Mek Mulong kaya nilai kelembutan

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, mengikut huraian yang dipetik daripada http://butaseni.blogspot.com, persembahan Mek Mulong asalnya dipersembahkan dalam bangsal terbuka, tidak berlantai, tidak berdinding dan hanya terdiri daripada tiang, bumbung dan para di mana pemain duduk dan dikelilingi penonton.  Para pula mestilah menghadap ke timur iaitu arah matahari terbit.  Peralatan 'jamu' diletakkan di atas para manakala tikar dihampar di tengah-tengah bangsal sebagai lapik tempat duduk.

Upacara buka panggung adalah sesuatu yang wajib sebelum persembahan dimulakan bertujuan menghindari gangguan.  Bahan untuk jamuan adalah sirih pinang, kemenyan dan minyak kelapa.  Sirih jampi diserahkan kepada pemain untuk di makan, terutama puteri.  Kemenyan digunakan untuk mengasap semua alat muzik sementara minyak kelapa disapukan pada gendang dan setelah disapu, alat-alat ini tidak boleh dilangkahi.

Upacara ini dilakukan setiap kali mengadakan persembahan bagi menjamu dan meminta izin daripada semangat yang wujud di sekeliling.

Satu lagi upacara yang wajib diadakan sebelum persembahan ialah sembah guru.  Acara ini lebih besar daripada acara buka panggung dan ia di adakan sekali dalam setahun dengan mengadakan kenduri dan seekor kambing disembelih jika tidak, dipercayai pemain akan ditimpa bencana terutama ketua kumpulan.  Kemudian barulah persembahan dimulakan.  Biasanya persembahan diadakan sedikit saja pada malam pertama dan disambung malam berikutnya lalu ditamatkan pada malam ketiga. 

Pada malam terakhir inilah segala ramuan untuk persembahan kepada kuasa ghaib disajikan dan terdapat ahli kumpulan yang 'melupa' (menurun).  Barisan pelakon Mek Mulong terdiri daripada lelaki yang memakai pakaian perempuan.  Watak utama raja disebut Pak Mulong manakala Mek Mulong adalah nama gelaran si puteri.  Watak Awang pengasuh sebagai bomoh.  Musuh Pak Mulong ialah Gergasi dan raja dari negeri lain yang iri hati.

Persembahan Mek Mulong diiringi ahli-ahli muzik yang turut menyanyi sebagai suara latar.  Alat muzik yang digunakan adalah serunai, gong, cerek, semborong, Ibu serta Anak semborong.  Pemuzik juga akan menyahut seruan yang diucapkan oleh pelakon dan jika tidak disambut atau dijawab oleh pemain lain, maka persembahan itu akan 'mati maklat'.  Ia bermaksud persembahan itu tidak dapat diteruskan kerana 'terganggu' oleh hantu dan jin.

Persembahan Mek MulongPersembahan dimulakan dengan lagu pengenalan yang disebut 'bertabuh'.  Bertabuh dimainkan selama lima hingga sepuluh minit bertujuan sebagai pemanas badan supaya mereka bermain dengan baik.  Kemudian barulah tarian dimulakan dengan penari memulakan tarian ketika duduk di lantai dengan cara membuka sembah.  Tujuh jenis tarian dipersembahkan iaitu tarian sembah, tarian gembang, tarian puteri mabuk, tarian menora, tarian sirama, tarian putri masuk bilik air dan tarian sedayung.

Selepas tamat satu babak, pencerita akan memulakan hikayatnya.  Peranan pencerita dilakukan oleh Pak Mulong.  Semua pertukaran adegan atau perpindahan suasana dalam cerita akan dilakukan dengan cara menyanyi beramai-ramai dan disertai oleh pantun.

Beginilah persediaan, proses dan persembahan teater tradisional Mek Mulong yang kaya dengan nilai kelembutan, keunikan dan tidak ketinggalan juga unsur mistik yang sangat menarik untuk ditonton dan dihayati.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 8 Jun 2008, oleh Suzan Ahmad)