\

 

ASAL USUL MUZIK JAZZ

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Ramai yang beranggapan jazz adalah muzik untuk golongan elit, namun sekiranya menelusuri sejarahnya, muzik ini berkembang daripada gaya hidup masyarakat kulit hitam di Amerika yang ditindas kerana menjadi mangsa perhambaan.

Secara tidak langsung, muzik jazz dijadikan sebagai seni ekspresi dalam bentuk muzik yang berhubung kait dengan ketahanan hidup dan ekspresi kehidupan manusia.

Pengaruh Muzik Spiritual

Permulaan muzik jazz dikatakan berkembang di Sungai Mississippi, Memphis, St Louis dan Chicago - banyak dipengaruhi muzik yang bertapak di New Orleans seperti muzik spiritual, cakewalks, ragtime dan blues yang bertapak lebih awal.

Dipercayai, ia dibawa seorang pemilik kedai cukur rambut di New Orleans bernama Buddy Bolden yang meniup sejenis alat muzik jazz dimulai sebagai gerakan baru dalam dunia muzik.

Jazz sebagai genre muzik yang popular mulai tersebar kepada hampir seluruh masyarakat Amerika pada 1920-an yang pada awalnya dikenali sebagai 'jazz age'.

Perkembangan Jazz

Jazz semakin berkembang pada era swing pada akhir 1930-an dan mencapai kemuncaknya pada akhir 1950-an sebagai jazz moden.  Muzik jazz banyak menggunakan intrument seperti gitar, trombon, piano, trumpet dan saksofon.  Satu elemen penting dalam jazz adalah sinkopasi.

Aliran muzik ini juga berjaya melahirkan ramai pemuzik dan penyanyi jazz yang berjaya membawa pengaruh masing-masing dalam industri muzik dunia, antaranya Louis Armstrong, Nat King Cole dan Charlie Haden.

Gaya Trumpet

Pada 1920, Louis Armstrong berjaya mewujudkan pengaruh besar kepada pemuzik terutama gaya trumpet dan vokalnya yang unik.  Karismanya dalam bermuzik tidak hanya memberikan pengaruh kepada pemuzik jazz lain tetapi juga dalam muzik pop.

Beberapa lagu hit Armstrong termasuk Star Dust, La Via En Rose dan What A Wonderful World.  Armstrong meninggal dunia di rumahnya di Queens, New York, pada 6 Julai 1971.

Di Malaysia muzik jazz masih lagi dalam peringkat perkembangan tetapi sudah mempunyai pengikutnya tersendiri.  Beberapa penyanyi tempatan seperti Sheila Majid, Noryn Aziz dan Atilia antara yang selesa dalam persembahan lagu berentak jazz biarpun bentuk jazz ditampilkan tidaklah dalam ketulinan sebenar.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 19 Januari 2014)

 

Lagu Latar: What A Wonderful World - Louis Armstrong