Berzanji Untuk Memuji Rasulullah SAW

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda menurut ensiklopedia bebas, berzanji atau barzanji ialah doa, puji-pujian dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad SAW yang dilafazkan dengan suatu irama atau nada yang biasa dilantunkan ketika kelahiran, acara khatan, pernikahan dan sambutan Maulidur Rasul.

Isi berzanji bertutur mengenai kehidupan Nabi Muhammad, yang disebutkan berturut-turut iaitu salasilah keturunannya, masa kanak-kanak, remaja, pemuda, hingga diangkat menjadi rasul.  Di dalamnya juga mengisahkan sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad, serta berbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia.

Perkataan berzanji diambil daripada nama pengarangnya iaitu Syeikh Ja'far al-Barzanji Husin Abdul Karim.  Dia dilahir di Madinah pada 1690 dan meninggal dunia pada 1766.  Berzanji berasal dari nama sebuah tempat di Kurdistan, Barzinj.  Karya itu sebenarnya berjudul Iqd al-Jawahir (bahasa Arab ertinya kalung permata) yang disusun untuk meningkatkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad, walaupun kemudian lebih terkenal dengan nama penulisnya. 

Pembacaan berzanji pada umumnya dilakukan pada majlis dengan niat untuk mendapat keberkatan.  Misalnya pada waktu kelahiran bayi, mencukur rambut bayi (aqiqah), acara khatan, perkahwinan dan sebagainya.  Di masjid dan perkampungan, biasanya jemaah duduk secara bersila.  Bacaan berzanji dialunkan secara bergilir seorang demi seorang sambil disahuti jemaah lain dengan kalimah Allah.

Di Malaysia, terdapat juga adat pembacaan berzanji yang dilakukan secara bersama-sama dengan bayi yang baru lahir untuk dicukur rambutnya dalam bulatan oleh imam dan ahli keluarga terdekat.  Sementara baju atau kain orang-orang yang sudah memegang bayi itu, kemudian diberi titisan minyak wangi.  Dewasa ini, bacaan berzanji juga semakin berkurangan walaupun buku berzanji masih mudah didapati. 

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 14 September 2008, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Berzanji Rawi 5 – Mawi