Fela Kuti pengasas genre Afrobeat

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, Afrobeat adalah kombinasi muzik yoruba, jazz, highlife, ritma funk yang dijalinkan bersama perkusi dan gaya vokal, cukup popular di Afrika sekitar 1970-an.

Pengasas utama genre muzik atau rentak ini adalah instrumentalis serba boleh berbangsa Nigeria yang juga ketua kumpulan muzik terkenal, Fela Kuti yang menggunakan muziknya sebagai wadah merevolusi struktur muzik di samping konteks politik penduduk Nigeria.  Kuti bertanggungjawab mewujudkan terma afrobeat sekembalinya beliau dari jelajah konsert di Amerika Syarikat bersama kumpulan Nigeria 70 (pernah dikenali sebagai Koola Lobitos).

Bunyi yang dianggap baru ini mula diperkenalkan di kelab miliknya dipanggil Afro-Shrine.  Sebaik tiba di Nigeria, Kuti turut mengubah nama kumpulannya kepada Fela Ransome-Kuti & Africa.  Kumpulan itu kekal menggunakan nama Afro-Shrine selama lima tahun (1970-1975) sementara rentak Afrobeat mula menular dikalangan remaja Nigeria.

Afrobeat kini adalah antara genre muzik yang cukup dikenali di dunia dan banyak mempengaruhi pemuzik Barat seperti mana ia mempengaruhi pemuzik Afrika sendiri. 

Afrobeat juga dipercayai berasal dari selatan Nigeria sekitar 1960-an apabila Kuti mula bereksperimental dengan pelbagai bentuk muzik kontemporari ketika itu.  Antara elemen utama dalam muziknya adalah keaslian harmoni dan ritma milik penduduk Afrika.  Menggabungkan elemen, memodenkan dan memberikan improvisasi sehingga terbentuk Afrobeat.

Elemen Politik juga memainkan peranan penting dalam perkembangan Afrobeat, Kuti sebagai pengasas sering menggunakan wadah kritikan sosial untuk menerapkan perubahan sosial kepada masyarakat.  Mesejnya boleh diterjemahkan sebagai penuh konfrontasi dan kontroversi, di mana ia boleh dikaitkan dengan kemuncak politik di kebanyakan negara Afrika sekitar 1960-an, kebanyakannya negara yang sedang berdepan ketidakadilan politik, rasuah dan pada masa sama sedang pulih dan menyesuaikan diri dengan transisi pentadbiran kolonial kepada kerajaan yang dibangunkan bangsa Nigeria.

Dalam pada genre itu mula menular di serata benua Afrika, semakin banyak kumpulan mula meniru gaya muzik berkenaan.  Rakaman album kebanyakan kumpulan muzik ini jarang kita dengar dan dieksport ke luar dari negara asal muzik ini.  Apapun ia masih boleh didapati dalam bentuk album kompilasi dan CD dari kedai muzik khusus.

Antara kumpulan muzik genre Afrobeat moden yang terkenal seperti Afrodizz, Zozo Afrobeat, Afrobeat Down, the Afromotive dan banyak lagi.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 15 March 2009, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar:  Jeun Ko Ku (Chop 'n' Quench) – Fela Ransome-Kuti & the Africa