|
Rodat asal dari Timur Tengah |
Tahukah anda, permainan rodat adalah satu daripada kesenian rakyat Terengganu yang masih diamalkan hingga kini. Walaupun sekitar era 1960-an, pengaruhnya terganggu seketika berikutan kemunculan bentuk hiburan moden dan relevan dengan perkembangan sosio budaya masyarakat, namun ia tidak pernah dilupakan. Permainan ini terdiri daripada gabungan satu pasukan atau lebih. Anggota yang mengambil bahagian dalam permainan ini terdiri daripada tiga kumpulan. Satu kumpulan dianggotai lebih kurang 10 orang pemukul rebana Tar, iaitu sejenis rebana kecil. Pemukul rebana Tar ini kebanyakannya kaum lelaki dewasa berumur 50 hingga 60 tahun. Kumpulan kedua berjumlah 20 hingga 30 orang Menenggak (orang Nenggak) membabitkan kaum lelaki berumur di antara 20 hingga 35 tahun. Selalunya mereka berpakaian baju Melayu seragam, bersongkok hitam, berselepang dan bersamping. Satu lagi kumpulan ialah kumpulan Mak Inang � terdiri di kalangan penari waita berumur antara 17 hingga 25 tahun.
Mereka bertugas menyanyi sambil menari (kebanyakan lagu memuji Nabi dan Tuhan) dan menepuk tangan mengikut irama rodat, sepanjang permainan dilaksanakan baik, mengiringi Mak Inang atau tidak. Manakala Mak Inang yang biasa mengambil tempat antara kumpulan Pemukul Rebana Tar dan Orang Nenggak adalah penting dalam permainan ini untuk menarik perhatian orang ramai. Mak Inang hanya keluar menari dan menyanyi pada masa tertentu saja dalam satu-satu pertunjukan kecuali dalam pertadingan Rodat Berlawan di mana Mak Inang dan peserta lainnya terpaksa bermain sepanjang malam pertunjukan berlangsung mengikut waktu ditetapkan. Biasanya struktur kumpulan utama rodat dibahagikan seperti sembilan Pengadi, 12 pelenggok dan lima Mak Inang. Rodat mendapat sambutan terutama di daerah seperti Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Berang. Malah permainan ini mendapat sambutan baik di Pahang. Sumber: Bintang Popular (Berita Minggu - 9 Mac 2008, oleh Suzan Ahmad) |