\

 

KASSIM MASDOR TERBIT 60 ALBUM

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Kassim Masdor adalah nama yang tidak asing lagi sebagai komposer yang mula berkecimpung dalam bidang penulisan lagu sejak tahun 1950-an dan masih aktif menggubah lagu hingga kini.  Dilahirkan pada 1938 di Singapura, beliau memulakan kerjayanya di Studio Jalan Ampas, Singapura sebagai kerani sebelum berkenalan dengan pelakon dan penyanyi di MFP seperti P Ramlee untuk belajar mengenai muzik.

Perkenalan dengan Tan Sri P Ramlee berjaya untuk mengembangkan bakat Kassim Masdor dalam bidang muzik sehinggakan setiap kali P Ramlee mendapat ilham, pasti beliau dapat menyiapkan lagu terbabit selain bertindak sebagai komposer untuk muzik runut bunyi filem di MFP ketika itu.  Ini menjadikan Kassim adalah antara sahabat baik P Ramlee.

Kassim (kanan) bersama P Ramlee serta penggubah lagu, Osman Ahmad (kiri) dan Yusof BPrintis Panca Sitara

Selain itu, Kassim juga adalah antara perintis bagi kumpulan Panca Sitara yang ditubuhkan P Ramlee pada 1968, turut disertai Mohamad Abdul Hamid (Ahmad C), Aziz Jaafar dan penyanyi wanitanya, Normadiah yang mana mereka terkenal dengan gaya pemakaian cermin mata hitam.

Dalam kumpulan ini, Kassim juga bertindak sebagai pemain piano.  Selain itu juga Kassim gemar bermain gitar dan zilofon.

Selepas studio Shaw Brothers ditutup, Kassim dipanggil EMI Singapura untuk bertindak sebagai penerbit, komposer lagu dan sepanjang berkerja di EMI lebih lima tahun, Kassim menerbitkan lebih 60 album sebelum meninggalkan syarikat rakaman terbabit dan menubuhkan syarikat rakaman sendiri, Senada Records.

Antara penyanyi yang popular menyanyikan lagu ciptaan beliau adalah Datuk Ahmad Jais, Sanisah Huri, Kartina Dahari, Datin Rafeah Buang, Datuk Sharifah Aini, Datuk Ahmad Daud dan juga Datuk Sudirman.   Selain itu, beliau juga menulis lebih 400 lagu malar segar yang terus diingati hingga kini, antaranya Sapu Tangan Tanda Mata dendangan Puan Sri Saloma, Bahtera Merdeka (Ahmad Jais) dan Selamat Hari Raya (Fazidah Joned).

Tulis Lagu Patriotik

Walaupun kini Kassim tidak lagi seaktif dulu dalam penulisan lagu komersil, tetapi beliau sering diberi tanggungjawab untuk menulis lagu patriotik dan korporat.

Sebagai mengenang jasa beliau dalam bidang penciptaan lagu, pada Oktober 2002, Kassim menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh Persatuan Pemuzik Melayu Profesional Singapura (PERKAMUS), selain baru-baru ini, sebagai seorang komposer yang pernah bekerja dengan P Ramlee, Kassim dilantik sebagai Karyawan Tamu di Warisan Kebangsaan (ASWARA) sempena penubuhan Kursi P Ramlee.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 28 Oktober 2012)

 

Lagu Latar: Saputangan Tandamata - Saloma