Erti sebenar diva

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda apa maksud diva?  Kita sering menggunakan perkataan 'diva' tetapi tidak tahu dalam konteks apa sebenarnya ia digunakan.  Menurut Wikipedia, diva ialah gelaran atau panggilan untuk penyanyi opera wanita seperti primadona Renata Tebaldi, Joan Sutherland, Leontyne Price, Maria Callas dan Kiri te Kanawa.

Bagaimanapun, istilah itu kini juga digunakan untuk merujuk prestasi hebat seorang penghibur wanita yang popular (yang tiada kena mengena dengan dunia nyanyian opera) seperti Whitney Houston, Madonna, Patti Labelle, Cher, Mariah Carey, Diana Ross, Celine Dion dan Aretha Franklin, yang sering dirujuk dan digelar diva atas kejayaan dan bakat luar biasa mereka.

Istilah ini juga cukup kuat diamalkan di kalangan gay yang meminati budaya pop di mana penyanyi wanita seperti Kathy Griffin, Joy Behar dan Joan Rivers bagi mereka adalah diva.  Istilah ini asalnya digunakan untuk menggambarkan wanita yang dikurniakan bakat luar biasa dan sukar dicari.  Ia berasal daripada perkataan Itali iaitu divina atau divine dalam bahasa Inggeris (bentuk fiminin), selain dikatakan juga dari perkataan Latin yang menggambarkan bentuk atau susuk feminin iaitu divus/diva, maknanya 'divine one'

Seperti yang kita semua sedar, istilah ini juga digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang mempunyai konotasi negatif.  Ia diambil dari implikasi yang mana seseorang bintang diva adalah seorang bongkak, sukar bekerjasama, penyelenggaraan diri yang tinggi, suka memanipulasi, cerewet dan terlalu mendesak.  Pelakon profesional sering menggunakan istilah ini untuk menjelaskan seseorang yang mahu mencuri tumpuan lebih daripada pelakon lain.

Satu lagi konotasi negatif yang tidak begitu penting ialah seseorang yang hidupnya didasarkan kepada dunia fantasi, menginginkan perhatian yang sering diberikan kepada selebriti dan bintang pop dengan memikirkan inilah realiti kehidupan yang sebenar-benarnya.  Orang begini cuba untuk menjalani kehidupan seperti fashonista popular dan selebriti bintang pop untuk cuba lari dan sembunyi dari kehidupan normal yang membosankan.

Istilah 'primadona' juga semakin kerap digunakan kerana implikasi dan kesannya juga mendekati maksud negatif.  Sementara itu dalam gelanggang gusti professional istilah diva juga sering digunakan oleh World Wrestling Entertainment untuk menggambarkan peserta wanitanya.

Dalam senario industri seni hiburan tanah air, kita sering mendengar gelaran diva pop yang ditujukan kepada penyanyi Datin Seri Siti Nurhaliza, diva soprano (Ning Baizura), diva jazz (Sheila Majid) dan juga diva Anita Sarawak.  Namun, hakikatnya penggunaan perkataan diva masih lagi dipertikaikan dan tidak diiktiraf sepenuhnya.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 3 Februari 2008, oleh Suzan Ahmad)