\
INFO SENI adalah wadah yang membicarakan tentang (1) sumbangan besar tokoh-tokoh perfileman Melayu seperti P Ramlee - Seniman Agung yang serba boleh, Jins Shamsuddin - pelakon dan pengarah filem yang hebat, Haji Mahadi - pelakon dan anak Melayu pertama sebagai pengarah filem, Kasma Booty - primadona filem Melayu, Deddy M Borhan - produser filem yang berjaya, Hussain Haniff - pengarah filem yang karya filemnya lebih bersifat kemelayuan dan Bat Latiff - seorang pelakon kanak-kanak berbakat; (2) tokoh-tokoh muzik seperti Kassim Masdor - komposer tersohor dari Singapura, Johari Salleh - komposer dan pengarah muzik, R Azmi - penyanyi dan penyanyi latar filem Melayu, JS Kevin - komposer dan penulis lirik, Loloq - penulis lirik, Rahim Jantan - tokoh lagu tradisional dan kumpulan pemuzik Orkes Nirwana Johor Bahru (ONJB); (3) sejarah penubuhan Kementerian Penerangan, Panggung Coliseum, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Orkestra RTM, Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), Orkestra Filharmonic Malaysia (MPO), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPac); (4) sejarah terawal penganjuran Festival Filem Malaysia dan Anugerah Bintang Popular BH (APBBH); (5) sejarah teater tradisional wayang kulit dan boria, persembahan tarian Melayu Mak Yong, Zapin, seni muzik Ghazal, nobat dan persembahan pentas dikir barat; (6) lain-lain topik antaranya Rahman B - tokoh bangsawan, Lat - kartunis tersohor, Ahmad Merican - tokoh penyiar, Syed Alwi Syed Hassan - tokoh teater, drama dan sasterawan dan Dr Anuar Nor Arai - pengkiritik terhadap bidang perfileman, pengarah drama dan teater. |
MENU UTAMA INFO SENI |
Pemulaan muzik jazz dikatakan berkembang di Sungai Mississippi, Memphis, St Louis dan Chicago - banyak dipengaruhi muzik yang bertapak di New Orleans seperti muzik spiritual, cakewalks, ragtime dan blues yang bertapak lebih awal. Dipercayai, ia dibawa seorang pemilik kedai cukur rambut di New Orleans bernama Buddy Bolden. |
Sumbangan Deddy M Borhan dapat dilihat apabila beliau menubuhkan syarikat perfileman Sabah Film Productions di Kuala Lumpur pada 1975. Menerusi syarikat itu, dia dianggap sebagai penyelamat dalam industri perfileman tempatan yang ketika itu sedang merudum. Pada waktu itu, dunia perfileman Melayu dianggap sudah berkubur kerana kebanjiran filem Indonesia yang menguasai pawagam-pawagam tempatan. |
Perlantikan seniman veteran Tan Sri Dr Jins Shamsuddin ke jawatan Senator di Dewan Negara selama dua penggal pada 2004 dan pelantikan untuk penggal kedua pada 2009 adalah bukti pengiktirafan kerajaan terhadap penggiat seni di Malaysia. Ketokohan Jins sebagai ikon perfileman negara yang mengabdikan diri dalam dunia lakonan sejak zaman perfileman Melayu di Jalan Ampas, Singapura terserlah kerana beliau bukan saja seorang bintang filem tapi dianggap sebagai ilmuwan filem. Jins mempunyai kehebatan tersendiri kerana turut berjaya sebagai seorang pengarah filem yang hebat. |
Seniwati Kasma Booty atau nama sebenarnya Kasma Abdullah boleh disifatkan sebagai primadona filem Melayu. Beliau adalah antara pelakon yang berjaya mencipta tarikan tersendiri dalam filem yang dilakonkan, malah mendapat jolokan Elizabeth Taylor Malaysia dan Ratu Filem Melayu kerana kejelitaannya dan bakat lakonan yang bermula sejak umur 15 ketika membintangi filem Chempaka. |
Gelaran Seniman Agung terhadap tokoh genius filem Melayu ini adalah satu-satunya gelaran seumpamanya diberikan kepada insan seni di negara ini. Gelaran terbabit dianggap cukup signifikan terhadap sumbangan, jasa bakti, kehebatan dan pencapaian cemerlang P Ramlee yang sukar untuk ditandingi mana-mana pengkarya seni lain di Malaysia, khususnya dalam dunia muzik, lakonan, pengarahan filem dan penghibur. |
Sejarah awal Kementerian Penerangan bermula apabila wujudnya stesen radio sebagai saluran komunikasi terawal di negara ini. Radio digunakan untuk menyebarkan dakyah dan propaganda penjajah British dan Jepun bagi mempengaruhi minda dan meraih sokongan rakyat di Tanah Melayu ketika itu. Malayan Film Unit (MFU) melalui penerbitan filem digunakan bagi melancarkan perang saraf terhadap pengaruh pengganas komunis yang mengancam keselamatan Tanah Melayu pada 1948. |
Minat Datuk Johari Salleh dalam bidang muzik bermula sejak kecil lagi dan banyak didorong oleh bapanya, Mohd Salleh Mohamad yang juga pemain muzik secara sambilan, selain guru muziknya Saaban Saliman. Dilahirkan pada 9 Februari 1940 di Geylang, Singapura, minat dan dorongan terhadap muzik mencetuskan keinginan mendalam Johari hingga sanggup menghabiskan masanya dengan berlatih bermain alat muzik setiap pagi dengan Saaban, tidak seperti remaja lain ketika itu. |
Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) ditubuhkan pada 1989 apabila Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia melantik 17 ahli muzik professional sebagai asas kepada penubuhan orkestra terbabit dengan bantuan kerajaan Jepun yang menyumbangkan sebahagian besar alat-alat muzik untuk pembangunan OSK. Hanya pada 1993, OSK dilancar secara rasmi oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan ketika itu, Datuk Sabbaruddin Chik dengan Abdul Fatah Karim dilantik sebagai konduktor OSK pertama. |
Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) adalah persatuan artis yang paling lama ditubuhkan untuk memperjuang, membela, menjaga kebajikan dan meningkatkan imej artis Malaysia. Ditubuhkan pada 1974 hasil usaha sama Ahli Parlimen Setapak, Idris Ibrahim, pelakon Zainuddin Zimbo dan beberapa pelakon Studio Merdeka, Kuala Lumpur. Penubuhan SENIMAN ketika itu ialah bagi menggantikan Persatuan Artis-Artis Malaysia (PERSAMA) yang pernah dipimpin oleh P Ramlee di studio Jalan Ampas, Singapura pada tahun 1960-an. |
Acara Anugerah Bintang Popular BH (APBBH) yang tahun ini memasuki pengajuran kali ke-26 mencatatkan satu perjalanan sejarah yang panjang. Mula diilhamkan pada 1987 hasil idea bekas Pengarang Kumpulan BH, Datuk A Nazri Abdullah bersama beberapa orang penting dalam meja hiburan BH ketika itu terutama Pengarang Unit Hiburan (ruangan Pusaparia), Nordin Mohamad serta wartawan hiburan BH, Zubairi Zabidin. |
Mendengar lagu rock yang dinyanyikan sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, pastinya akan perasan nama komposer dan penulis lirik JS Kevin. Komposer kelahiran Kuala Lumpur atau nama sebenarnya Zul Adnan Mohd Razali adalah antara komposer yang mempunyai sentuhan muzik rock tersendiri. Walaupun tidak mendapat pendidikan asas dalam bidang muzik, tapi keupayaan JS Kevin dalam penulisan lirik dan gubuhan lagu sangat kreatif dan ada nilai sentimental. |
Bermula dengan nama Orkes Radio Malaysia yang dipimpin Tan Sri Ahmad Merican dengan beroperasi di Rumah Persekutuan di Jalan Raja, Kuala Lumpur, orkestra ini menjadi saksi kepada kelahiran kumpulan ini yang pada awalnya sebelum operasi Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) bermula. Apabila digabungkan dengan RTM pada 1969 dan kemudian bertapak di Angkasapuri, Kuala Lumpur, namanya duitukarkan kepada Orkestra RTM (ORTM). |
Panggung Coliseum adalah panggung wayang yang terawal dibina di Kuala Lumpur iaitu pada 1920 yang diwarisi oleh peguam Chua Guan Hock daripada bapanya Dr Chua Boon Teck dan Madam Khor Joo Saik. Pada awalnya Panggung Coliseum yang dibina dengan konsep reka bentuk kolonial ini turut mempunyai sebuah cafe dan hotel menjadi pilihan kepada penjajah British untuk bersantai sambil minum kopi, menonton wayang dan juga bermalam di hotel dalam bangunan dua tingkat itu. |
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terletak berhampiran Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad ini menyimpan nilai sejarah kerana dibina sejak zaman kolonial British oleh arkitek Bension Hubback pada 1896. Ia siap sepenuhnya pada 1904. Panggung Bandaraya diwartakan mengikut Akta Antikuiti sebagai antara 22 bangunan tertua di Malaysia yang berusia lebih 100 tahun. |
Seiring perkembangan pesat industri perfileman tempatan menyaksikan perlunya ada satu majlis untuk mengiktiraf warga filem yang banyak mencurahkan idea dan keringat untuk membangunkan industri perfileman. Walaupun industri perfileman bermula sejak 1930-an lagi, filem Melayu hanya menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa seperti Festival Filem Asia Pasifik ketika itu. Atas inisiatif Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) yang ketika itu dipimpin Norshah Thamby, tercetusnya idea untuk menganjurkan Festival Filem Malaysia (FFM) buat kali pertamanya dalam usaha mengangkat filem Melayu. |
Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPac) atau Pentas Seni Kuala Lumpur adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan peluang kepada penggiat seni untuk meluahkan hasil karya mereka dalam bentuk pementasan teater mahupun persembahan pentas. Lokasi pentas KLPac terletak di Sentul, Kuala Lumpur. KLPac diasaskan pasangan suami isteri yang juga aktivis teater, Datuk Faridah Merican dan Joe Hasham yang mana pada awal penubuhannya pada 1995, ia terletak di Plaza Putra, Dataran Merdeka yang awalnya dikenali sebagai The Actors Studio@Plaza Putra. |
Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) ditubuhkan pada 1997 berpusat di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Menara Berkembar Petronas (KLCC). Konsert pertama diadakan pada 17 Ogos 1998 dengan dirasmikan oleh Penaung MPO, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pengarah muzik pertamanya adalah Kees Bakels yang berkhidmat hingga 2005. Penubuhan DFP adalah sumbangan PETRONAS dalam usaha memajukan seni dan budaya negara, selain menyemai dan menanam minat di kalangan masyarakat mencintai irama klasik yang bersifat sejagat. |
Bukan calang-calang kumpulan pemuzik yang mampu bertahan lama. Orkes Nirwana Johor Bahru (ONJB) di bawah pimpinan Datuk A Rahman Hassan membuktikan keutuhan kumpulan pop yeh yeh ini apabila mereka dicatat dalam Malaysia Book Of Records sebagai Kumpulan Pop Yeh Yeh Paling Lama Bertahan sempena ulang tahun ke-40 penubuhan band ini pada 2005. ONJB ditubuhkan pada 25 Mac 1965 di Jalan Temenggung Ahmad, Johor Bahru dengan anggotai asal seramai 12 orang, namun disebabkan komitmen kerja menyebabkan mereka meninggalkan ONJB. |
Penyanyi era 1950-an, R Azmi atau nama sebenarnya, Raja Azmi Raja Ambiah dilahirkan pada 1923. Beliau berdarah kerabat diraja Perak. Ketika zaman kegemilangannya, beliau dianggap sebagai penyanyi pujaan wanita disebabkan suaranya yang gemersik dan cukup merdu. Sekiranya P Ramlee dianggap sebagai permata dalam bidang lakonan, R Azmi pula adalah pujaan dalam bidang nyanyian dan dikatakan mereka bersaing hebat dalam bidang seni suara pada zaman itu. |
Kelantangan mengutarakan padangan dan kritikan terhadap bidang perfileman menjadikan Dr Anuar Nor Arai muncul antara tokoh perfileman dan pendidikan yang disegani. Kritikan dan pandangan diberikan semata-mata untuk memastikan kelangsungan bidang perfileman bukan saja ditonjolkan dalam bentuk komersial, malah hadir dengan gaya seni dan nilai artistik yang tinggi. Bukan sekadar memberi pandangan dan kritikan membuta tuli, tetapi Dr Anuar membuktikan dalam karya beliau sendiri sama ada dalam drama, filem mahupun teater yang diarahnya. |
Rahman B yang dilahirkan pada 18 Mei 1935 di Kapar, Klang adalah anak kepada pasangan pelakon bangsawan, Abu Bakar Saleh atau Bakar M dan ibunya, Kasminah Taib atau dikenali sebagai Minah B. Sejak kecil lagi Rahaman dan adiknya, Rohani B didedahkan dengan dunia bangsawan kerana mengikut orang tuanya berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain untuk pementasan bangsawan. |
Datuk Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat, dilahirkan pada 5 Mac 1951 ialah seorang kartunis tersohor Malaysia. Pemenang Hadiah Kebudayaan Asia Fukuoka pada 2002 ini pernah menerbitkan lebih 20 jilid kartun sejak berusia 13 tahun. Kebanyakan karyanya menggambarkan suasana sosial dan politik Malaysia secara lelucon tanpa berat sebelah. Karya Lat yang paling terkenal ialah The Kampung Boy (1979) yang turut diterbitkan dalam beberapa negara di serata dunia. |
Melihat keletahnya dalam filem klasik, Nujum Pak Belalang arahan dan lakonan P Ramlee, tentunya membuatkan penonton juga tertarik atau mengagumi gaya lakonan seorang kanak-kanak cerdik yang memegang watak Belalang. Itulah Bat Latiff yang ketika itu berusia lapan tahun. Menyorot kembali kehidupan awal Bat Latiff atau nama sebenarnya Mohd Ali Abdul Latiff, bakat lakonannya mula dikesan apabila beliau sering berulang alik ke studio Malay Film Production (MFP) di Jalan Ampas, Singapura, untuk menemani ibunya, Mariam Baharom yang juga seorang pelakon di MFP. |
Rahim Jantan ialah tokoh seni suara dan pemuzik tradisional yang pernah bergiat aktif memartabatkan lagu Melayu asli sejak 1956. Bakatnya dalam seni muzik dikesan bermula sejak dibangku sekolah apabila diberi tugas oleh gurunya untuk mengetuai nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku. Dek minatnya yang mendalam terhadap muzik, anak kelahiran Balai Panjang, Melaka ini pernah membuat biolanya sendiri dengan menggunakan papan lapis dan dawai. Atas kesungguhan itu, bapanya yang juga seorang penggesek biola terkenal di kampungnya, menghadiahkan biola kepadanya. |
Rosli Khamis atau lebih dikenali sebagai Loloq (1958 - 30 Januari 2008) adalah seorang penulis lirik yang terkenal di negara ini dan Singapura. Beliau sering bergandingan dengan M Nasir dalam menghasilkan lagu baru. Selain menggunakan nama Loloq beliau juga sering menggunakan nama Nurbisa untuk lirik ciptaannya. Selain aktif dalam bidang penulisan lirik, penulis lirik yang berasal dari Singapura ini turut berlakon dalam beberapa filem dan drama. |
Sebagai seorang pengarah pada zaman kegemilangan filem Melayu era 1960-an, nama Hussain Haniff tidaklah sepopular nama Tan Sri P Ramlee, namun karya filem dihasilkannya mempunyai nilai sentimental dan kehebatan tersendiri apabila dikatakan lebih bersifat kemelayuan berbanding pengarah filem Melayu zaman itu. Pembabitan awal Hussain Haniff bermula di belakang tabir sebagai pelukis tirai di beberapa pentas bangsawan mengikut jejak bapanya yang pernah bekerja sebagai pelukis dan pengarah seni di studio Malay Filem Production (MFP). |
Tan Sri Ahmad Othman Merican adalah tokoh yang berjuang dalam bidang penyiaran Malaysia terutama ketika bertugas dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak 1950'an lagi. Beliau mencetuskan beberapa program hiburan TV yang menjadi fenomena ketika itu, selain turut bertindak sebagai pemimpin Orkestra RTM pertama yang ketika awal penubuhannya pada 1961 dikenali sebagai Orkes Radio Malaya. Memimpin Orkes RTM pertama menyaksikan beliau berjaya mewujudkan sebuah kumpulan muzik ketika itu. |
Datuk Syed Alwi Syed Hassan bukanlah seorang tokoh teater, drama dan sasterawan dalam pengertian biasa. Beliau ialah tokoh sastera yang hebat. Dua perkara tidak pernah diabaikan Seniman Negara ini setiap kali berkarya ialah realiti sosial dan bangsa Melayu yang menjadi identiti tokoh teater ini. Biarpun mendapat pendidikan formal dalam bidang teater di Amerika Syarikat tetapi Syed Alwi tidak pernah terpengaruh dengan budaya luar untuk diserapkan dalam teater tempatan. |
Seniman Haji Mahadi atau Mohd Mahadi Mohd Said dilahirkan di Kampung Merbuk, Negeri Sembilan pada 1914, Haji Mahadi dihantar belajar di Madrasah al-Falah di Makkah ketika berumur 14 tahun. Harapan bapa beliau untuk beliau menjadi pendakwah tidak tercapai kerana Haji Mahadi memilih menceburi bidang kewartawanan di Utusan Melayu (Singapura). Haji Mahadi beralih pula ke dunia perfileman untuk mencari pengalaman baru pada 1950. Haji Mahadi menjadi penterjemah skrip di Malay Film Production (MFP). |
Beliau memulakan kerjayanya di Studio Jalan Ampas, Singapura sebagai kerani sebelum berkenalan dengan pelakon dan penyanyi di MFP seperti P Ramlee untuk belajar mengenai muzik. Perkenalan dengan Tan Sri P Ramlee berjaya untuk mengembangkan bakat Kassim Masdor dalam bidang muzik sehinggakan setiap kali P Ramlee mendapat ilham, pasti beliau dapat menyiapkan lagu terbabit selain bertindak sebagai komposer untuk muzik runut bunyi filem di MFP ketika itu. Ini menjadikan Kassim adalah antara sahabat baik P Ramlee. |
Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) adalah institusi pengajian tinggi berkaitan seni persembahan yang ditubuhkan Kerajaan Pusat pada 1994 dan diletakkan sepenuhnya di bawah Kementerian Kebudayan, Kesenian dan Pelancongan (KKKP) ketika itu. Nama asalnya ialah Akademi Seni Kebangsaan (ASK) ditukarkan kepada ASWARA bermula 1 Ogos 2006 selepas penggubalan Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsan 2006 (Akta 653). |
Nobat ialah muzik yang berfungsi sebagai pancaragam di istana raja Melayu yang dimainkan untuk upacara rasmi seperti istiadat pertabalan, hari keputeraan sultan, perkahwinan diraja, istiadat berkhatan diraja dan upacara sambutan diraja. Nobat dikatakan wujud dan terpelihara sejak 400 tahun lalu dan menjadi persembahan istana bagi negeri tertentu seperti Perak, Kedah, Selangor dan Terengganu. Nobat Kedah adalah yang paling lama dan terus bertahan hingga kini. |
Ghazal adalah satu kesenian tradisional masyarkat Melayu Johor yang popular sejak dulu hingga dewasa ini. Pada peringkat permulaannya, seni muzik ghazal ini disebut sebagai qamat yang bererti nyanyian dan beriuh rendah yang dikatakan berasal dari Tanah Arab. Pada akhir abad ke-19, apabila kerajaan Johor menjalin hubungan erat dengan kerajaan Riau-Lingga, beberapa orang dari golongan bangsawan Johor sering berulang alik ke Riau. Mereka sering dihiburkan dengan permainan ghazal. Ada antara mereka mempelajari kesenian ini dan memperkenalkan kesenian ini di istana Sultan Johor yang pada ketika itu berada di Teluk Belanga, Singapura. |
Tarian zapin ialah sejenis gerak tari Melayu tradisional yang dibawa masuk pendakwah dari Timur Tengah yang berdagang di negara kepulauan Nusantara dan dikatakan berasal dari Yaman. Dalam dialek Yaman, zapin lebih deikenali sebagai Zaffana. Sejak dulu lagi, tarian zapin terus berkembang dan tersebar luas di wilayah Johor Riau, iaitu pusat pemerintahan Johor Lama, Singapura, wilayah Sarawak dan Brunei Darussalam. |
Dikir Barat adalah seni hiburan yang sangat popular terutama di Kelantan. Asal usulnya masih belum jelas dan hanya disampaikan dari mulut ke mulut namun dikatakan datang dari selatan Thailand atau utara Semenanjung. Dikir barat diketuai oleh ketua ataupun Tok Jogha (juara) dan Tukang Karut yang akan menyanyikan lagu dan diikuti secara beramai-ramai oleh anggota lain (awak-awak). Dikir barat terbentuk hasil asimilasi budaya Melayu, Siam dan Islam yang seterusnya membentuk kebudayaan masyarakat Melayu terutama di Kelantan. |
Wayang kulit adalah satu bentuk teater tradisional yang menggunakan patung kulit yang terdiri daripada pelbagai watak metodologi dan khayalan dengan gerakan daripada seorang Dalang. Persembahan wayang kulit selalunya diringi satu kumpulan muzik paluan atau gamelan dan juga alat tiupan (serunai) atau alat bertali (rebab). Seni ini dimasyhurkan lebih 1,000 tahun dulu di kawasan negara Timur Tengah dan Asia Tenggara. |
Persembahan boria adalah sejenis teater yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu sketsa dan nyanyian yang diketuai seorang tukang karang (biasanya akan memegang tongkat/ baton ketika menyanyi) dan diringi Sailor yang terdiri lebih daripada enam orang di belakang tukang karang yang akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama nyanyian tukang karang. |
Seni Mak Yong adalah tarian Melayu yang unik dan halus sifatnya. Ia adalah kombinasi unsur tarian, muzik, drama dan komedi yang dipentaskan. Terdapat 12 cerita pokok Mak Yong yang utama, antaranya termasuklah Dewa Muda, Raja Tangkai Hati, Raja Bijak Laksana, Gading Betimang, Raja Muda Lakleng dan Raja Besar Ho Gading. Tarian tradisional Melayu ini dipersembahkan beberapa watak seperti Pak Yong, Pak Yong Muda, Mak Yong, Puteri Mak Yong, Peran dan watak Dayang-Dayang. |
Dikemaskini 24 September 2024 @ Okt2007 |