Qasidah puji Rasulullah

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, mengikut satu rencana berjudul Puisi Ahli Sufi, sebelum kebanyakan negara Islam dijajah, hampir semua sastera yang dihasilkan orang Islam menampilkan ciri daripada ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, iaitu hurufnya dicatat dalam tulisan jawi yang punya keunikan tersendiri.

Genre sastera atau seni Islam adalah sangat universal.  Ia merangkumi khutbah, bayan, risalah, maqamah (cerpen), qissah (cerita bermoral seperti kisah sahabat), maqalah (rencana mengenai sesuatu), qasidah (puisi) dan sebagainya.

Qasidah –.satu cabang seni Islam dari Arab yang sangat terkenal di tanah Arab sehingga kini.  Ada pelbagai qasidah Islam terkenal antaranya Qasidah Burdah Shareef yang sangat masyhur.  Qasidah Burdah mendapat gelaran sedemikian memandangkan isinya memberi pujian terhadap junjungan besar Nabi Muhammad.

Pengarangnya, Imam al-Bushiri atau nama sebenarnya adalah Muhammad bin Said bin Hamad as-Shonhaji al-Bushiri.  Lahir di Bahtim, Mesir pada 608H (1212M) dan berasal dari keturunan Maghribi.  Beliau meninggal dunia pada 696H (1296M).  Beliau ialah murid kepada Shaikh Abu Hasan ash-Shadhili. 

Imam al-Bushiri dikenali sebagai seorang yang warak sejak beliau masih kanak-kanak lagi.  Ada disebut dalam sejarah, Imam al-Bushiri, pernah ditimpa penyakit lumpuh sebelah badan.  Pelbagai usaha dilakukan untuk rawatan namun tiada juga tanda sembuh, malah sakitnya bertambah teruk.

Dalam keadaan inilah timbul keinginan di hati beliau untuk mengarang qasidah puji-pujian kepada Rasulullah.  Mata penanya menulis apa yang lahir dari hatinya yang sangat kasih dan rindu kepada Rasulullah iaitu pujian-pujian kepada Muhammad SAW.  Sebaik saja selesai menulis qasidah, beliau tertidur dan bermimpi melihat Rasulullah dalam tidurnya.  Baginda datang menziarahi beliau yang sedang sakit, lalu menyapukan tangannya yang mulia di atas badan Imam al-Bushiri dengan sehelai selendang (burdah).

Sebaik selesai diselimuti, Imam al-Bushiri terjaga daripada tidurnya dan mendapati penyakit lumpuhnya hilang.  Ada riwayat menyatakan Imam al-Bushiri memperoleh selendang atau burdah di atas badannya apabila beliau terjaga daripada tidurnya.

Qasidah di kalangan umat Islam di Malaysia disesuaikan mengikut suasana majlis, iaitu puisi yang dilagukan dan masih bertujuan sama - bertemakan ketuhanan dan memuji junjungan Rasulullah SAW. 

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 27 Julai 2008, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Qasidah – Inteam