\
|
Panggung Bandaraya Ada Nilai Sejarah |
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terletak berhampiran Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad ini menyimpan nilai sejarah kerana dibina sejak zaman kolonial British oleh arkitek Bension Hubback pada 1896. Ia siap sepenuhnya pada 1904. Panggung Bandaraya diwartakan mengikut Akta Antikuiti sebagai antara 22 bangunan tertua di Malaysia yang berusia lebih 100 tahun. Sebelum pembinaan pelbagai panggung yang lebih moden dan canggih di Kuala Lumpur, Panggung Bandaraya menjadi tumpuan ramai penggiat seni dan teater untuk mementaskan karya mereka, namun selepas dinaik taraf menjadikan panggung ini sesuai untuk diadakan pementasan teater dan muzikal dalam skala lebih besar. Terletak di kawasan tumpuan orang ramai yang strategik menjadikan ia lebih mudah untuk menarik perhatian penonton mengunjunginya. Kebakaran yang berlaku pada 1992 memusnahkan seluruh bahagian dalam dewan teater ini tetapi DBKL menyahut cabaran untuk melakukan kerja pembaikan, pengubahsuaian dan naik taraf Panggung Bandaraya serta membina semula dan memulihkan panggung lama ini kepada bentuk kegemilangan asalnya. Kerja baik pulih dijalankan menerapkan kemasan mewah, menghiasi bahagian dalam dengan keanggunan sepanjang zaman. Kerja seni bina di bahagian luar dilakukan teliti untuk memelihara warisan panggung bersejarah ini dengan mengekalkan muka bangunan cantik yang berciri seni bina Moor. Pembukaan semula Panggung Bandaraya ini menjadi satu daripada usaha dan tanggungjawab DBKL terhadap dasar pembangunan kebudayaan yang mana antaranya mewujudkan ruang dan peluang berkarya dan membuat persembahan oleh penggiat, penggerak dan kumpulan kesenian kepada masyarakat tempatan dan pelacong asing menikmati produk kesenian khususnya seni persembahan pentas. Kelengkapan dan kemudahan Panggung Bandaraya dinaik taraf dengan menggabungkan sistem bunyi dan lampu pentas canggih, terbukti sesuai untuk sebarang pementasan drama atau teater bermutu tinggi. Selain itu, panggung ini juga mempunyai foyer, Galeri Diraja/VVIP dan bilik menunggu, serta galeri tempat duduk penonton yang boleh memuatkan sehingga 320 orang, ruang orkestra yang boleh dinaikkan separas pentas dan lapan bilik persalinan. Pementasan teater yang sering dipentaskan di sini mreangkumi kesenian pelbagai kaum dan genre persembahan iaitu Teater Tradisional Mak Yong dan Mek Mulong, Teater Melayu Moden, Teater Inggeris, Teater Cina, Opera Cina, Muzikal Broadway Inggeris, Muzikal Tempatan dan Antarabangsa, Orkestra Klasik Cina, Festival Teater, Festival Tarian, Pertandingan Piano Antarabangsa, Pertandingan Pantun, Drama Tari serta Tarian Kontemporari dan Tarian Klasik India. Sumber: B*POP (Berita Minggu, 3 March 2013) |