Rebab iringi watak raja

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, menurut Wikipedia Bahasa Melayu, Rebab adalah sejenis alat muzik bertali yang berasal dari Afghanistan.  Rebab menggunakan penggesek dan mempunyai tiga utas tali daripada dawai logam.  Rebab juga dianggap tergolong dalam keluarga kecapi.

Badan rebab lazimnya dibuat daripada kayu nangka dan berongga di bahagian dalamnya.  Bentuk badannya lebar di bahagian atas dan tirus ke bawah.  Dadanya ditutup dengan kulit diperbuat daripada perut lembu yang dikeringkan.  Busut kecil yang dibuat dari lilin lebah ditampal pada sebelah kiri dadanya dipanggil 'susu'.

Di sisi bahagian atas lehernya dipasang pula pemulas bagi tujuan melaraskan suaranya.  Leher atau papan jari dipasang pada bahagian atas badannya.  Pada behagian atas kepalanya berukiran dan dipanggil 'Pucuk Rebung'.  Lehernya memanjang ke bawah menerusi badan dan hujungnya menjadi pancang di bahagian bawah di mana alat itu diletakkan berdiri bila ia dimainkan.

Kayu kekuda titian tadi diletak pada tengah dadanya dan boleh diubah kedudukannya.  Busurnya dibuat dari kayu dan melengkung sedikit.  Tali penggesek ialah urat daripada selaput balutan mayang kelapa dan kini digantikan dengan penggunaan tali tangsi.

Rebab dipimpin Awang Omar dari Tumpat Kelantan bersama barisan pelapisAlat muzik rebab banyak digunakan dalam muzik di Afghanistan.  Selain itu, rebab juga digunakan dalam persembahan gamelan dan muzik mengiringi mak yung, main puteri dan selampit di Malaysia dan Indonesia.

Untuk bermain alat muzik ini, rebab diletak berdiri di depan pemain yang duduk bersila di lantai.  Rebab digesek dengan busur dan ketegangan tali busur dikawal dengan menggunakan jari.  Jari-jari tangan sebelah lagi memetik atau menekan pada tali di bahagian leher untuk mengeluarkan pelbagai nada.

Di Malaysia, rebab ialah sejenis alat muzik tradisional Melayu yang dimainkan ketika mengiring watak raja atau pengasuh sedang beraksi dalam persembahan menora, mak yung, main puteri dan banyak lagi persembahan klasik. 

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 13 Julai 2008, oleh Suzan Ahmad)