Tarian Lilin berasal dari Sumatera

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, menurut Wikipedia Bahasa Melayu, Tarian Lilin pada asasnya adalah tarian yang dipersembahkan oleh sekumpulan penari wanita dengan diiringi sekumpulan pemuzik.  Barisan penari membawa lilin yang dinyalakan pada piring dipegang pada setiap belah tangan masing-masing.

Penari menarikan tarian secara berkumpulan dengan memusingkan piring yang mempunyai lilin menyala secara berhati-hati agar piring terbabit sentiasa mendatar, selain memastikan nyalaan lilin tidak terpadam.

Ia juga dikenali sebagai tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan gerak-geri yang penuh dengan kelembutan.

Menyentuh soal asal usul Tarian Lilin, ia dipercayai berasal dari Sumatera.  Mengikut cerita, kononnya seorang gadis telah ditinggalkan oleh tunang yang pergi berdagang mencari harta.  Semasa ditinggalkan tunangnya itu gadis secara tidak sengaja kehilangan cincin pertunangan.

Gadis itu mencari-cari cincin hingga larut malam dengan menggunakan lilin yang diletakkan pada piring.  Gerakan badan yang meliuk lintuk, membongkok, terngadah (berdoa) melahirkan keindahan sehingga peristiwa ini melahirkan Tarian Lilin di kalangan gadis kampung.

Tarian Lilin adalah sejenis kesenian istana dan digayakan pada waktu malam bagi menimbulkan nyalaan lilin berkenaan.  Ini kerana tarian lilin memerlukan penarinya giat berlatih agar dapat mengawal pergerakan dengan lilin yang menyala tanpa berlaku kemalangan. 

Kini, tarian ini sering dipersembahkan pada majlis kerajaan dan acara rasmi, malah lebih indah dan berkesan lagi jika ia dipersembahkan pada waktu malam.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 3 Ogos 2008, oleh Suzan Ahmad)