Muzik cha cha berlatarkan tarian Cuba

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, Cha-cha-cha (dalam bahasa Sepanyol) juga dikenali sebagai cha cha adalah sejenis tarian yang berlatarkan muzik Cuba yang juga dipanggil cha cha cha.  Mengikut sejarah, pada 1951, seorang komposer dan pemain biola berbangsa Cuba, Enrique Jorrín memperkenalkan cha-cha-cha kepada khalayak pengunjung kelab malam di Cuba ketika menganggotai Orquesta America.

Menurut Jorrín, bunyi yang dihasilkan oleh kasut penari di lantai tari persis kedengaran seperti cha-cha-cha, tatkala mereka cuba mengikut rentak baru itu, pada awalnya, ia hanyalah dipanggil mambo-rumba.

Pada 1953, lagunya yang berjudul La Engaňadora dan Silver Star mula menjadi lagu hit terkenal.  Pada awal kemunculannya, kedua-dua tarian ini dan muziknya dikenali sebagai 'triple mambo' atau 'mambo dengan rentak guiro'.  Cha-cha-cha pertama kali dipersembahkan kepada khalayak menerusi pengantara charanga (format kumpulan pemuzik yang membawakan muzik tarian Cuba yang tipikal terdiri daripada seruling, strings, piano, bass dan percussion).  Populariti cha-cha-cha juga menyumbang kepada kembalinya populariti muzik orkestra begini.

Tidak lama kemudian, seorang guru tarian berbangsa Inggeris, Pierre Lavelle yang melawat Cuba pada 1952, tertarik hati dengan gerak tarian ini dan mengembangkannya di Eropah.

Cha cha mula menjadi popular di Amerika Syarikat, begitu juga mambo pada 1950-an.  Penari mula memperkenalkan gerak baru khusus untuk muncul juara dalam pertandingan.

Perkataan cha mula muncul dari keinginan untuk memperlahankan sedikit tempo dan mengurangkan aksi aerobik dan tersentak-sentak seperti dalam mambo dan menjadikannya lebih mudah dihayati kepada orang ramai untuk menari.  Mambo sebenarnya adalah fusion rentak jazz dan Latin, antara kualiti utama yang masih dikekalkan dalam muzik cha cha.

Dari segi muziknya, cha cha lebih perlahan berbanding mambo dan rentaknya lebih mudah untuk nakal dan sesuai untuk suasana berparti.

Muzik Cha cha boleh ditemui dan mempengaruhi pelbagai genre muzik lain termasuklah muzik beach, hip hop dan tidak ketinggalan rock & roll.  Tempo muzik ini biasanya 110 hingga 130 beat seminit.  Bagi mereka yang baru bermula, jajaran tempo terbaik ialah 100 hinnga 110 beat seminit.

Beberapa artis antarabangsa yang banyak memberi pengaruh kepada muzik cha cha termasuk Chicho O'Farril, Pérez Prado, Tito Puente, Charles Aznavour, Rubén Blades dan Willie Colón.  Cha cha masih popular digunakan dalam pelbagai irama termasuk Latin, pop dan muzik country.

Kini kita boleh dengar elemen itu dalam album artis latin seperti Ricky Martin, Enrique Iglesias dan Gloria Estefan.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 9 Disember 2007, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: La Engaňadora Orquesta America