Kenali muzik Britpop

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, Britpop adalah subgenre atau pecahan daripada muzik rock alternatif yang berasal dari United Kingdom.  Britpop mula muncul dalam senario muzik Indie British pada awal 1990-an dan diberikan karakter berkenaan selepas dipengaruhi muzik berkumpulan terutama elemen muzik gitar pop era 1960-an dan 70-an seperti The Beatles, The Who, The Rolling Stones, The Kinks dan banyak lagi.

Gerakan dan gelombang pengaruh muzik ini berkembang sebagai reaksi terhadap kebangkitan pelbagai trend muzikal dan budaya akhir 1980-an dan awal 90-an, terutama fenomena muzik grunge dari Amerika Syarikat.  Atas kesedaran menularnya muzik berkenaan ke United Kingdom seperti dibawa kumpulan Nirvana, banyak kumpulan muzik mula bangkit dan memperjuangkan muzik berlatarkan muzik gitar British lama dan menulis mengenai hal berkaitan betapa uniknya British.  Kumpulan seperti Oasis, Blur dan Pulp sehingga kini masih dianggap kumpulan muzik paling berjaya dan menonjol dalam gelanggang muzik Britpop.

Ternyata kumpulan muzik Britpop membawa muzik rock alternatif British diterima masuk ke dalam arus perdana dan membentuk tulang belakang terhadap pergerakan budaya British yang lebih luas yang digelar 'Cool Britannia'.  Gaya dan sifat tersendiri Britpop bergantung sepenuhnya pada rentak muziknya yang catchy dan bait lirik ditujukan khas kepada golongan generasi muda British.

Britpop bands secara terbuka mengutuk muzik grunge sebagai tidak ada kena mengena dengan apapun dan langsung tidak bercerita mengenai kehidupan mereka.  Damon Albam, anggota kumpulan Blur pernah memberi gambaran sikap itu pada 1993 selepas ditanya adakah benar Blur anti kumpulan grunge.  Jawab Damon: "Itu sudah bagus.  Kalau punk wujud untuk menyingkirkan hippies, ini bermakna saya pula hadir untuk menyingkirkan grunge".

Dalam pada memandang rendah terhadap genre itu, sedar atau tidak, ada elemen tertentu muzik grunge mula mempengaruhi rupa bentuk sebenar Britpop.  Contohnya Noel Gallagher (gitaris dan vokalis Oasis) cukup memuja Ride sehingga sanggup menerima Andy Bell (anggota Ride) menyertai Oasis.  Noel juga pernah membuat kenyataan terbuka pada 1996 bahawa Kurt Cobain (Nirvana) adalah satu-satunya penicpta lagu yang cukup dihormati dan dikagumi sejak sekian lama seperti lagu Wonderwall.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 12 Oktober 2008, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: WonderwallOasis