah istilah yang biasa digunakan untuk menjelaskan pelbagai variasi dalam gaya muzikal termasuk subgenre seperti extreme metal, hardrock punk, harcore, techno, industrial, noise dan juga free jazz. Extreme music dikategorikan sebagai muzik yang mengandungi satu atau lebih elemen yang amat tidak disukai oleh pendengar biasa (hinggakan ada pihak mempertikaikan sama ada hasil seni artis boleh dianggap sebagai muzik). |
Tahukah anda, boy band, yang turut disebut sebagai boys band atau boy's band di sesetengah negara, adalah satu lagi jenis kumpulan pop yang menampilkan sekumpulan penyanyi lelaki muda. Anggota kumpulan ini juga kebiasaannya mampu menari dengan baik selain sering menampilkan sekuen reka tari yang menarik mengikut muzik mereka. |
Tahukah anda, Afrobeat adalah kombinasi muzik yoruba, jazz, highlife, ritma funk yang dijalinkan bersama perkusi dan gaya vokal, cukup popular di Afrika sekitar 1970-an. Pengasas utama genre muzik atau rentak ini adalah instrumentalis serba boleh berbangsa Nigeria yang juga ketua kumpulan muzik terkenal, Fela Kuti yang menggunakan muziknya sebagai wadah merevolusi struktur muzik di samping konteks politik penduduk Nigeria. |
Tahukah anda, genre glam rock berkembang dari gelanggang Psychedelic Inggeris dan art rock sekitar akhir 1960-an lagi. Takrifan glam rock diperjelaskan lagi dengan kehadiran artis seperti T Rex, Roxy Music, Steve Harley dan Cockney Rebel dan David Bowie, tidak ketinggalan menerusi kemunculan kumpulan dengan aksi teaterikal seperti The Cocketters, selain penghibur seperti Lindsay Kemp dan Syd Barrett dari Pink Floyd. |
Dram adalah termasuk dalam keluarga alat muzik perkusi dan secara teknikalnya ia dikenali sebagai membranophone. Dram terdiri daripada sekurang-kurangnya satu membran dipanggil kepala dram (drumhead) atau kulit dram (drum skin) yang diregangkan pada kerangka dan perlu secara langsung diketuk atau dipalu menggunakan bahagian tubuh pemuzik atau alat seperti kayu untuk menghasilkan bunyi. |
Bel Canto membawa maksud nyanyian yang indah. Ia adalah terma khusus yang digunakan untuk menggambarkan cara nyanyian orang Itali. Bagi maksud yang lebih dekat lagi, ia bererti kualiti yang ditekankan dan diberatkan di kalangan penyanyi opera Itali untuk menawan khalayak penontonnya. Biarpun cara nyanyian Bel Canto cukup popular, kewujudannya masih kurang jelas. Sejarah kewujudan seni ini juga agak rumit dan misteri. |
Lagu Ulek Mayang yang bermula sebagai kaedah perubatan tradisional menjadi identiti Terengganu kerana menjadi amalan masyarakat Melayu lama sejak beratus tahun lalu. Ini adalah persembahan kesenian tradisional yang masih aktif berkembang beberapa lokasi di Terengganu seperti Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang. Dipercayai Mayang Pinang membangkitkan semangat. |
Tahukah anda, Seloka merujuk kepada puisi Melayu bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama atau tidak. Secara umumnya, ia terdiri daripada ungkapan sejajar yang melebihi daripada dua baris, mempunyai 'kadensa' yang sama seperti talibun dan prosa berirama. Kata Seloka berasal daripada bahasa Sanskerta iaitu sloka. |
Shariff Awang atau lebih dikenali sebagai M Shariff adalah penyanyi irama pop yeh yeh yang mula berkecimpung dalam bidang muzik sekitar akhir dekad 1960-an. M Shariff dilahirkan di Ipoh, Perak pada 1951 mula meminati bidang muzik sejak di bangku sekolah lagi. Bakatnya begitu terserlah sehingga mampu mengadakan konsert di Singapura sekitar akhir 1960-an, selain muncul dalam rancangan hiburan terbitan TV Malaysia ketika itu. |
Tahukah anda, hampir semua genre muzik kecuali muzik tradisional berasal dari muzik fusion. Genre muzik fusion adalah genre yang menggabungkan dua atau lebih genre bersama. Sebagai contoh, rock and roll mengikut asal usulnya terbentuk daripada gandingan fusion antara blues, gospel dan muzik country. Karakter utama genre fusion terletak pada variasi tempo, rhythm dan kadangkala usia perjalanan muzikal yang terbahagi kepada bahagian kecil setiap satu dengan dinamik, gaya dan tempo tersendiri. |
Tahukah anda, Norsehah Abu Bakar atau Seha adalah penyanyi kumpulan Freedom yang cukup popular dengan lagu Mulanya Di Sini, Persamaan dan Jauh Di Rindu era 1980-an. Penyanyi dan penghibur yang cukup versatile ini berasal dari Air Putih, Kuantan, Pahang. Seha dikenali seorang yang periang, mudah didekati, penghibur yang baik serta mahir memilih lagu yang boleh membangkitkan semangat penonton ketika mengadakan konsert. |
Tahukah anda, kumpulan Quinary M adalah kumpulan muzik yang dianggotai lima bersaudara yang pernah menghidupkan pentas seni hiburan tanah air era 1970-an. Quinary M dianggotai Mahani yang bermain percussion, Mahayon (bass), Maznah (gitar), Mazlan (keyboard) dan Mazuin (drum dan vokal). Kumpulan ini mula merakam album pertama pada 1979 berjudul Cinta Palsu diikuti dua lagi album iaitu Kasihku Bagaikan Debu pada 1980 dan Kini Kau Berubah (1981). |
Tahukah anda, kumpulan yang cukup sinonim dengan cermin mata gelap dan lirik popular 'Tara ku cha ... tara ku cha', Pancha Sitara ditubuhkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1955. P Ramlee menubuhkan Pancha Sitara tidak sekadar untuk memberi satu gelombang baru kepada lagu Melayu, malah bagi membendung pengaruh muzik pop Barat seperti kegilaan terhadap The Beatles dan The Platters, kemudian diikuti demam pop yeh-yeh. |
Anugerah Grammy (atau nama asalnya Gramophone Awards) atau Grammys dianjurkan setiap tahun oleh National Academy of Recording Arts and Sciences, Amerika Syarikat atas pencapaian mengagumkan dalam industri muzik. Setiap tahun majlis anugerah ini menyajikan persembahan daripada artis ternama, malah dalam acara Grammy yang cukup menonojol ia disiarkan secara langsung dan meluas di televisyen hingga ke seluruh dunia. |
Tahukah anda, Kitaro atau nama sebenarnya Masanori Takahasni tidak pernah mendapat sebarang pendidikan formal dalam bidang muzik. Insipirasi dan cinta terhadap muzik lahir selepas terpaku dengan irama R&B dendangan Otis Redding. Dari situlah dia terdorong untuk belajar bermain gitar sendiri. |
Tahukah anda, Clarence Leonidas Fender, atau lebih dikenali sebagai Leo Fender adalah pencipta dan pengasas kepada jenama gitar yang cukup bermutu dan ternama di dunia iaitu gitar Fender. Gitar jenama ini cukup tersohor sehinggakan beberapa pemuzik terkemuka dunia lebih cenderung bermain dan memiliki gitar Fender berbanding gitar jenis lain. |
Tahukah anda, sebenarnya sejarah Ibanez - jenama gitar yang cukup terkenal sejak sekian lama bermula pada 1908. Bermula sebagai peniaga kedai muzik kecil-kecilan, Hoshino kemudian berkembang sebagai antara pengedar produk muzik di Nagoya Jepun. Merenung sejarahnya sejak 45 tahun lalu, Hoshino sudah mula mengedarkan Spanish Gitar jenis Ibanez. Sekitar 1960-an, Hoshino akhirnya berjaya mendapatkan hak milik terhadap jenama Ibanez ... |
Tahukah anda, tarian gelek adalah nama Melayu yang diberikan untuk sejenis tarian Arab yang diperkenalkan di Asia Barat. Di Eropah, ia kadang-kadang digelar tarian oriental. Dalam bahasa Turki pula ia dirujuk sebagai oryantal dans atau Tarian Timur. Sesetengah pemuja tarian ini di Amerika merujuknya sebagai Tarian Timur Tengah manakala di Hong Kong, ia dikenali sebagai shimpoli sarmi (Tarian Matahari). |
Tahukah anda, Steven 'Steve' Siro Val (lahir pada 6 Jun, 1960 di Carle Place, New York) bukan saja dikenali sebagai pemain gitar instrumental rock terkenal tetapi penggubah lagu, vokalis, penerbit dan pelakon yang cukup dikagumi. Selepas memulakan kerjaya profesional sebagi 'music transcriptionist' untuk Frank Zappa, Vai merakam album dan menjelajah seluruh benua bersama kumpulan Zappa bermula 1980. |
Tahukah anda, tarian Limbai adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau. Tarian Limbai digerakkan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan. Sebaik saja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di depan pengantin. |
Tahukah anda, The Lefthaded adalah kumpulan rock Malaysia yang mula dikenali sejak 1983. The Lefthanded mulai dikenali ramai selepas menyertai Juara Rock 1983. Kumpulan The Lefthanded kemudian menukar nama kepada Lefthanded. Nama mereka diambil sempena pemain gitar utama mereka yang bermain gitar menggunakan tangan kiri. Sebelum merakam album, mereka sudah aktif di pentas hiburan dan sering menjadi band pengiring antaranya kepada Ramli Sarip dan Rahim Maarof. |
Tahukah anda, tarian Ngajat sangat popular di kalangan orang Iban di Sarawak. Ngajat bagi orang-orang Iban adalah tarian yang di tarikan ketika menyambut Gawai orang-orang Iban sebelum berperang dan selepas musim menuai. Pada zaman dulu ia ditarikan selepas mereka kembali dari berperang. |
Tahukah anda, Screamo adalah subgenre kepada muzik rock yang melalui proses evolusi daripada muzik hardcore punk dan emo pada awal 1990-an. Istilah Screamo pada awalnya digunakan untuk cabang muzik emo yang lebih agresif dan mula berkembang di San Diego pada 1991. Muzik begini biasanya menggunakan tempo pendek dan kedengaran agak huru-hara dan sumbang namun dinamik. Mesej cuba disampaikan pula biasanya ada kena mengena dengan politik. |
Tahukah anda, Britpop adalah subgenre atau pecahan daripada muzik rock alternatif yang berasal dari United Kingdom. Britpop mula muncul dalam senario muzik Indie British pada awal 1990-an dan diberikan karakter berkenaan selepas dipengaruhi muzik berkumpulan terutama elemen muzik gitar pop era 1960-an dan 70-an seperti The Beatles, The Who, The Rolling Stones, The Kinks dan banyak lagi. |
Tahukah anda, lagu malar segar Selamat Hari Raya ciptaan Ahmad Jaafar dendangan Biduanita Saloma mula popular selepas menghiasi filem arahan Datuk L Krishnan pada 1955. Menurut satu artikel, saban tahun lagu ini pasti berkumandang di udara terutama menjelang Aidilfitri. Sekalipun lagu baru datang dan pergi, lagu klasik Selamat Hari Raya nyanyian Allahyarham Puan Sri Saloma versi rakaman 1973, tetap menjadi pilihan peminat. |
Tahukah anda menurut ensiklopedia bebas, berzanji atau barzanji ialah doa, puji-pujian dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad SAW yang dilafazkan dengan suatu irama atau nada yang biasa dilantunkan ketika kelahiran, acara khatan, pernikahan dan sambutan Maulidur Rasul. Isi berzanji bertutur mengenai kehidupan Nabi Muhammad, yang disebutkan berturut-turut iaitu salasilah keturunannya, masa kanak-kanak, remaja, pemuda, hingga diangkat menjadi rasul. Di dalamnya juga mengisahkan sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad, serta berbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia. |
Tahukah anda, nasyid menurut Wikipedia Bahasa Melayu, adalah nyanyian yang biasanya bercorak keagamaan Islam dan mengandungi kata-kata nasihat, kisah nabi, memuji Allah dan yang seumpamanya. Pada awalnya nasyid membawakan alunan bercorak padang pasir, tetapi kini kumpulan nasyid semasa membawa pelbagai rentak bercorak baru kepada pendengar. Pembaharuan ini menjadikan lagu nasyid lebih menarik dan bersifat lebih berdaya saing dalam bidang seni. |
Tahukah anda, terdapat dua sumber rujukan berkaitan asal usul lagu Negaraku sebelum dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia. Pertamanya, ia dikatakan berasal dari Lagu Kebangsaan negeri Perak dan satu lagu popular berjudul Terang Bulan (Trang Bulan). Mengikut cerita Tuan Haji Mustafa AlBakri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, lagu ini digunakan buat pertama kali sebagai Lagu Kebangsaan Negeri Perak pada 1901 iaitu ketika pertabalan Raja Edward VII di England. |
Tahukah anda, berendoi adalah satu kesenian berunsur Islam. Untuk melaksanakan upacara ini, tiga atau empat orang akan berdikir atau menyanyi dengan irama berendoi dalam upacara bercukur seorang bayi yang berusia tujuh hari. Biasanya buaian akan dihiasi indah. Bayi yang dicukur rambutnya akan diletakkan di dalam buaian, dan mulalah nyanyian berendoi yang sarat dengan bait lirik yang memuji Rasullullah. |
Tahukah anda, tarian dabus adalah sejenis tarian Melayu tradisional. Tarian ini berasal dari Perak dan mengandungi unsur keagamaan yang berkait rapat dengan kepahlawanan tokoh dalam sejarah Islam, Saidina Ali. Tarian ini dipercayai mula dipersembahkan di negeri ini sejak 300 tahun lalu. Ada beberapa pendapat yang mempertikaikan kemasukan seni tari dabus ke bumi Perak. |
Tahukah anda, dendang iklan atau dalam bahasa Inggerisnya, Jingle adalah slogan yang dilagukan berlatarkan melodi yang menarik dan catchy biasanya diputarkan di radio dan kadangkala iklan menerusi televisyen. Mengikut sejarah, tidak dapat dipastikan bila sebenarnya jingle yang pertama digunakan. |
Tahukah anda, mengikut menurut Wikipedia Bahasa Melayu, Tarian Lilin pada asasnya adalah tarian yang dipersembahkan oleh sekumpulan penari wanita dengan diiringi sekumpulan pemuzik. Barisan penari membawa lilin yang dinyalakan pada piring dipegang pada setiap belah tangan masing-masing. |
Tahukah anda, mengikut satu rencana berjudul Puisi Ahli Sufi, sebelum kebanyakan negara Islam dijajah, hampir semua sastera yang dihasilkan orang Islam menampilkan ciri daripada ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, iaitu hurufnya dicatat dalam tulisan jawi yang punya keunikan tersendiri. |
Tahukah anda, menurut portal Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, kompang adalah alat muzik yang mempunyai baluh berbingkai yang diperbuat daripada kayu jenis keras yang lazimnya daripada spesies nangka. Nama saintifiknya ialah Artocarpus heterophyllus. |
Tahukah anda, menurut Wikipedia Bahasa Melayu, Rebab adalah sejenis alat muzik bertali yang berasal dari Afghanistan. Rebab menggunakan penggesek dan mempunyai tiga utas tali daripada dawai logam. Rebab juga dianggap tergolong dalam keluarga kecapi. |
Tahukah anda istilah Rock & Roll pertama kalinya disebut oleh juruhebah radio (Deejay) bernama Alan Freed dari Cleveland, Amerika Syarikat pada 1951. Dia mengambil istilah itu daripada lirik lagu 'My Baby Rocks Me With A Steady Roll'. Sudah menjadi kebiasaan pada era itu, penggunaan perkataan rock, roll, rock & roll dan sebagainya dikaitkan dengan adegan ketika melakukan seks. |
Tahukah anda Tarian Asyik adalah sejenis tarian klasik (daerah) Kelantan yang pada asalnya dipersembahkan di istana (Raja-Raja Kelantan). Barisan penarinya ialah kalangan dayang istana. Tarian Asyik selalunya dipersembahkan pada hari perkahwinan, iaitu malam berinai dan malam berinai besar di istana. |
Tahukah anda, tarian Sumazau adalah sejenis tarian tradisional rakyat Sabah yang amat terkenal di Negeri Di Bawah Bayu itu, selain memang dikenali di seluruh Malaysia umumnya. Ia adalah tarian tradisi suku kaum Kadazan-dusun yang sering dipersembahkan pada acara Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Menuai yang dirayakan di negeri itu pada setiap Mei. |
Tahukah anda menurut Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas, Tarian Piring atau dalam bahasa etnik Minangkabau dipanggil Tari Piriang adalah seni tarian milik orang Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat. |
Tahukah anda, mengikut huraian yang dipetik daripada http://butaseni.blogspot.com, persembahan Mek Mulong asalnya dipersembahkan dalam bangsal terbuka, tidak berlantai, tidak berdinding dan hanya terdiri daripada tiang, bumbung dan para di mana pemain duduk dan dikelilingi penonton. Para pula mestilah menghadap ke timur iaitu arah matahari terbit. Peralatan 'jamu' diletakkan di atas para manakala tikar dihampar di tengah-tengah bangsal sebagai lapik tempat duduk. |
Tahukah anda, dari segi latar belakang sejarah, bangsawan adalah perintis kepada persembahan drama moden. Namun, ia tidak membabitkan penggunaan skrip berbanding drama moden kini. Penggiatnya menghafal dialog penting sebagai jalan cerita diikuti dengan dialog lain secara spontan semasa beraksi di pentas. |
Tahukah anda, muzik Baroque menjelaskan satu era dan set gaya muzik klasikal Eropah yang begitu digemari ramai dan tersebar meluas ke seluruh dunia sekitar tahun 1600 dan 1750. Khabarnya, era ini adalah permulaan zaman kebangkitan Renaissance dan ia disusuli dengan era muzik klasikal. |
Limbo ialah sejenis tarian yang berasal dari kepulauan Trinidad, biarpun dalam kebanyakan masa, orang sering menganggap ia berasal dari Hawaii apabila sering dikaitkan dengan limbo. Penari bagi tarian jenis ini menari mengikut irama berentak Caribbean, kemudian melenturkan badan ke belakang dan terus melalui bawah kayu yang diletak secara mendatar tanpa menyentuhnya. Sekiranya mana-mana bahagian tubuh menyentuh palang kayu atau ia terjatuh ke belakang, penari itu dikira batal. |
Tahukah anda, Kempelingan adalah satu persembahan kesenian yang diwarisi dari masyarakat Jawa oleh rakyat di Johor. Ia adalah sejenis permainan genderang yang mengiringi bacaan rawi yang diambil dari berzanji sama ada dalam bahasa Arab (seperti dalam berzanji), bahasa Melayu (terjemahan) atau bahasa Jawa. |
Tahukah anda, Sompoton atau Sumpoton adalah sejenis alat muzik tempatan di Sabah. Ia diperbuat daripada labu air yang dikeringkan. Lapan batang buluh kecil disusun dalam dua lapisan dan dimasukkan ke bahagaian buah labu berkenaan dengan menebuk. Gam kelulut digunakan untuk melekatkan batang buluh terbabit, selain untuk menahan angin daripada keluar melalui celah buluh apabila tiupan dilakukan. |
Tahukah anda, sape ialah sejenis alat muzik tradisional yang digunakan cukup meluas di kalangan Orang Ulu atau 'upriver people', mereka juga adalah masyarakat yang tinggal di rumah panjang di sepanjang tebing sungai Borneo Tengah. Ia juga disebut sampet, sampeh atau sapeh. |
Tahukah anda, bidang kejuruteraan audio adalah sebahagian daripada sains audio yang mencakupi kerja rakaman dan penghasilan semula bunyi menerusi wahana mekanikal dan elektronik. Bidang ini mencakupi pelbagai disiplin termasuk kejuruteraan elektrikal, akustik, psychoacoustics dan muzik. |
Tahukah anda, dalam dunia muzik, arrangement yang bermaksud penggubahan atau penyusunan merujuk kepada sama ada menggubah semula ciptaan lagu sedia ada dengan penambahan material baru dan lebih segar. Ia bagi mengembangkan lagi sesebuah rangka komposisi sebuah muzik. |
Tahukah anda, istilah disc jockey atau DJ adalah individu yang bertanggungjawab memilih dan memutarkan muzik yang dirakamkan terdahulu (prerecorded music) kepada pendengarnya. Terdapat beberapa jenis disc jockey. |
Tahukah anda, gelaran pengarah muzik atau pengarah muzikal digunakan oleh kebanyakan orkestra simfoni untuk menandakan atau menamakan pemimpin utama dan ketua artistik dalam sesebuah orkestra. Panggilan atau gelaran pemimpin prinsipal atau ketua pemimpin juga sering digunakan, terutama di Eropah. |
Tahukah anda, Cak Lempong adalah alat muzik tradisional Melayu yang tergolong dalam keluarga gong yang berukuran kecil. Ia diperbuat daripada gangsa dan menggunakan teknik acuan. |
Tahukah anda, Dondang Sayang mengikut kamus ensiklopedia Wikipedia tumbuh di Melaka sejak kurun ke 16. Ia dipercayai dipengaruhi muzik tradisional masyarakat Portugis yang pernah menjajah bumi Hang Tuah itu. Ia adalah satu bentuk hiburan masyarakat Melayu bersama sub-etnik Baba dan Nyonya, berbalas pantun secara spontan (puisi), dalam gaya santai dan kadangkala melucukan. |
Tahukah anda, permainan rodat adalah satu daripada kesenian rakyat Terengganu yang masih diamalkan hingga kini. Walaupun sekitar era 1960-an, pengaruhnya terganggu seketika berikutan kemunculan bentuk hiburan moden dan relevan dengan perkembangan sosio budaya masyarakat, namun ia tidak pernah dilupakan. |
Tahukah anda, persembahan boria mengikut Wikipedia Bahasa Melayu (ensiklopedia bebas) adalah jenis teater yang amat popular di negara utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Secara umumnya, asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala di Parsi. |
Tahukah anda koir, chorale atau chorus mengikut kamus ensiklopedia Wikipedia, adalah kesatuan sekumpulan penyanyi. Selain itu sekumpulan penyanyi yang membuat persembahan bersama juga dipanggil choir atau chorus. |
Tahukah anda, persembahan wayang kulit mula tersebar meluas di Jawa dan Bali Indonesia, manakala di Malaysia ia cukup meluas di Kelantan dan Terengganu dan kini menjadi salah satu seni persembahan warisan Malaysia. |
Tahukah anda dalam format filem, soundtrack atau runut bunyi adalah sebahagian fizikal dalam sesebuah produk yang merakamkan bunyi serentak. Mengikut terminologi industri perfileman, soundtrack atau track adalah rakaman audio dihasilkan atau digunakan dalam penerbitan filem atau proses pasca produksi. |
Tahukah anda apa maksud diva? Kita sering menggunakan perkataan 'diva' tetapi tidak tahu dalam konteks apa sebenarnya ia digunakan. Menurut Wikipedia, diva ialah gelaran atau panggilan untuk penyanyi opera wanita seperti primadona Renata Tebaldi, Joan Sutherland, Leontyne Price, Maria Callas dan Kiri te Kanawa. |
Tahukah anda dikir barat adalah satu bentuk persembahan nyanyian. Asal usul kewujudannya sehingga kini masih diperdebatkan, namun kebanyakan menerimanya sebagai bentuk seni yang datang dari selatan Thailand atau utara Semananjung Malaysia. |
Tahukah anda, muzik program adalah bentuk seni muzik bertujuan untuk membangkitkan dan menimbulkan idea tambahan, imej yang tergambar di minda pendengar dengan cara mewakili latar muzik tertentu, atau semangat (mood). Secara kontras, muzik mutlak berdiri dengan sendirinya dan wujud hanya untuk dihargai tanpa sebarang rujukan tertentu daripada dunia luar. |
Tahukah anda, gitar adalah alat muzik atau instrument muzik yang lahir dan berakar sejak zaman kuno lagi dan memainkan pelbagai fungsi dalam variasi gaya muzikal. Biasanya, gitar mempunyai enam tali, tetapi terdapat juga jenis gitar dengan empat, tujuh, lapan, 10 dan 12 tali. |
Tahukah anda, opera ialah seni budaya masyarakat Eropah terutama orang Itali, Jerman, Perancis, Russia dan beberapa negara Eropah lain. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa opera mempunyai banyak terminologi yang masih tidak ada di dalam bahasa Melayu dan juga boleh menyebabkan terjemahannya disalahtafsirkan. |
Tahukah anda mengenai muzik J-pop? Ia merujuk kepada muzik popular Jepun - diilhamkan media Jepun, untuk mengiktiraf dan membezakan antara pemuzik Jepun dan asing. Muzik J-pop boleh dikesan dalam muzik jazz yang mula popular ketika awal pemerintahan Showa (ketika pemerintahan Maharaja Hirohito). |
Tahukah anda, muzik heavy metal (juga dikenali sebagai metal) ialah cabang genre muzik rock yang mula berkembang akhir 1960-an dan awal 1970-an. Berakar daripada irama blues-rock dan psychedelic rock, kumpulan muzik yang mencipta muzik heavy metal menghasilkan sound berpusat kepada bunyi gitar dan dram berat dan pekat, karakter sound itu juga dikuatkan distortion yang tinggi dan petikan gitar solo yang pantas. |
Tahukah anda, muzik Gamelan adalah himpunan alat muzik yang biasanya menonjolkan metalofon, gambang, gendang dan gong. Orkes gamelan kebanyakan terdapat di kepulauan Jawa, Madura, Bali dan Lombok di Indonesia dalam pelbagai jenis ukuran dan bentuk yang dipanggil ensembel. Di Bali dan Lombok hari ini, selain di Jawa pada lewat abad ke 18, istilah gong lebih dianggap sinonim dengan gamelan. |
Tahukah anda, Cha-cha-cha (dalam bahasa Sepanyol) juga dikenali sebagai cha cha adalah sejenis tarian yang berlatarkan muzik Cuba yang juga dipanggil cha cha cha. Mengikut sejarah, pada 1951, seorang komposer dan pemain biola berbangsa Cuba, Enrique Jorrin memperkenalkan cha-cha-cha kepada khalayak pengunjung kelab malam di Cuba ketika menganggotai Orquesta Amerika. |
Tahukah anda, Blues adalah bentuk muzik berasaskan kepada penggunaan blues notes. Blue notes adalah karakter tipikal atau biasa melodi jazz dan blues di mana pitching blues hampir pada kerendahan darjah ketiga dan ketujuh dalam skala major seperti B flat dan E flat dalam skala C major. |
Tahukah anda, muzik rock adalah satu bentuk muzik popular yang sering hadir dengan iringan melodi vokal cukup menonjol dan diiringi alat muzik seperti gitar, dram dan gitar bass. Banyak juga gaya muzik rock lain yang cenderung menggunakan instrumen lain seperti keyboard, organ piano dan synthesizer. |
Tahukah anda, perkataan ballad berasal daripada bahasa Latin iaitu Ballare yang bermaksud untuk menari. Dalam jazz dan muzik popular, istilah ballad atau dalam bahasa Malaysia - balada adalah penjelasan untuk lagu yang pendek dalam tempo yang perlahan, biasanya diringi muzik romantik ataupun sentimental. |
Tahukah anda, ghazal atau muzik ghazal adalah puisi yang berasal sekitar 670 Masihi dari Parsi. Ia biasanya bertemakan puisi kasih sayang yang mempunyai pola irama ringan dan diiringi muzik. Ghazal awalnya sangat popular di daerah Muar dan Batu Pahat, Johor. |
Tahukah anda apa itu maksud Melayu Deli? Ia berkait dengan soal bahasa dalam lingua franca Melayu. Jika dikaitkan dengan asal usul bahasa, Bahasa Melayu Deli pada asasnya adalah sama dengan Bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia. Namun, bahasa ini telah banyak dipengaruhi oleh bahasa dari Batak Karo dan pelbagai bahasa di sekitarnya. Bahasa Melayu Deli dituturkan di bahagian utara Sumatera Utara iaitu di daerah Langkat, Deli Serdang dan sebahagian kota Medan. |
Tahukah anda, Bossanova adalah jenis muzik gaya Brazil yang diperkenalkan oleh Vinicius de Moraes, Antôio Carlos Jobim dan João Gilberto. Muzik ini mula diperkenalkan di Brazil sekitar 1958, menerusi rakaman lagu oleh Elizete Cardoso berjudul 'Chega de Saudade' yang dimuatkan dalam LP Cancão do Amor Demais. |
Tahukah anda, lagu malar segar 'Selamat Hari Raya' dendangan Biduanita Puan Sri Saloma, adalah karya emas ciptaan komposer Ahmad Jaafar. Lagu itu pernah menghiasi filem arahan Datuk L Krishnan berjudul SELAMAT HARI RAYA yang diterbitkan Shaw Brothers pada 1955. Filem itu dibintangi Datuk Maria Menado bersama Allahyarham Datuk S Roomai Noor. |
Tahukah anda lagu raya berjudul 'Pulanglah' nyanyian penyanyi bersuara nyaring dan lantang, Aishah punya cerita tersendiri di sebalik pembikinannya. Laporan akhbar tempatan pernah mengangkat lagu itu layak diletakkan satu kelas dengan lagu raya evergreen atau malar segar yang mampu mengimbau nostalgia seperti Dendang Perantau (P Ramlee), Selamat Hari Raya (Saloma), Suasana Hari Raya (Datuk Sharifah Aini) dan Aidilfitri (Sanisah Huri). Barangkali, suasana sambutan hari raya tidak mungkin lengkap tanpa lagu ini kedengaran menerusi corong radio atau koleksi CD peminat muzik. |
Tahukah anda, Andre Goh atau nama asalnya Goh Eng Boon adalah satu-satunya penggiat dan penyanyi lagu irama tradisional dan joget bukan Melayu yang cukup berjaya dan terkemuka di tanah air. Berasal dari Kampung Sialang, Tangkak, Johor, Andre mengakui menjadi satu-satunya keluarga Cina di tengah perkampungan Melayu secara tidak langsung menjadikan keluarganya terikut dengan budaya orang Melayu. |
Dikemaskini 24 September 2024 @ Okt2007 |
untuk berkongsi info @ cadangan boleh hubungi admin: carmahl@gmail.com