Kehebatan Ahmad Jaafar cipta lagu raya

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Ahmad JaafarTahukah anda, lagu malar segar Selamat Hari Raya dendangan Biduanita Puan Sri Saloma, adalah karya emas ciptaan komposer Ahmad Jaafar.  Lagu itu pernah menghiasi filem arahan Datuk L Krishnan berjudul 'Selamat Hari Raya' yang diterbitkan Shaw Brothers pada 1955.  Filem itu dibintangi Datuk Maria Menado bersama Allahyarham Datuk S Roomai Noor.

Kekuatan lagu ini bukan kerana pada liriknya tetapi pada kombinasi melodi dan kemerduan vokal Saloma.  Ia disifatkan sebagai keserasian paling jitu dalam lagu klasik raya kerana gaya dan lenggok muziknya menepati suara biduanita itu yang halus-halus bergema atau ala falsetto.  Getar suaranya juga sesuai dengan liriknya yang mudah difahami, ringkas dan menggambarkan kemeriahan suasana lebaran.

Sekalipun lagu baru datang dan menghilang, lagu klasik Selamat Hari Raya nyanyian Saloma versi rakaman 1973, tetap menjadi pilihan peminat.  Sejak awal lagi lagu itu memang dinyanyikan bersama Saloma, cuma versinya adalah berbeza dari segi susunan muzik dan lirik.  Versi asal menyelitkan kemeriahan bermain mercun tetapi tidak lagi dalam versi 1973. 

Ahmad Jaafar adalah komposer, penggubah dan pemuzik tersohor Singapura, Ahmad Jaafar dilahirkan pada 30 Ogos 1919 di Binjai, Sumatera Utara, Indonesia.  Minatnya dalam muzik bermula seawal usia enam tahun apabila dia mula belajar bermain dram dan mula berjinak-jinak menjadi pemuzik di panggung wayang, selain menjadi pemuzik iringan untuk filem bisu.

Latihan formal dalam muzik hanya bermula menerusi permainan biola di bawah tunjuk ajar bapa saudaranya.  Menerusi skil baru itu, dia mula menyertai kumpulan muzik pimpinan Sultan Langkat.  Dari situ, pengetahuan mengenai muzik terus diasah oleh ketua kumpulan muzik Mohamed Darus Omar.

Pada 1938, dia menganggotai Dutch Symphony, White Society di Medan.  Ketika itu, dia bermain klarinet.  Selepas Perang Dunia Kedua, Ahmad membawa isterinya, Sutinah ke Singapura pada 1946.  Di sana, dia mula bermain muzik di kelab malam, konsert, stesen radio dan untuk album rakaman.

Menerusi komposer Osman Ahmad, dia berpeluang bermain dengan Great World Cabaret.  Di situlah tertubuhnya kombo muzik yang cukup terkenal iaitu kombo Rayuan Kencana yang sering muncul di Radio Malaya.  Menerusi Orkes Radio Singapura, Ahmad dilantik sebagai pemimpin orkestra pada 1965 sehingga dia bersara pada 1981.

Dia turut dikenali atas sumbangannya memimpin orkestra di stesen Radio Television Singapore (RTS) selama 15 tahun sehingga bersara pada 1992.  Antara lagu popular gubahan Ahmad ketika era kegemilangannya ialah Ibu, Selamat Hari Raya, Hujan Lebat dan Tiada Berita.

Biarpun ada yang mengatakan Ahmad hanya mencipta kira-kira 80 lagu, namun gubahan dan orkestrasi sentuhannya banyak termasuk gubahan ketika bersama orkestra simfoni yang dipersembahkan untuk program Radio Malaysia, Malam Irama Malaysia pada 1960-an.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 14 Oktober 2007, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Selamat Hari Raya (versi asal, 1955) – Saloma