\
|
Kehebatan Suara R Azmi |
Penyanyi era 1950-an, R. Azmi atau nama sebenarnya, Raja Azmi Raja Ambiah dilahirkan pada 1923. Beliau berdarah kerabat diraja Perak. Ketika zaman kegemilangannya, beliau dianggap sebagai penyanyi pujaan wanita disebabkan suaranya yang gemersik dan cukup merdu. Sekiranya P Ramlee dianggap sebagai permata dalam bidang lakonan, R Azmi pula adalah pujaan dalam bidang nyanyian dan dikatakan mereka bersaing hebat dalam bidang seni suara pada zaman itu. Antara lagu nyanyian beliau seperti Si Cantik Manis, Hati Rindu, Terimalah Salamku, Putih Kuning, Kalau Ke Singapura, Ingin Ku Berjumpa, Helo Helo Sayang, Senyuman Yang Manis, Di Bawah Bulan Purnama (duet dengan Rokiah Wanda), Renungan Di Senjakala, Hatiku Kecewa, Mata Keranjang, Nasib Penyanyi, Bercerai Kasih, Kerana Mata, Hore Hore Samba, Pak Hitam, Rindu Kalbu dan Kalau Sudah Tergoda. Bawa Diri Ke Singapura Namun begitu tidak banyak kisah hidup atau catatan biografi mengenai R Azmi yang diperoleh dan hanya melalui cerita lisan daripada individu yang pernah mendekatinya. Dikatakan R Azmi disisih oleh keluarganya kerana memilih untuk aktif dalam bidang seni. Ini menyebabkan beliau membawa diri ke Singapura dan diterima bekerja di studio Malay Film Productions (MF) Jalan Ampas sebagai penyanyi latar dan pelakon pembantu. Kebanyakan lagu R Azmi juga banyak digunakan dalam filem arahan P Ramlee dan beliau pernah merakam lagu Mesra Ibu dan Kelasi yang sebelumnya dinyanyikan P Ramlee dalam filem Sedarah, lagu Hati Gelisah yang dipetik daripada filem Aloha dan lagu Penghidupan Baru yang dinyanyikan bersama Rubiah. Selain itu, R Azmi juga pernah berlakon dalam filem Bapa Saya, selain turut bertindak sebagai penyanyi latar dalam filem terbabit. Kerjaya nyanyian beliau terus rancak hinggalah pada 1960-an apabila namanya mula tenggelam menyebabkan R Azmi terpaksa menyara hidup dengan menyanyi di funfair. Namun, sambutan yang diterima juga tidak seberapa. Lagu Nasib Penyanyi dikatakan menggambarkan kehidupan sebenar beliau yang mulai dipinggirkan peminat. Hidupnya terus melarat dan terpaksa menumpang teduh di rumah orang hingga menemui ajal pada 28 Februari 1974 pada usia 51 tahun akibat serangan penyakit asma. Jimi Asmara Gambaran Kehidupannya Dikatakan, filem Jimi Asmara juga menggambarkan kehidupan R Azmi, banyak lagu serta karakter yang dilakonkan oleh Hani Mohsin sebagai Jimi Asmara mirip kepada gambaran ringkas kehidupan R Azmi. Walaupun hampir 40 tahun meninggalkan khazanah lagu nyanyiannya, namun semua dendangan itu terus berkumandang di radio malah turut digemari oleh generasi muda kini, membuktikan legasi lagu yang ditinggal R Azmi tidak pernah lekang dek panas, tak luntur dek hujan. Sumber: B*POP (Berita Minggu, 27 Januari 2013) |
|
|
Lagu Latar: Kalau Ke Singapura - R Azmi |