\
|
KLPac Bantu Semarak Teater |
Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPac) atau Pentas Seni Kuala Lumpur adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan peluang kepada penggiat seni untuk meluahkan hasil karya mereka dalam bentuk pementasan teater mahupun persembahan pentas. Lokasi pentas KLPac terletak di Sentul, Kuala Lumpur. KLPac diasaskan pasangan suami isteri yang juga aktivis teater, Datuk Faridah Merican dan Joe Hasham yang mana pada awal penubuhannya pada 1995, ia terletak di Plaza Putra, Dataran Merdeka yang awalnya dikenali sebagai The Actors Studio@Plaza Putra. Peluang Kepada Penggiat Seni Kewujudan KLPac, adalah pertama yang dimiliki pihak swasta dalam bentuk pentas teater dalam usaha mengangkat seni persembahan dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada penggiat seni untuk mementaskan persembahan mereka dalam skala kecil dan sederhana. Banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur pada 2003 memusnahkan keseluruhan The Actors Studio di Plaza Putra, namun pada Mei 2004, Yayasan Budi Penyayang Malaysia, YTL Corporation Berhad dan The Actors Studio Malaysia menjalankan kerjasama untuk membangunkan kembali pentas baru yang dinamakan KLPac di tapak barunya di Sentul, Kuala Lumpur yang dibuka sepenuhnya pada Mei 2005. Pembuka premis baru di Sentul memberi dimensi dan peluang lebih besar kepada penggiat seni pentas kerana ia menyediakan ruang lebih luas untuk tujuan pementasan dengan empat kawasan utama iaitu Pentas 1 (Prospecenium Theater) dengan 504 kerusi, Pentas 2 (Black Box Theater) 192 kerusi, Indicine (Bilik Tayangan) 100 kerusi serta sembilan studio latihan. Sebagai pusat kepada seni persembahan di Kuala Lumpur, KLPac berjaya merealisasikan objektif penubuhannya dalam memberi ruang dan peluang kepada penggiat seni mementaskan persembahan mereka. Setiap tahun lebih 100 pementasan dipentaskan di KLPac yang turut menyaksikan kemasukan produksi antarabangsa yang menggunakan KLPac selain produksi tempatan. Selain itu juga dalam menyemarakkan seni teater, pelbagai program dan festival diadakan setiap tahun antaranya HSBC Classics Music Festival, French Art Festival, Malaysian Dance Festival, Short+Sweet Festival and Urbanscapes. Tidak Meminggirkan Teater Berbahasa Kebangsaan KLPac juga lebih dikenali sebagai pentas teater bebahasa Inggeris namun pada masa sama KLPac tidak meminggirkan teater berbahasa kebangsaan dengan membuka ruang kepada mana-mana produksi teater mengadakan pementasan teater di KLPac. Antara teater berbahasa Melayu yang pernah dipentaskan termasuk Kisah Gadis, Titis Sakti, Mamak Mee-Ah serta Anak Bulan Di Kampung Wa' Hassan. Sebagai membantu proses pembangunan seni teater di Malaysia, KLPac juga membuka peluang kepada generasi muda menerusi KLPac Theatre For Young People (T4YP) sebagai platform bakat muda berusia 16 hingga 25 tahun untuk menyertai bengkel intensif asas selama enam bulan dalam pementasan teater dan seni persembahan pentas. Sumber: B*POP (Berita Minggu, 17 Februari 2013) |