Muzik 'boy band' ikut citarasa semasa

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, boy band, yang turut disebut sebagai boys band atau boy's band di sesetengah negara, adalah satu lagi jenis kumpulan pop yang menampilkan sekumpulan penyanyi lelaki muda.  Anggota kumpulan ini juga kebiasaannya mampu menari dengan baik selain sering menampilkan sekuen reka tari yang menarik mengikut muzik mereka.

Walaupun sehingga kini masih tiada ciri jelas untuk menterjemahkan apa itu maksud boy band, kita masih boleh melabel sebuah kumpulan sebagai boy band kerana mereka mengikut trend muzik arus perdana, menukar penampilan agar tidak ketinggalan dengan trend fesyen semasa, mencipta gerak tari begitu kreatif dan tersendiri, selain membuat persembahan yang agak kompleks. 

Kalangan ini juga boleh melalui evolusi dari kumpulan koir gereja atau kumpulan muzik Gospel, namun mereka biasanya disatukan oleh pengurus pencari bakat atau penerbit album yang menjalankan pencarian bakat untuk mencungkil keupayaan menari, skil rapping dan kebolehan menyanyi.

Boy band juga sering dianggap sebagai artis 'mi segera' atau kumpulan 'pasang siap'.

Kebanyakan anggota band boy tidak boleh bermain instrument muzik, gaya persembahan mereka lebih bertumpu kepada persembahan vokal harmoni (kecuali seperti kumpulan A1, The Moffatts, South 65, Marshall Dyllon, Busted dan McFly).  Akibat sering dikaitkan dengan sesuatu yang berorientasikan komersial terutama cenderung menarik khalayak yang masih bersekolah dan remaja, istilah itu mendapat konotasi negatif dalam amalan kewartawanan muzik.

Boy band juga sama konsepnya dengan kumpulan penyanyi wanita remaja (girl group).  Biarpun kebanyakan boy band lebih dipengaruhi genre R & B, mereka juga mendapat suntikan muzik lain seperti power pop, muzik country, muzik folk dan pop rap. 

South 65 dan Marshall Dyllon, sebagai contohnya adalah dua kumpulan boy band yang memperjuangkan muzik country.  Kumpulan Il Divo pula yang ditubuhkan oleh Simon Cowell adalah boy band yang mempersembahkan Operatic group.

Sejak 2001, mula wujud elemen lintasi membabitkan power pop dan pop punk, bagaimanapun ia hanya menular di kalangan boy band yang bermain instrumen muzik.  Apa yang jelas, kewujudan boy band banyak bergantung kepada apakah genre yang paling terkini dan bergaya, dan tidak menekankan kepada sesuatu yang asli.  Sebagai contoh, sehingga 2008, boy band sering meniru gaya pop punk, garage rock 1960-an, post punk revivalists, pop rap, power pop dan juga dance-punk.

Di Malaysia, boy band juga boleh dirujuk kepada kumpulan New Boyz dan Ants.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 22 March 2009, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Un Regalo Que Te Dio La Vida 'Have You Ever Really Loved A Woman' – Il Divo