Perjalanan menarik kumpulan Panca Sitara

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, kumpulan yang cukup sinonim dengan cermin mata gelap dan lirik popular 'Tara ku cha ... tara ku cha', Pancha Sitara ditubuhkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1955.

P Ramlee menubuhkan Pancha Sitara tidak sekadar untuk memberi satu gelombang baru kepada lagu Melayu, malah bagi membendung pengaruh muzik pop Barat seperti kegilaan terhadap The Beatles dan The Platters, kemudian diikuti demam pop yeh-yeh.  P Ramle pernah berkata, muzik pop begitu hanya mementingkan bunyi yang kuat dari mutu lagu itu sendiri.

Panca Sitara boleh dianggap sebagai kumpulan suara harmoni pertama di gelanggang seni hiburan Melayu.  Ini memandangkan pada era itu, tiada kumpulan seumpamanya pernah diwujudkan sebelum penubuhan Panca Sitara.

Menyentuh sejarah bagaimana nama Panca Sitara diperoleh, nama kumpulan ini lahir daripada jumlah keahlian kumpulan itu iaitu lima anggota dari mula ia ditubuhkan sehingga kini.  Panca (Pancha) dalam bahasa Sanskrit membawa maksud lima.  Sitara juga dalam bahasa Sanskrit membawa maksud penyanyi.  Ini menjadikan Panca Sitara membawa maksud 'Lima Penyanyi'.

Anggota asal Panca Sitara dianggotai P Ramlee, Mohamad Abdul Hamid (Ahmad C), Kassim Masdor, Aziz Jaafar dan penyanyi wanitanya, Normadiah.  Panca Sitara bukan sesuka hati untuk tampil dengan imej cermin gelap kerana ada cerita tersendiri mengapa kumpulan ini sentiasa berimej begitu.

Menurut cerita komposer Kassim Masdor yang juga terbabit dengan penubuhan Panca Sitara, seorang anggota kumpulan itu, Ahmad C memang sering mengenakan cermin mata hitam.  Jadi, mulai saat itu P Ramlee sebagai ketua kumpulan mengarahkan semua ahli Panca Sitara memakai cermin mata hitam.

Pemuzik-pemuzik yang mengiring kumpulan pimpinan P Ramlee ini ialah Ahmad Kassim (piano), Yusof B (teno-saxaphone), Osman Ahmad (double bass) dan A Rahim (dram).  Pemuzik ini juga digelar P Ramlee Quartet.  Panca Sitara punya sebab tersendiri mengapa kumpulan ini melalui pertukaran anggota pada 1960.  Satu peraturan ditetapkan P Ramlee di mana ahli kumpulan itu tidak dibenarkan bercinta antara satu sama lain.  Naluri semulajadi manusia tiada siapa yang dapat menghalangnya, akhirnya Aziz Jaafar dan Normadiah jatuh cinta dan terpaksa meninggalkan Panca Sitara.

Kekosongan itu dipenuhi Ahmad Daud dan Saloma pada 1960.  Panca Sitara (2) pada masa itu ialah P Ramlee, Kassim Masdor, Ahmad C, Ahmad Daud dan Saloma.  Ironinya, cinta P Ramlee dan Saloma dikatakan berputik ketika Saloma menyertai Panca Sitara.  Kali ini lain pula ceritanya.  Menurut Kassim, berikutan peraturan ahli kumpulan dilarang bercinta sesama sendiri dibuat P Ramlee dan dia ketua, tiada apa yang berlaku.  Saloma dan P Ramlee kekal dalam Panca Sitara.

Sesudah P Ramlee meninggal dunia pada 1973, nama Panca Sitara seakan-akan berkubur sama.  Hanya pada awal 1980-an, atas daya usaha pelakon dan penyanyi Ahmad Fauzee Panca Sitara dihidupkan kembali.  Panca Sitara (III) membariskan Ahmad Fauzee, Anuar Rizman, Zainal Merican, Nias Ahmad dan penyanyi wanitanya, Dian P Ramlee.  Panca Sitara (III) sempat merakamkan dua album bersama Warnada Records.

Masa berlalu Panca Sitara seolah akan berkubur lagi apabila anggota Panca Sitara (III) tidak dapat bertahan kerana mempunyai komitmen tersendiri.  Namun, atas semangat takkan Melayu hilang di dunia, anggota asal kumpulan itu menghidupkan kembali Panca Sitara pada 1990-an.  Kali ini Aziz Jaafar, Normadiah, Ahmad Daud bergabung dengan Nasir P Ramlee dan membawa Aziz Sattar dalam Panca Sitara Edisi Keempat.  Panca Sitara (IV) hanya merakam dua album bersama Life Records.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 4 Januari 2009, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Kau Mawarku Panca Sitara