Kitaro legenda muzik dunia

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, Kitaro atau nama sebenarnya Masanori Takahasni tidak pernah mendapat sebarang pendidikan formal dalam bidang muzik.  Insipirasi dan cinta terhadap muzik lahir selepas terpaku dengan irama R&B dendangan Otis Redding.  Dari situlah dia terdorong untuk belajar bermain gitar sendiri.

Ketika menuntut di Toyohasni Commercial High School, dia menubuhkan kumpulan Albatross bersama rakannya sambil membuat persembahan di parti dan kelab malam.

"Saya bermula dengan bermain gitar sebelum beralih ke keyboards.  Satu ketika, pemain dram kami cedera dalam masa sama tarikh persembahan gig semakin hampir.  Tanpa pengetahuan langsung tentang dram, saya terpaksa mempelajarinya kerana saya ketua kumpulan dan gig perlu diteruskan.  Tidak lama kemudian, pemain bass kami pula cedera dan sekali lagi saya terpaksa mempelajari cara bermain gitar bass.  Siri kemalangan dan kecederaan ini menjadi alasan utama mengapa saya mampu bermain dengan pelbagai alat muzik dengan baik," katanya.

Selepas tamat pengajian, Kitaro berpindah ke Tokyo dan mula menimba pengalaman dan menjadi sebahagian daripada gelanggang muzik di sana.  Di sinilah dia mula berminat dengan synthesizer.  Alat muzik synthesizer pertama miliknya adalah analog, dan memandangkan dia begitu meminati bunyi yang dihasilkan synthesizer analog, bunyinya dijadikan perbandingan dengan bunyi digital masa kini. 

Pada mulanya, ibu bapa Kitaro menentang keras cita-citanya memilih kerjaya dalam bidang muzik.  Ternyata dalam pada ibu bapa memujuk memilih kerjaya lebih menjamin, Kitaro meninggalkan rumah tanpa pengetahuan orang tuanya.  Di perantauan, dia menyara hidupnya dengan melakukan pelbagai jenis kerja sambilan termasuk memasak dan pada malamnya menggubah lagu.

Awal 1970-an, dia beralih sepenuhnya ke keyboards dan menyertai kumpulan Far East Family Band dan menjelajah ke seluruh dunia.  Di Eropah, dia bertemu pemuzik synthesizer Jerman yang juga bekas anggota Tangerine Dream, Klaus Schulze.  Schulze menerbitkan dua album untuk kumpulan itu dan banyak memberi tunjuk ajar dalam penggunaan synthesizer.  Pada 1976, dia meninggalkan kumpulan itu dan mengembara ke seluruh Asia termasuk China, Laos, Thailand dan India.

"Saya hanya seorang penyampai, bagi saya lagu boleh diibaratkan sebagai awan dan juga air," katanya.

Sejak 1983, rasa hormatnya terhadap alam semulajadi mendorong Kitaro menghadiahkan alam dengan sebuah konsert khas di Gunung Fuji atau berdekatan kediamannya di Colorado.  Setiap kali bulan mengambang sekitar Ogos, dia memalu gendang Taiko dari subuh sehingga senja.  Biarpun tangannya berlumuran berdarah dia masih terus memalu gendang.

Dari 1983 hingga 1990 Kitaro berkahwin dengan Yuki Taoka.  Yuki adalah perempuan Kazuo Taoka, ketua sindiket Yakuza terbesar di Jepun, Yamaguchi-gumi.  Kitaro dan Yuki dikurniakan anak lelaki, Ryunosuke, yang kini tinggal di Jepun.  Pasangan ini berpisah akibat jarak kerana Kitaro berkerja di Amerika Syarikat manakala Yuki menetap di Jepun.

Pertengahan 90-an, Kitaro mengahwini Keiko Matsubara seorang pemuzik yang turut terbabit dalam pembikinan beberapa albumnya.  Bersama-sama anak lelaki Keiko, pasangan ini menetap di Ward, Colorado.  Bagaimanapun, kini Kitaro dan Keiko menetap di Occidental, California.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 21 Disember 2008, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Matsuri – Kitaro