\
|
KEUNIKAN MAK YONG |
Seni Mak Yong adalah tarian Melayu yang unik dan halus sifatnya. Ia adalah kombinasi unsur tarian, muzik, drama dan komedi yang dipentaskan. Terdapat 12 cerita pokok Mak Yong yang utama, antaranya termasuklah Dewa Muda, Raja Tangkai Hati, Raja Bijak Laksana, Gading Betimang, Raja Muda Lakleng dan Raja Besar Ho Gading. Tarian tradisional Melayu ini dipersembahkan beberapa watak seperti Pak Yong, Pak Yong Muda, Mak Yong, Puteri Mak Yong, Peran dan watak Dayang-Dayang. Keunikan Mak Yong disenaraikan UNESCO sebagai Masterpieces of the Oral and Intangible Herritage of Humanity, pengiktirafan tertinggi warisan dunia bagi seni budaya. Penari dan pelakon biasanya menghias diri sendiri. Watak utama Pak Yong mengenakan kostum khas dengan memakai mahkota kain baldu, sampin di dada, pending dan tersisip sebilah keris di pinggang. Peran, watak kelakar akan mengenakan pakaian aneka warna dan fesyen mengundang ketawa penonton. Bangsal atau panggung dibina beratap tanpa dinding supaya dapat ditonton dari semua penjuru. Seikat Rotan Bera Orkestra disusun dengan pemain rebab disebelah Timur berhampiran tiang seri bangsal bagi membolehkan pelakon menghadap ke arahnya sewaktu tarian pembukaan Menghadap Rebab. Peralatan muzik yang digunakan termasuk sepasang gong (tetawak), geduk, gendang, canang, kesi dan serunai. Seikat rotan bera perlu untuk seorang pelakon Pak Yong, Mak Yong, menteri atau raja tertentu. Golok-golok dibuat daripada papan dibelah dua bahagian tengah atau mata sebagai kegunaan Peran sepanjang penampilannya. Persembahan dibuat sercara gerak tari keliling. Dimulakan acara Buka Panggung dikuti Bertabuh, Menghadap Rebab, Sedayung Pak Yong, Sedayung Mak Yong, Ziarah Bilik Pengasuh (Sedayung Panggil Awang), Berkhabar, Ello atau Wok dan seterusnya sebarang lagu atau tari mengikut cerita yang dipentaskan. Persembahan ditamatkan dengan Tutup Panggung. Dulu, terdapat tidak kurang 50 lagu Mak Yong. Namun, mereka yang mengetahui dan boleh menyanyikannya semakin berkurang. 12 Cerita Sering Dipentas Kini, tidak kurang 30 cerita Mak Yong, namun cuma 12 cerita sering dipentaskan. Cerita berkenaan termasuklah Dewa Muda, Bongsu Sakti, Gading Bertimang, Raja Tangkai Hati, Dewa Pecil, Raja Muda Lakleng, Raja Besar Ho Gading, Anak Raja Panah Dewa Indera - Indera Dewa, Raja Muda Laksana, Bedara Muda dan Endeng Tajeli (Anak Raja Gondang, Batak Raja Gondang, Bongsu Sakti). Cerita dalam Mak Yong sarat dengan pengajaran atau nilai moralnya, selain adab berdepan Raja Melayu harus dijaga walaupun ada kalanya mereka boleh dibawa bergurau. Antara tokoh terkenal Mak Yong yang masih aktif sehingga kini ialah Hanimah Hussin, Dollah Daud, Tuan Kecik Tuan Yeh, Ibrahim Senik dan diteruskan generasi baru, antaranya Rosnan Rahman, Juhara Ayub dan Norzizi Zulkifli. Sumber: B*POP (Berita Minggu, 26 Ogos 2012) |