Muzik fusion gabungan genre

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, hampir semua genre muzik kecuali muzik tradisional berasal dari muzik fusion.  Genre muzik fusion adalah genre yang menggabungkan dua atau lebih genre bersama.  Sebagai contoh, rock and roll mengikut asal usulnya terbentuk daripada gandingan fusion antara blues, gospel dan muzik country.

Karakter utama genre fusion terletak pada variasi tempo, rhythm dan kadangkala usia perjalanan muzikal yang terbahagi kepada bahagian kecil setiap satu dengan dinamik, gaya dan tempo tersendiri.

Antara yang cenderung dengan genre fusion biasanya sukar untuk dikategorikan dalam kelompok gaya bukan fusion.  Ini memandangkan sifatnya yang dipengaruhi pelbagai genre muzik.  Sememangnya ada banyak sebab lain yang menyebabkan muzik fusion bersifat begini, antara yang paling utama ialah kebanyakan genre melalui evolusi selepas menyatu dan bercambah dari genre yang lain.

Apabila genre baru itu akhirnya berjaya membina identiti tersendiri dan berbeza dari yang lain seringkali terdapat ruang tertentu yang tidak dapat dikenal pasti pemuzik.  Kalangan artis begini biasanya menganggap diri mereka sebahagian daripada kedua-dua genre. 

Pemuzik yang cukup dominan dalam permainan muzik blues, dengan pengaruh rock sering dilabel sebagai pemuzik blue-rock.  Genre induk atau pertama menjadi punca kepada percambahan satu lagi genre baru.  Manakala genre kedua pula lebih baru dan kurang dominan dalam permainan seseorang artis.

Antara contoh kumpulan blues-rock adalah Stevie Ray Vaughan dan Double Trouble.  Vaughan, seorang pemain gitar blues dari Texas dibesarkan dalam dunia yang didominasi muzik rock, menggunakan muzik rock dan blues bersama.  Antara genre yang boleh dikategori sebagai fusion seperti folk punk, J-Ska, Rap rock, Blues Rock, Cantopop, Electrogoth, industrial rock, jazz rap, funk rock dan banyak lagi.

Reshmonu seorang penyanyi, komposer dan juga penerbit pernah membuka mata penggemar muzik tanahair menerusi album Monumental pada 2003 yang berkonsep fusion.  Antara lagu yang menonjol Walk Away dan It's You That Matters.  Menerusi album ini saja, Reshmonu mendapat tujuh pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik 2004 (AIM).  Dia berjaya membolot tiga kategori iaitu Vokal Lelaki Terbaik, Artis Lelaki Terbaik (Inggeris) dan Kejuruteraan Album Terbaik.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 25 Febuari 2009, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: It's You That MattersReshmonu