Cak Lempong alat muzik Melayu

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, Cak Lempong adalah alat muzik tradisional Melayu yang tergolong dalam keluarga gong yang berukuran kecil.  Ia diperbuat daripada gangsa dan menggunakan teknik acuan.

Perkataan Cak Lempong juga diguanakan untuk menerangkan jenis ensemblenya (kesatuan).  Cak Lempong mula berkembang di kalangan masayarakat Melayu berketurunan Minangkabau di Negeri Sembilan.  Kini, kesenian muzik Cak Lempong telah bertapak di negeri lain dan diajar di kebanyakan sekolah serta institusi pengajian tinggi.

Cak Lempong biasanya dimainkan bersama iringan alat muzik lain seperti Seruling Buluh, Salung, Rebana dan Gong bagi mengiringi Pencak Silat, Tarian Lilin, Randai dan Tarian Inai serta lagu bunyi-bunyian dan juga nyanyian.  Untuk perarakan pengantin, istilah 'Pacik' sering digunakan oleh masyarakat tempatan untuk menggambarkan kumpulannya.  Dalam permainan ini, alat Cak Lempong dipegang oleh pemain itu sendiri di mana setiap pemain akan memegang dua alat Cak Lempong dan dimainkan secara 'meningkah' untuk mencipta satu rangkap melodi pendek.  Lazimnya dalam permainan 'Pacik', ia akan dianggotai tiga pemain.

Dalam situasi tertentu, alat Cak Lempong boleh dijadikan sebagai alat pengganti kepada Canang seperti dalam persembahan Dikir Barat dan Wayang Kulit Kelantan.  Namun, dalam keadaan sedemikian nama sifatnya hendaklah dijelaskan sebagai alat 'Canang'.  Ini berdasarkan konteks persembahannya yang amat berkait dengan tuntutan disiplin berkenaan. 

Dalam amalan persembahan masa kini, kumpulan Cak Lempong dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut fungsinya, iaitu bahagian 'Gereteh' yang memainkan melodi, manakala 'Tingkah' dan 'Saua' akan memainkan ritma secara berhomonofoni sebagai unsur pelengkap kepada irama sesebuah lagu terbabit.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 23 Mac 2008, oleh Suzan Ahmad)