Dondang Sayang hiburan spontan

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, Dondang Sayang mengikut kamus ensiklopedia Wikipedia tumbuh di Melaka sejak kurun ke 16.  Ia dipercayai dipengaruhi muzik tradisional masyarakat Portugis yang pernah menjajah bumi Hang Tuah itu.  Ia adalah satu bentuk hiburan masyarakat Melayu bersama sub-etnik Baba dan Nyonya, berbalas pantun secara spontan (puisi), dalam gaya santai dan kadangkala melucukan.  

Penyanyi biasanya diiringi alat muzik seperti violin, dua rebana dan tetawak (sejenis gong).  Instrumen ini juga boleh dibantu beberapa lagi alat muzik lain terutama akordian, seruling atau biola tradisional.  Antara tokoh Dondang Sayang di Melaka ialah Itam Ahmad dari Paya Rumput, dikenali sebagai antara pemantun atau penyanyi lama Dondang Sayang yang begitu aktif.  Selain Itam, Nyah Keling yang berasal dari Durian Tunggal juga adalah pemantun dan penyanyi perempuan yang cukup dikagumi.

Zaiton Haji Hamzah dari Duyong dan Bachik Bakar dari Pangkalan Rama Tengah pula dianggap sebagai angkatan baru yang dicungkil bakat mereka melalui pertandingan Pesta Dendang Rakyat anjuran RTM Melaka.  Pada peringkat awal, Dondang Sayang dilagukan oleh ibu di desa untuk menidurkan anak dalam buaian.  Cara melagukannya ada kaedah ratib mengesakan Allah dan pujian kepada Nabi Muhammad saw, keduanya menyanyi sama ada dengan senikata lagu lengkap mahupun dengan rangkaian bunyi saja tetapi dalam bentuk lagu.

Dondang Sayang juga sering dilagukan orang tua ketika bersendirian sama ada selepas penat bekerja mahupun sambil duduk melayan perasaan dan mengenang masa remaja.  Mereka bersiul kecil atau bernyanyi kecil mengalunkan lagu.  Biasanya di rumah, mereka akan bersiul nyanyi di hujung sengkuap, di depan tangga atau anjung rumah sambil bersenang-senang.  Ada juga melakukannya di ruang tengah rumah sambil meraut rotan untuk mencucuk atap.  Perlakuan itu dilakukan spontan apabila ada masa terluang selepas penat menjalankan pekerjaan. 

Dondang Sayang sering juga dilagukan di hujung kebun atau di permatang sawah atau di tambatan perahu sambil membelai perahu untuk persiapan turun ke laut, mahupun ketika melepaskan lelah sambil mengasah pisau getah sementara menanti susu getah habis menitik untuk dipungut.

Era 1950-an adalah zaman peralihan bagi Dondang Sayang.  Seni tradisi ini makin diminati ramai.  Dondang Sayang mula mendapat tempat lebih meluas apabila ia disiarkan menerusi radio, sejak tertubuhnya Jabatan Penyiaran yang dikenali sebagai Radio Malaya ketika itu.

Selain itu, Dondang Sayang juga mula dimainkan di pentas bangsawan dan joget.  Dari sinilah Dondang Sayang mula mengalami perubahan apabila rentak asli dipadankan dengan rentak muzik moden dari Barat.  Maka, lahirlah rentak Dondang Sayang Mambo.  Ramai penyanyi-pemantun Dondang Sayang dilahirkan dari pentas bangsawan, antaranya SM Salim (Tan Sri) dan Normah Salim.  Dondang Sayang juga dimainkan pada majlis tertentu seperti majlis kenduri kahwin dan di pentas Malam Aneka Warna.

Penghujung era 1950-an Dondang Sayang maju setapak lagi apabila mula dipertandingkan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sempena majlis sambutan tertentu seperti perayaan hari ulang kemerdekaan negara.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 16 Mac 2008, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Dondang Sayang Mambo Ahmad Jusof & Fatimah Adan