\

 

Karya JS Kevin Ada Nilai Sentimental

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Mendengar lagu rock yang dinyanyikan sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, pastinya akan perasan nama komposer dan penulis lirik JS Kevin.  Komposer kelahiran Kuala Lumpur atau nama sebenarnya Zul Adnan Mohd Razali adalah antara komposer yang mempunyai sentuhan muzik rock tersendiri.

Walaupun tidak mendapat pendidikan asas dalam bidang muzik, tapi keupayaan JS Kevin dalam penulisan lirik dan gubuhan lagu sangat kreatif dan ada nilai sentimental.  Lagunya sering dinyanyikan oleh kumpulan Wings seperti lagu Misteri Mimpi Syakila, Potret Monalisa dan Bernafas Dalam Lumpur.  Malah JS Kevin juga adalah pengasas kepada kumpulan rock metal, XPDC yang ditubuhkan pada tahun 1987.  Selain itu JS Kevin juga banyak menyumbangkan lagunya untuk kumpulan BPR, May, Mega, Spoon dan Iklim.

Pinjam Gitar Rakan

Sebelum bergiat aktif sebagai komposer Kevin terlebih dulu bekerja di pelantar minyak dan banyak ilham lagu diperoleh ketika bekerja di tengah laut itu dan sebelum itu minatnya terhadap muzik juga terdorong sejak zaman persekolahan lagi.  Mungkin dilihat aneh, tapi sejak awal pembabitannya secara serius dalam bidang penulisan lagu, beliau tidak mempunyai alat muzik sendiri walaupun gitar yang mana lagu-lagu yang diciptanya seperti Misteri Mimpi Syakila, beliau hanya meminjam gitar rakannya.

Sepanjang menjadi komposer dan penulis lirik, Kevin menghasilkan lebih 50 lagu popular dan pernah menjadi komposer residen  di Life Records dengan jawatan sebagai Penerbit Eksklusif serta Penulis dan Pencipta Eksklusif.  Antara lagu dan lirik karyanya ialah, Dia, Hitam Bukan Impan, Hentian Ini, CT Cinta Kenangan Silam, Teman, Bernafas Dalam Lumpur, Anugerah, Hijau Bumi Tuhan dan Airmata Jernih.  Beliau juga menggunakan pelbagai nama samaran lain seperti ZN Kevin, Nasha Kevin, Zul Kevin, Joe Kevin dan An Kevin.

Walaupun banyak menghasilkan karya masterpiece seperti mana M Nasir, Kevin adalah seorang yang meredah diri dan tidak suka kepada publisiti.  Malah, beliau juga jarang muncul di khalayak dan juga majlis yang dianjurkan dan kemunculannya di sesuatu majlis dengan  memakai cermin mata hitam seakan menyorok identitinya dari padangan umum dan sukar untuk wartawan menemuramah beliau. 

Namun takdir menentukan.  Beliau meninggal dunia pada usia 42 tahun kerana serangan angin ahmar dan paru-paru berair.  Beliau pergi buat selama-lamanya pada 8 Ogos 2002 di rumah saudaranya di Taman Melur, Cheras, Kuala Lumpur.  Beberapa minggu sebelum itu kesihatannya sering tidak menentu selain menghadapi masalah jantung.  Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Datuk Keramat bersebelahan pusara ibunya.

Album Tribute

Sebagai penghargaan kepada pembabitan, sebuah album tribute diterbitkan iaitu Tangisan Di Gelanggang Fana yang menghimpunkan lagu Kevin yang tidak pernah dirakam semasa hayatnya yang mengandungi lapan lagu.  Antara penyanyi yang terbabit dalam penerbitan album berkenaan ialah Mus (May), Ali (Empire yang dulunya XPDC), Joey (BPR), Asheed (DefGabC), Andy (Flop Poppy), Shamrin (Fotograf), Ary (Fahrenheit), Ucop (Baji) dan Faizul (Rock Orang Kampung).

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 24 March 2013)

 

Lagu Latar: Teman - Mael (XPDC)