Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

 

 

 

   Asal usul lagu Negaraku

Tahukah anda, terdapat dua sumber rujukan berkaitan asal usul lagu Negaraku sebelum dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia.  Pertamanya, ia dikatakan berasal dari Lagu Kebangsaan negeri Perak dan satu lagu popular berjudul Terang Bulan (Trang Bulan).  Mengikut cerita Tuan Haji Mustafa AlBakri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, lagu ini digunakan buat pertama kali sebagai Lagu Kebangsaan Negeri Perak pada 1901 iaitu ketika pertabalan Raja Edward VII di England.

Sultan Idris Murshiduladzam Shah, adalah Sultan Perak ketika itu (1887 hingga 1916).  Pada masa pertabalan Raja Edward VII (1901), Sultan Idris berangkat ke England sebagai wakil raja-raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam Istiadat Pertabalan itu.  Tiba di Pelabuhan Southampton, pegawai protokol dari pejabat kolonial luar naik ke kapal dan bertanyakan Lagu Kebangsaan Negeri Perak.  Menjadi amalan di England pada masa itu setiap kali Ketua Negara atau Raja berangkat, lagu kebangsaan negeri itu dimainkan.

Pada masa itu Negeri Perak tidak mempunyai lagu kebesarannya sendiri.  Kebetulan, Raja Harun Sultan Abdullah, setiausaha sulit kepada Sultan adalah seorang pemuzik.  Walaupun sedar Negeri Perak tidak mempunyai lagu kebesarannya sendiri, dia tidak mahu mengaku kalah.  Raja Harun memberitahu pegawai protokol bahawa Negeri Perak memang sudah ada lagu kebesarannya sendiri tetapi nota lagu itu tidak dibawa bersama.  Begitupun, Raja Harun boleh memainkan lagu itu tanpa nota.

Selepas mendengar penerngan Raja Harun, pegawai protokol membenarkan beliau memainkan lagu itu.  Lagu itu sebenarnya ialah lagu Terang Bulan.  Berkumandanglah lagu Terang Bulan di bumi England pada 1901 buat pertama kalinya dan sekaligus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak.  Dari saat itu, lagu Terang Bulan menjadi Lagu Kebangsaan Negara dan seterusnya Lagu Kebangsaan Malaysia. 

Satu lagi sumber mengenai asal usul Negaraku ialah cerita disampaikan Raja Kamarulzaman, anak kepada Raja Mansur yang pernah menjadi juruiring kepada Sultan Idris.  Beliau menyatakan lagu Terang Bulan mula dijadikan Lagu Kebangsaan Negeri Perak pada 1888, apabila Sultan Idris melawat London iaitu setahun selepas baginda ditabalkan.

Sultan Idris berangkat ke London untuk menghadiri Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria pada 1888.  Setibanya rombongan diraja di London sebagai persediaan, wakil Permaisuri Vicoria meminta nota Lagu Kebesaran Negeri Perak daripada Raja Mansur, juruiring Sultan Idris.  Untuk mengelak malu maka menerusi kebijaksanaan dan daya usaha Raja Mansur, beliau menyatakan nota lagu terlupa dibawa.

Bagaimanapun, Raja Mansur memberitahu wakil Permaisuri dapat menyediakan seorang pakar muzik yang boleh membuat nota lagu, beliau boleh membunyikan dengan cara bersiul.  Lagu disiul itu adalah lagu yang sangat popular dan digemari penduduk Negeri Perak.  Lagu Kebesaran Negeri Perak buat kali pertamanya dimainkan secara rasmi pada Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria di London dan lagu itu ialah lagu Terang Bulan.

Mubin Sheppard, bekas Pengarah Arkib Negara pernah membuat penyelidikan mengenai asal usul lagu Negaraku.  Beliau mendapat cerita daripada dua adik beradik, Raja Aminah Almarhum Sultan Abdullah dan Raja Halijah Almarhum Sultan Abdullah, selain Raja Kamarulzaman.  Mengikut dua adik beradik ini, kali pertama mereka mendengar lagu ini yang sekarang dikenali sebagai Negaraku ialah di Mahe, Kepulauan Seychelles, lokasi ayahanda mereka iaitu bekas Sultan Perak, Sultan Abdullah menetap dalam buangan.

Kata mereka, lagu itu sangat popular di pulau berkenaan dan selalu dimainkan pasukan pancaragam.  Dipercayai melodinya digubah ahli muzik Perancis, Pierre Jean de Beranger yang lahir di Perancis pada 1780 dan meninggal dunia pada 1857.

Raja Kamarulzaman pula menceritakan lagu itu diperkenalkan seorang bangsawan dari Indonesia yang sedang membuat pertunjukan di Singapura.  Dalam tempoh singkat lagu itu menjadi popular di Singapura dan diberi nama Terang Bulan

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 31 Ogos 2008, oleh Suzan Ahmad)