Sape popular di rumah panjang

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, sape ialah sejenis alat muzik tradisional yang digunakan cukup meluas di kalangan Orang Ulu atau 'upriver people', mereka juga adalah masyarakat yang tinggal di rumah panjang di sepanjang tebing sungai Borneo Tengah.  Ia juga disebut sampet, sampeh atau sapeh.

Sape diukir daripada sebatang blok kayu dengan menggunakan instrumen moden dan panjangnya boleh mencecah sehingga hampir satu meter.  Pada mulanya sape adalah alat muzik yang agak terhad fungsinya kerana sifathya yang mempunyai dua tali dan dengan hanya tiga fret.

Penggunaannya adalah terhad untuk majlis khas ritual sebagai muzik yang mampu membuat seolah seseorang itu dipukau atau tidak sedar diri.

Bagaimanapun, kini pada zaman ini, sape secara berperingkat menjadi instrumen sosial untuk mengiringi penari atau juga sebagai satu bentuk hiburan.  Hari ini, instrument tiga, empat dan lima tali digunakan, dengan laras nada melebihi tiga octaves. 

Secara teknikalnya, sape secara relatif adalah instrumen muzik yang sangat ringkas, hanya satu tali mengalunkan melodi dan tali selebihnya sebagai pendukung ritma.  Secara praktikalnya, muzik yang dihasilkan sape adalah agak kompleks, ia perlu didatangkan dengan banyak hiasan dan variasi yang bertema.

Terdapat dua kaedah yang biasa di mainkan, satu untuk tarian khusus bagi kaum lelaki di rumah panjang dan satu lagi ialah untuk tarian kaum wanita.

Muzik sape biasanya diinspirasikan menerusi mimpi dan terdapat lebih 35 gubahan tradisional yang pelbagai.  Secara keseluruhan, repertoire gubahan ini semakin lama semakin berkembang.

Sape sehingga kini masih dibuat di Borneo, dan dengan wujudnya inovasi baru dan moden, sape elektrik kini bukan lagi suatu perkara yang pelik.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 3 Ogos 2008, oleh Suzan Ahmad)