Lagu 'Selamat Hari Raya' popular sejak 1955

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, lagu malar segar Selamat Hari Raya ciptaan Ahmad Jaafar dendangan Biduanita Saloma mula popular selepas menghiasi filem arahan Datuk L Krishnan pada 1955.

Menurut satu artikel, saban tahun lagu ini pasti berkumandang di udara terutama menjelang Aidilfitri.  Sekalipun lagu baru datang dan pergi, lagu klasik Selamat Hari Raya nyanyian Allahyarham Puan Sri Saloma versi rakaman 1973, tetap menjadi pilihan peminat.

Difahamkan, lagu ciptaan Ahmad itu mulanya dirakamkan untuk menghiasi filem Selamat Hari Raya arahan Krishnan terbitan 1955.  Filem itu dibintangi Datuk Maria Menado bersama Allahyarham Datuk S Roomai Noor.  Sejak awal lagi lagu itu memang dinyanyikan Saloma, cuma versinya berbeza dari segi susunan muzik dan lirik.  Versi asal menyelitkan kemeriahan bermain mercun tetapi tidak lagi dalam versi 1973.

Rakan karib Saloma, Aimi Jarr yang juga penulis hiburan veteran berkata, ketika hayatnya dulu, penghibur legenda itu memang suka menyanyikan lagu berkenaan. 

"Kadangkala, dia (Saloma) menangis kerana lagu itu mengingatkannya kepada zaman kanak-kanak.  Dulu elemen hiburan memang kurang.  Yang ada cuma radio dan wayang gambar, jadi lagu mempunyai pengaruh yang besar kepada masyarakat.  Ketika itu (lewat 1950-an) juga, lagu raya cuma ada beberapa kerat saja termasuk Suara Takbir nyanyian Tan Sri P Ramlee.  Kemudian pada era 60-an, barulah datang lagu Datuk Ahmad Jais, Allahyarham S Jibeng dan Allahyarham Fazidah Joned," kata Aimi.

Sementara itu, dapat diperhatikan setiap tahun, EMI Malaysia terus menerbitkan CD lagu klasik hari raya termasuk nyanyian P Ramlee (Dendang Perantau) dan Saloma kerana ia sentiasa mendapat permintaan dan sukar ditandingi album kompilasi lagu raya pada zaman ini.  Selain itu, lagu raya era 1970-an nyanyian Datuk Sharifah Aini, Uji Rashid & Hail Amir, Sanisah Huri, Allahyarham Datin Rafeah Buang dan Datuk DJ Dave juga cukup mesra telinga.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 21 September 2008, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Selamat Hari Raya – Saloma (versi 1973)