Muzik Melayu Deli popular era 1950-an

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda apa itu maksud Melayu Deli?  Ia berkait dengan soal bahasa dalam lingua franca Melayu.  Jika dikaitkan dengan asal usul bahasa, Bahasa Melayu Deli pada asasnya adalah sama dengan Bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia.

Namun, bahasa ini telah banyak dipengaruhi oleh bahasa dari Batak Karo dan pelbagai bahasa di sekitarnya.  Bahasa Melayu Deli dituturkan di bahagian utara Sumatera Utara iaitu di daerah Langkat, Deli Serdang dan sebahagian kota Medan.  Di Medan sendiri, terdapat banyak stesen radio awam mahupun negeri yang menggunakan bahasa Melayu Deli.

Orang pertama yang menggunakan istilah ‘Melayu’ dalam muzik adalah Dr A K Gani, tokoh Parti Serikat Islam Indonesia (PSII), pada 1938.  Di mata Gani, muzik Melayu adalah muzik rakyat dan dia pernah berkata: "Bisa dimanfaatkan untuk membangkitkan nasionalisme."

A K Gani memasukkan keroncong, orkes harmonium, dan irama Malaya ke dalam rumpun orkes Melayu. Sejak itulah, pada masa awal kemerdekaan, muzik ini mendapat keutamaan. Radio Republik Indonesia adalah media pertama yang meluaskan orkes Melayu ini hingga sangat popular dan menjadi muzik untuk rakyat.

Sepuluh tahun sejak ‘Gerakan Bersama’ itu muncul, pelbagai corak lagu Melayu dihasilkan dan yang paling menonjol adalah Melayu Deli.  Instrumen yang digunakan dalam irama Melayu Deli ini antara lain akordian, seruling, kadang-kala gambus dan rebana (yang menerima pengaruh muzik Arab).  Selain itu juga digunakan gendang yang menghentak.  Gendang ini digunakan untuk mengiringi tarian yang mengutamakan gerak kaki.

Begitu dominannya pengaruh Melayu Deli.  Jika orang menyebut 'Melayu' maka yang hidup di kepala masyarakat adalah Melayu Deli.  Pada sekitar 1955, Orkes Melayu Chandralela pimpinan Mashabi dengan penyanyi seperti Said Effendi, Ellya Agus (Ellya Khadam), Juhana Satar, dan Elvy Sukaesih sangat popular.

Menyusul kemudian Orkes Melayu Bukit Siguntang pimpinan Abdul Chalik dengan penyanyi, Hasnah Thahar dan Husaimi.  Ada juga A Haris yang mencipta lagu yang sangat terkenal, Kudaku Lari.  

Di Malaysia, penyanyi irama Melayu Deli yang cukup berjaya dan terkenal serta masih bergiat aktif hingga sekarang, antaranya ialah Datuk Ahmad Jais, Datuk Sharifah Aini, Herman Tino dan Zaleha Hamid.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 4 November 2007, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Senandung Nak DaraS Effendy