Irama sentimental balada

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, perkataan ballad berasal daripada bahasa Latin iaitu Ballare yang bermaksud untuk menari.  Dalam jazz dan muzik popular, istilah ballad atau dalam bahasa Malaysia – balada adalah penjelasan untuk lagu yang pendek dalam tempo yang perlahan, biasanya diringi muzik romantik ataupun sentimental.

Begitulah, istilah itu turut digunakan untuk lagu berbentuk instrumental.

Balada juga cukup berpengaruh dalam irama moden pop dan muzik folk untuk lagu strophic yang naratif.

Dari segi istilah balada pula, penggunaan biasa yang lebih moden mula melalui evolusi dari penggunaan sekitar abad ke-19 di Britain.  Balada secara umumnya adalah lagu sentimental, naratif, strophic yang diterbitkan berasingan sebagai sebahagian daripada opera.

Ia juga kadangkala dikenali sebagai drawing-room ballads dan cukup popular di kalangan masyarakat kelas pertengahan.  Sehingga ke era Victorian, balada mula dikenali sebagai sebarang bentuk lagu popular yang bernada sentimental sehingga ia turut dikenali sebagai royalty ballads di mana penerbit sanggup membayar penyanyi popular untuk membuat persembahan di Britain dan Amerika Syarikat untuk menyaksikan ballad concerts.

Sebahagian besar lagu Stephen Foster adalah gambaran terdekat genre ini.

Sehingga era 1920-an, komposer dari syarikat Tin Pan Alley dan Broadway menggunakan ballad untuk melambangkan rentak yang lebih perlahan, sentimental ataupun lagu cinta.  Pemuzik jazz kadangkala memperluaskan lagi istilah untuk menghasilkan lagu yang berentak lebih perlahan. 

Di Malaysia, dalam satu artikel pernah menyebut sebenarnya Juara Lagu sudah lama menjadi penanda aras kepada trend industri muzik tempatan.  Sejak mula dianjurkan pada 1985, TV3 berhasrat memartabatkan karya hebat komposer tempatan.

Pada awal kemunculan Juara Lagu, kebanyakan lagu berentak balada menguasai pertandingan ini.  Maka pada tahun terawal, komposer yang menonjol dengan genre muzik balada ialah Manan Ngah, A Ali, Zubir Ali dan Datuk Ahmad Nawab.

Manan Ngah terus dikenang dalam sejarah Juara Lagu sebagai komposer pertama menerima anugerah Juara Lagu melalui lagu Sekadar Di Pinggiran nyanyian Franciscca Peter.

A Ali pula pada tahun berikutnya melalui Menaruh Harapan yang disampaikan dengan cukup sempurna dan bertenaga penyanyi Zaiton Sameon.  Gaya rambut Zaiton dengan gaun petang berwarna merah di pertandingan berkenaan sehingga kini masih diingati oleh peminat Juara Lagu.

Tercatat juga bagaimana Ramlah Ram dalam Juara Lagu 3 pada tahun 1988 apabila lampu berbentuk hati yang menjadi hiasan di dada tidak menyala.  Ketika itu Ramlah menyampaikan lagu Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) ciptaan Ahmad Nawab.  Kegagalan lampu berkenaan tidak menjejaskan Ramlah untuk membawakan lagu itu dengn baik dan lagu itu menjuarai Juara Lagu.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 18 November 2007, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Sekadar Di Pinggiran – Francissca Peter