Cerita bangsawan perintis drama moden

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, dari segi latar belakang sejarah, bangsawan adalah perintis kepada persembahan drama moden.  Namun, ia tidak membabitkan penggunaan skrip berbanding drama moden kini.  Penggiatnya menghafal dialog penting sebagai jalan cerita diikuti dengan dialog lain secara spontan semasa beraksi di pentas.

Cerita bangsawan berkisar kepada kisah raja-raja yang membabitkan alam kayangan dan nyata.  Watak terdiri daripada pahlawan, putera, puteri yang kacak dan cantik, hamba, jin dan raksasa.

Persembahan bangsawan membabitkan penggunaan panggung, teknik lampu mengikut cara Barat dan menggunakan set saiklorama.  Biasanya tirai-tirainya mengandungi tiga hingga tujuh set yang berbeza.  Antaranya tirai istana, hutan, laut, awan kampung, gua dan kosong.  Terdapat juga set kadbod yang dilukis mengikut jalan cerita yang boleh disorong-tarik.

Seni persembahan bangsawan juga dicirikan melalui teknik extra-turn yang berfungsi sebagai penukar babak supaya pelakon boleh bersedia.  Lazimnya dipenuhi dengan segmen nyanyian.  Oleh kerana bangsawan memberi pengajaran, tirai dan kadbodnya berfungsi sebagai penarik emosi kepada penonton. 

Menurut artikel dari www.caudanmuzik.com, wayang bangsawan bukanlah sesuatu yang baru di Eropah mahupun di tanah besar China atau Jepun.  Tamadun ini lebih dulu menyusun organisasi masyarakat sekali gus mengangkat aktivis dan sosial membudayakan aliran dan fahaman ideologi.  Sungguhpun kita tidak punya Shakespeare, Sophocles, Moliere atau Goethe, sebagai pengarang sandiwara wayang klasikal yang agung, namun kita memiliki darah dan susur sejarah seumpamanya.

Kisah dongeng Tasik Chini antara cerita yang pernah diangkat menjadi wayang bangsawanSementara orang kita masih di ladang, sawah dan lombong menunggu hasil menanti musim pesta atau kalendar perayaaan, berlabuh kapal asing membawa perutusan gembira di Pulau Pinang.  Sesudah itu, malam tidak sunyi dengan pertembungan manusia, malam minggu semakin panjang.

Dari segenap sisi, wayang bangsawan ditunjangi oleh tuan pemilik wayang, pengarang cerita, anak-anak wayang (penyanyi, pelakon, pak lawak, penari, pemain alat muzik), pelukis latar dan kuli kasar yang akan menyelenggarakan pentas atau di balik tabir yang dikira paling rendah kedudukannya dalam hiraki wayang bangsawan (sebaliknya hari ini, buruh inilah aset terbesar syarikat wayang).

Mereka membawakan lakonan berbentuk dongeng rakyat, khayalan, atau ketuhanan yang punya moral dan pengajaran.  Di bahagian bunyi-bunyian, harmonium daripada kaki atau tangan, satu tabla, satu dol dan satu biola digunakan.  Pakaian anak wayang bersulam dan bertekat mahal.  Kalau perhiasannya pula, intan dan emas tulen dipakaikan untuk lakonan.

Nama-nama seperti Mama Pushi (1885), Wayang Kasim-Bangsawan Zanibar (1902), Yap Chow Tong Opera (1903), Malaya Opera (1914), Peninsula Opera (1923) dan Dean Union Opera wujud tidak berapa lama selepas Tun Mamat Mashor semakin mendapat tempat.

Dikhabarkan Wayang Mama Pushi, Wayang Kasim dan Peninsula Opera antara wayang yang digilai suatu masa dahulu.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 1 Jun 2008, oleh Suzan Ahmad)