Nasyid kontemporari diminati

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, nasyid menurut Wikipedia Bahasa Melayu, adalah nyanyian yang biasanya bercorak keagamaan Islam dan mengandungi kata-kata nasihat, kisah nabi, memuji Allah dan yang seumpamanya.

Pada awalnya nasyid membawakan alunan bercorak padang pasir, tetapi kini kumpulan nasyid semasa membawa pelbagai rentak bercorak baru kepada pendengar.  Pembaharuan ini menjadikan lagu nasyid lebih menarik dan bersifat lebih berdaya saing dalam bidang seni.

Selalunya nasyid lebih gemar didendangkan dengan alat muzik tanpa tali, namun mengikut beberapa pendapat ulama fiqh perkara memainkan alunan nasyid dengan alat muzik bertali seperti gitar dan piano adalah dibenarkan.

Nasyid koir pula adalah gabungan alunan irama nasyid yang disebatikan bersama alunan muzik koir.  Kadangkala irama alunan bercorak koir ini digantikan dengan alunan muzik berunsurkan acapella iaitu corak alunan muzik tanpa menggunakan alat muzik tetapi hanya menggunakan getaran bunyi yang keluar dari mulut. 

Alunan irama nasyid koir juga dilihat kini amat diminati di kalangan penggiat seni bercorak kerohanian sehinggakan irama ini seringkali dianggap sejagat kerana kejayaannya memuatkan unsur-unsur harmoni dan kontemporari dalam penyediaannya.

Nasyid koir lebih wajar dan lebih unggul dengan kehadiran bacaan lunak ayat-ayat suci al-Quran di samping paduan bunyi vokalnya yang mantap.

Sebatian 5 bunyi asas lantunan koir juga memainkan suasana yang gemersik dan bertenaga dalam nasyid koir.  Berikut adalah 5 bunyi asas tersebut:

-  Bunyi base bawah 5

-  Bunyi base atas 4

-  Bunyi ketiga (third voice) - alto

-  Bunyi harmoni bawah 2

-  Bunyi harmoni atas 1 (soprano)

Pada asasnya, bagi memainkan alunan nasyid koir, penyanyi mestilah mengetahui perkara asas koir terlebih dulu seperti cara melontarkan suara dan bernafas pada cara yang betul.

Sejarah kemunculan nasyid koir dikatakan berpunca daripada sumbangan dan pengaruh alunan azan, alunan dan irama bacaan ayat suci al-Quran, rentak muzik masyarakat Asia Barat, daya kekuatan vokal insan serta daripada rentak lagu bercorak penduduk peribumi.

Nasyid koir lebih lunak didendangkan bersama penggunaan alat muzik tak bertali misalnya kompang, bongo, kerincing dan sebagainya.  Namun ada pendapat ahli ulama fiqh yang membenarkan nyanyian dengan menggunakan alat muzik bertali seperti gitar, biola dan piano. 

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 7 September 2008, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Intifada – Rabbani