Muzik Bossanova berasal dari Brazil

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, Bossanova adalah jenis muzik gaya Brazil yang diperkenalkan oleh Vinicius de Moraes, Antônio Carlos Jobim dan João Gilberto.  Muzik ini mula diperkenalkan di Brazil sekitar 1958, menerusi rakaman lagu oleh Elizete Cardoso berjudul 'Chega de Saudade' yang dimuatkan dalam LP Cancão do Amor Demais.

Liriknya adalah nukilan Vinicius de Moraes, manakala Antonio Carlos Jobim mencipta muziknya.  Kemudian lagu itu dilancarkan oleh Gilberto sendiri.

Namun, mengikut istilah muzik Brazil, Bossanova dieja sebagai Bossa Nova.  Dengan kehadiran João Gilberto yang dianggap sebagai 'guru', Bossa Nova dengan pantas mula menarik perhatian ramai peminat dan pengikutnya yang tersendiri, genre ini lebih diminati kalangan pemuzik muda dan pelajar kolej.

Sejak itu, irama ini mula mendapat perhatian lebih meluas khalayak pendengar pelbagai lapisan umur.  Biarpun populariti muzik ini hanya bertahan selama enam tahun (1958-1963), gerakan muzikal berkenaan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap perkembangan muzik semasa.

Instrumen yang biasa mengiringi muzik Bossanova ialah gitar akustik, piano, organ elektronik, bass akustik dan dram.  Muzik begini sangat popular di Brazil, juga cukup significant di Amerika Syarikat, Eropah Barat, Jepun dan Filipina.

Terma Bossanova hadir menerusi Bossa yang difahami orang Brazil sebagai sesuatu yang ada kena mengena dengan sesuatu yang menawan dan bakat semulajadi, atau kebolehan semulajadi. 

Pada 1932, Noel Rosa menggunakan perkataan itu dalam samba yang berbunyi seperti berikut ... O samba, a prontidão e outras bossas / São nossas coisas, são coisas nossas (The samba, the readiness and other bossas / Are our things, are our things.)

Begitupun, terma asal Bossa Nova masih belum dapat dipastikan.  Apa yang pasti, terma Bossa pernah digunakan untuk menjadi rujukan trend baru atau gelombang fesyen terkini bagi budaya pakaian artistik pantai akhir 1950-an di Rio de Janeiro.

Terma itu akhirnya lebih terkenal dan sering digunakan untuk merujuk gaya muzik, seperti fusion Samba dan Jazz, di mana pencipta muzik Bossa Nova generasi masa kini menganggapnya sebagai trend muzik baru.

Merujuk kepada senario muzik tanahair, lagu Bossanova pernah dipopularkan oleh penyanyi Wann manakala Adibah Nor juga cukup menonjol selepas mendendangkan lagu klasik Ikan Di Laut Asam Di Darat dalam gaya Bossanova yang sangat catchy.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 28 Oktober 2007, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Bossanova – Wann