\

 

Siapa Syed Alwi ?

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Datuk Syed Alwi Syed Hassan bukanlah seorang tokoh teater, drama dan sasterawan dalam pengertian biasa.  Beliau ialah tokoh sastera yang hebat.  Dua perkara tidak pernah diabaikan Seniman Negara ini setiap kali berkarya ialah realiti sosial dan bangsa Melayu yang menjadi identiti tokoh teater ini.

Biarpun mendapat pendidikan formal dalam bidang teater di Amerika Syarikat tetapi Syed Alwi tidak pernah terpengaruh dengan budaya luar untuk diserapkan dalam teater tempatan.  Di kalangan penggiat teater Syed Alwi ialah Tok Perak yang kental dengan jiwa Melayu.  Warna-warni kehidupan kampung yang dilaluinya Pondok Tanjung, Perak dibawa dalam setiap naskhah dihasilkan.  Antara karya teragungnya ialah Alang Rentak Seribu dan Tok Perak yang memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada1973 (Alang Rentak Seribu) dan 1974 (Tok Perak).

Jiwa Melayu

Bukan saja popular dan mendapat tempat di hati penggiat teater tapi Alang Rentak Seibu dan Tok Perak cukup istimewa kerana berjaya membawa jiwa Melayu di tengah-tengah kota di mana ia di pentaskan.  Jiwa Melayu ditonjolkan di sebuah kampung kecil di Perak dilakukan dengan halus dan sempurna sekali.

Nama Tok Perak sendiri cukup sinonim dengan Syed Alwi sehingga beliau turut dipanggil dengan gelaran itu.  Karya yang mengisahkan si penjual ubat ini pernah dipentaskan sebanyak dua kali pada 1970-an.  Kali pertama di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya pada 1975, di mana watak penting itu dipegang sendiri Syed Alwi dan kali kedua di tempat sama pada 1979.

Setiap kali Tok Perak dipentaskan, ia dianggap berjaya kerana penonjolan watak yang semacam keliru dengan diri sendiri tetapi lurus bendul mendorong khalayak ketawa.  Inilah pemerhatian halus Syed Alwi terhadap ragam bangsanya.  Inilah yang membuat naskhah beliau memukau dan tidak membosankan.

Gaya hidupnya yang suka menyendiri untuk mencari inspirasi banyak membuahkan hasil membanggakan.  Yang dipentingkan ialah kehidupan seharian mesti selalu dikelilingi masyarakat dan sastera Melayu.  Allahyarham menghasilkan beberapa skrip serta turut menerima anugerah budaya dari negara Amerika Syarikat, Sweden, Australia, Perancis dan Yugoslavia.  Pada 2002, beliau menerima Anugerah Seni Negara daripada keraajaan Malaysia.

Tokoh drama kelahiran Pondok Tanjung, Perak ini dilahirkan pada 29 Mac 1930 and mendapat latihan profesional di University of Minnesota dalam Jurusan Ijazah Seni Teater dan Penulisan.  Beliau menceburkan diri dalam bidang penulisan buat sementara waktu sebelum menyambung kembali pembelajarannya di London Film School.  Syed Alwi kembali ke Malaysia dan menceburkan diri dalam bidang industri seni hiburan termasuklah bidang penerbitan, pengarahan, pengajar dan juga pelakon.

Seorang Dramatis

Sebagai dramatis Syed Alwi mula bergiat dengan drama Inggeris pada 1950-an.  Antara drama beliau yang terkenal ialah Going North, The More We Get Together, dan Say of Elfil.  Bagaimanapun, apabila beliau beralih menghasilkan drama Melayu, sentuhan karyanya mendapat perhatian dan kritikan cukup menarik.

Allahyarham yang juga pengasas Kumpulan Teater Kesenian Malaya (MATG) pada 1951, aktif mengarah serta berlakon dalam beberapa pementasan teater terkenal, antaranya Midsummer Nights (Starveling), Androcles and The Lion (Slave) dan Henry V (Duke of Bedford) sehingga 1953.

Syed Alwi meninggal dunia di kediamannya di Sungai Serai, Kuang, Selangor pada malam 30 November 2008.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 11 November 2012)