'Pulanglah' jadi lagu malar segar

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda lagu raya berjudul Pulanglah nyanyian penyanyi bersuara nyaring dan lantang, Aishah punya cerita tersendiri di sebalik pembikinannya.  Laporan akhbar tempatan pernah mengangkat lagu itu layak diletakkan satu kelas dengan lagu raya evergreen atau malar segar yang mampu mengimbau nostalgia seperti Dendang Perantau (P Ramlee), Selamat Hari Raya (Saloma), Suasana Hari Raya (Datuk Sharifah Aini) dan Aidilfitri (Sanisah Huri).  Barangkali, suasana sambutan hari raya tidak mungkin lengkap tanpa lagu ini kedengaran menerusi corong radio atau koleksi CD peminat muzik.

Pulanglah boleh dianggap sebagai lagu raya generasi baru yang berjaya bersama-sama antaranya Sesuci Lebaran (Siti Nurhaliza) dan Satu Hari Di Hari Raya (M Nasir) meletakkan diri ke tahap malar segar.

Bukan mudah untuk mencipta sebuah lagu raya moden mengikut selera generasi masa kini sehingga mampu digelar klasik hari raya.  Mana tidaknya lagu yang cukup diterima ramai itu kini sudah berusia 17 tahun.

Aishah, pemenang anugerah kategori Vokal Wanita Terbaik AIM 1994 pernah bercerita bagaimana lagu Pulanglah dihasilkan sehingga berjaya menghuni dan menyentuh hati pendengar muzik Melayu sehingga kini.

Syarikat rakaman ketika itu, Sony Music (Sony-BMG) merancang menerbitkan album Hari Raya dan album itu dimuatkan dengan lagu raya klasik yang dinyanyikan semula.  Apa yang membezakan album itu adalah lagunya diberikan nafas baru.

Aishah sendiri memberanikan diri memberi cadangan kepada pihak syarikat untuk mencipta satu lagu baru dan menolak untuk menyanyikan semula lagu saduran itu.  Persetujuan pihak Sony terus mendorong Aishah untuk menulis bait liriknya manakala lagunya dicipta oleh komposer lagu pop dan balada yang tidak asing lagi Adam Ahmad.  Ternyata kerjasama antara Adam dan Aishah punya keserasian.

Pulanglah bukanlah sebuah lagu cinta khusus kepada kekasih sebaliknya lagu itu boleh ditujukan kepada semua.  Lagu Pulanglah itu menggambarkan bagaimana sebuah perhubungan terjalin dan musnah akibat perkara yang tidak sepatutnya terjadi.  Pulanglah juga sebuah lagu yang mengharapkan orang tersayang pulang di hari raya untuk bermaafan dan lupakan sengketa lama

Menurut Aishah dalam satu temubual, dia mengambil masa 10 minit menghasilkan lirik dan menjelaskan lagu itu tiada kena mengena dengan dirinya.  Aishah juga punya satu lagi lagu raya, Setitis Cahaya Di Aidilfitri tapi lagu itu tidak mendapat sambutan seperti mana Pulanglah.

Pulanglah

"Sayang, di hari yang mulia ini

Kupohon keampunan

Hanya satu yang kupinta

Pulanglah ..."

Termenung ku sendiri

Memendam rindu tidak menentu

Kasih suci murni yang kita bina

Hapus hancur oleh kata fitnah

Di pagi hari raya

Hati sayu mengenang dirimu

Mudahnya kau menggantikan diriku

Seolah cintaku tak berharga

Apakah suratan

Aidilfitri suatu titik akhir

Sekian lama bercinta

Kau tiada di hari mulia

Keampunan kupohon

Sekiranya aku yang berdosa

Pulanglah ku merinduimu sayang

Ku menanti dengan hati rela

Apakah suratan

Aidilfitri suatu titik akhir

Sekian lama bercinta

Kau tiada di hari mulia

Keampunan kupohon

Sekiranya aku yang berdosa

Pulanglah ku merinduimu sayang

Ku menanti dengan jiwa raga

Pulanglah ke pangkuan ku oh sayang

Ku menunggu mu di Hari Raya

LAGU:  Adam Ahmad

LIRIK:  Aishah

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 21 Oktober 2007, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Pulanglah – Aishah