Gitar wujud sejak zaman kuno

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, gitar adalah alat muzik atau instrument muzik yang lahir dan berakar sejak zaman kuno lagi dan memainkan pelbagai fungsi dalam variasi gaya muzikal.  Biasanya, gitar mempunyai enam tali, tetapi terdapat juga jenis gitar dengan empat, tujuh, lapan, 10 dan 12 tali.

Gitar sudah diiktiraf sebagai antara instrumen paling utama dalam muzik blues, country, flamenco, muzik rock dan banyak lagi irama berbentuk pop.  Ia juga boleh berperanan sebagai instrumen klasikal solo.  Gitar juga boleh dimainkan secara akustik, di mana tone bunyi dihasilkan oleh getaran tali dan ditinggikan atau direndahkan oleh badannya yang berongga, atau ia juga bergantung pada fungsi penguat (amplifier) yang mampu memanipulasi tone secara elektronik.  Jenis gitar ini mula diperkenalkan sekitar abad ke-20 dan terus berkembang selepas menerima pengaruh dan budaya muzik popular.

Secara tradisionalnya, gitar dibentuk atau dibuat dengan kombinasi pelbagai jenis kayu dan talinya diperbuat daripa isi perut haiwan.  Bagaimanapun, kini penggunaan tali nilon atau keluli menjadi pilihan.  Gitar dibuat dan diperbaiki oleh pembuat kecapi (Lut) atau mana-mana pembuat alat muzik bertali secara amnya.

Sebelum perkembangan pesat gitar elektrik dan penggunaan bahan sintetik, gitar didefinisikan sebagai instrumen yang mempunyai leher berukir panjang, bod suara daripada kayu yang rata, tetulang dan belakang yang rata, lebih banyak mempunyai tepi yang melengkung ke dalam. 

Instrumen yang lebih kurang sama dengan gitar sudah mula popular sejak 5,000 tahun dulu.  Gitar itu dikatakan terbit daripada instrumen yang lebih awal terkenal di India dan Asia Tengah sebagai Sitara.

Perkataan moden gitar, dipinjam ke bahasa Inggeris daripada bahasa Sepanyol iaitu giutarra.  Ia terbit daripada bahasa Latin, cithara yang difahamkan berasaskan pula daripada perkataan Greek, kithara yang dipercayai terbit pula dari perkataan Parsi, sihtar.  Sihtar sendiri ada kena mengena dengan instrumen India, sitar.

Gitar terbahagi kepada dua kategori iaitu yang luas penggunaannya sebagai akustik dan elektrik.

Tahukah anda, gitaris atau shredder ternama negara ialah Man Keedal atau nama sebenarnya Rahman Mahmud.  Dilahirkan di Johor pada 2 Mac 1963, Man Keedal sudah mula berimain gitar sejak berusia 10 tahun lagi hasil dorongan ayahnya, seorang pemain harmonika.  Namanya mula gah sekitar 1985 ketika menganggotai kumpulan rock ikon, Search.  Bersama Search, namanya begitu meletup menerusi album Cinta Buatan Malaysia.  Man Keedal gelaran yang diberikan atas karakter istimewanya yang kidal, juga bertanggungjawab mempelopori kumpulan rock, Lefthanded.

Gitar popular yang dipakainya ialah Fender Stratocaster 1978 bersama amplifier Marshall, beliau menampilkan gaya permainan speed, neoclassic dan shredd.  Gitaris idola beliau ialah Yngwie Malmsteem, Ritchie Blackmore dan Jimi Hendrix.

Di Malaysia juga, gitaris terkenal lain termasuklah Hillary Ang, Joe Wings dan Samad (Lefthanded).

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 13 Januari 2008, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: SandiwaraHillary Ang