\
|
NOBAT BERASAL DARI PARSI |
Nobat ialah muzik yang berfungsi sebagai pancaragam di istana raja Melayu yang dimainkan untuk upacara rasmi seperti istiadat pertabalan, hari keputeraan sultan, perkahwinan diraja, istiadat berkhatan diraja dan upacara sambutan diraja. Nobat dikatakan wujud dan terpelihara sejak 400 tahun lalu dan menjadi persembahan istana bagi negeri tertentu seperti Perak, Kedah, Selangor dan Terengganu. Nobat Kedah adalah yang paling lama dan terus bertahan hingga kini. Nobat dikatakan berasal dari negara Parsi, berdasar salasilah asal kejadian nobat adalah dari keturunan Nabi Ibrahim yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Kemudian nobat ini dituntut, lalu diturunkan kepada zaman Iskandar Zulkarnain yang akhirnya dituntut oleh segala raja di Tanah Arab, Barat, Asia dan Timur. Alat Muzik Raja Nobat turut berkembang ke negara Islam seperti Sepanyol, Utara Afrika, India dan juga alam Melayu. Perkembangan nobat mempunyai kaitan rapat dengan perdagangan Arab yang ketika itu menjalankan monopoli perdagangan antara Timur dan Barat serta menyebarkan Islam ke negeri yang mereka singgah. Tidak ketinggalan juga, mereka turut menyebarkan kebudayaan Islam termasuk alat muzik nobat. Alat muzik nobat dijadikan sebagai hak kepunyaan raja di alam Melayu. Golongan istana menjadikan nobat sebagai alat kebesaran dan kemuliaan mereka. Yang di-Pertuan Agong pertama dilantik selepas negara ini mencapai kemerdekaan telah mengisytiharkan muzik nobat sebagai muzik istana. Nobat dimainkan di Istana Negara sebagai pengesahan kepada pertabalan itu. Sejak itu Nobat mula dikenali masyarakat umum. Sembilan Jenis Nobat dalam bahasa Sanskrit bererti sembilan, jadi nobat yang dipermainkan itu juga terdapat sembilan jenis alat bunyian iaitu Nahara, dua Gendang Besar, Gong, Nafiri, dua Serunai dan dua Ceng-ceng. Namun, peralatan digunakan dalam muzik nobat di setiap negeri adalah berbeza tetapi asas kepada muzik nobat adalah serunai, nafiri, gendang dan gong. Dalam sejarah nobat Kedah, muzik dimainkan dalam satu tempat khas atau Balai Nobat. Ia dibina pada 1912 yang terletak tidak jauh dari Masjid Zahir, di tengah-tengah bandar raya Alor Setar bagi menggantikan Balai Nobat lama yang diperbuat daripada kayu dan berbumbung zink. Di Balai Nobat ini disimpan segala alat muzik nobat termasuk serunai, nafiri, gendang dan gong yang dimainkan dalam upacara tertentu seperti pertabalan, kemangkatan dan acara rasmi. Sumber: B*POP (Berita Minggu, 14 Oktober 2012) |