Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

 

 

 

   Kampelingan iringi bacaan rawi, zanji

Tahukah anda, Kempelingan adalah satu persembahan kesenian yang diwarisi dari masyarakat Jawa oleh rakyat di Johor.  Ia adalah sejenis permainan genderang yang mengiringi bacaan rawi yang diambil dari berzanji sama ada dalam bahasa Arab (seperti dalam berzanji), bahasa Melayu (terjemahan) atau bahasa Jawa.

Pada asasnya, peralatan Kempelingan terdiri daripada tiga jenis alat - gendang, jidur dan empat kempeling yang berlainan nada.  Ada menamakannya sebagai kempeling, tempong, kempol dan piong.  Namun pada masa ini, peralatan berkenaan sudah bertambah dengan sepasang markas dan sebuah tambrin hingga menjadikan permainan Kempelingan lebih rancak dan menarik.

Rangka alat Kempelingan ini diperbuat daripada pungka (pangkal) batang kelapa, batang cempedak. leban atau durian mengikut kesesuaiannya.  Kawasan yang terdapat kumpulan Kempelingan ini kebanyakannya di daerah Batu Pahat dan Muar.  Pemainnya membabitkan 10 hingga 20 orang dan ada juga kumpulan pemainnya mempunyai 23 orang.

Selain pemain alat Kempelingan, sebahagiannya adalah pembaca rawi atau nazam berzanji.  Masing-masing boleh bergilir ganti serta permainan itu sering diadakan untuk memeriahkan majlis keagamaan seperti majlis kesyukuran, perkahwinan, potong jambul dan berkhatan.  Ia juga berperanan seperti kompang untuk mengiringi perakan pengantin. 

Pasukan Kempelingan Parit Kassan, Bukit Gambir, MuarTahukah anda, kumpulan Kempelingan tertua di Johor ialah Kempelingan Kampung Parit Simpan, Senggarang, Batu Pahat.  Ia ditubuhkan pada 1924 oleh Wak Taib, tokoh kempelingan yang berasal dari Jawa.  Apabila kumpulan berkenaan kurang aktif beberapa tahun kemudiannya, ia dihidupkan kembali oleh Saniman (ketua) dan Haji Marhaban (penolong) pada 1930.

Permainan ini sebenarnya mengiringi bacaan rawi dan nazam berzanji yang dilagukan.  Ia dibuat dalam bahasa Arab atau terjemahan ke bahasa Melayu.  Bacaannya diketuai seorang pelagu solo diiringi empat hingga lima orang pembaca lain sebagai suara latarnya.  Sekurang-kurangnya 18 lagu dapat dimainkan oleh kumpulan ini dalam satu persembahan.

Kumpulan Kempelingan ini mempunyai 23 ahli dan pernah membuat persembahan di luar negara seperti di Pesta Kesenian Islam Berlin, Jerman.  Pada 1986, mereka sekali lagi dijemput membuat persembahan di Perancis, Belanda dan Itali.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 11 Mei 2008, oleh Suzan Ahmad)