Boria ada kaitan peristiwa Karbala

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, persembahan boria mengikut Wikipedia Bahasa Melayu (ensiklopedia bebas) adalah jenis teater yang amat popular di negara utara Malaysia, terutama Pulau Pinang.  Secara umumnya, asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala di Parsi.

Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu sketsa dan nyanyian.  Nyanyian boria diketuai seorang Tukang Karang (biasanya akan memegang tongkat penunjuk ketika menyanyi).  Rangkap karangan boria yang hujung suku katanya sama setiap rangkap kisahnya berkaitan dengan sketsa yang dipersembahkan.

Sailor yang terdiri lebih dari enam orang di belakang tukang karang akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama nyanyian tukang karang tadi.  Alat muzik boria telah berubah mengikut peredaran masa.  Namun begitu, penggunaan alat muzik seperti violin, marwas, gendang panjang, akordian, harmonika adalah digalakkan.

Ada juga pihak mendakwa boria berasal dari India menerusi kegiatan perdagangan oleh pedagang India Muslim lama dulu, kesannya paling melekat kuat kini di kalangan masyarakat Melayu Pulau Pinang.  Alat muzik seperti violin, marakas dan tabla biasanya mengiring persembahan boria, bagaimanapun, kumpulan muzik pop juga boleh mengiringi persembahan boria. 

Boria juga dianggap sebagai sejenis teater yang amat popular di utara Malaysia, terutama Pulau Pinang.  Secara umumnya asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala, iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hussein oleh Muawiyah bin Abi Suffian.  Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu lakonan (lawak jenaka) dan nyanyian.

Bagaimanapun, seandainya lebih banyak alat muzik dapat digunakan semakin baiklah persembahan berkenaan.  Di antara alat muzik yang sering digunakan ialah violin, gambus, marwas, tabla, simbal, gendang, akordian dan harmonika.  Hubungan antara pakaian, muzik dialog dengan cerita yang dimainkan ada kaitan dengan cerita Arab, maka pakaian yang digunakan adalah ala Arab.  Muzik dan tarian yang dimainkan pun mirip bentuk Arab.  Malah bahasa yang digunakan pun loghat Arab.

Mengikut laman web Warisan Boria, Jabatan Kebudayaan, Keseniaan Dan Warisan Negeri Pulau Pinang, masih ramai tokoh dan penggiat boria boleh dijadikan rujukan.  Syarat dan peraturan boria sebenarnya tidak susah.  Setiap boria mestilah ada tajuk ceritanya.

Persembahan Sketsa di permulaan (bukan teater atau bangsawan) Ada pencadang, ada pembangkang dan ada penasihat.  Jadilah cerita.  Sketsa dalam loghat utara adalah digalakkan.  Seorang Tukang Karang (ada tongkat di tangan sebagai penunjuk, bukan tongkat yang membantu orang tua berjalan).  Ada sailor ataupun 'kelasi' di belakang tukang karang.  Kumpulan sailor akan melakukan gerakan mengikut irama lagu yang dipersembahkan.

Boria boleh diiringi kumpulan muzik ataupun terkini menerusi 'minus one'.  Lagu boria pula bebas, ia boleh dicipta atau digubah daripada lagu sedia ada asalkan sesuai mengikut ciri persembahan boria.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 1 Mac 2008, oleh Suzan Ahmad)