\
|
Rahman B Tokoh Bangsawan |
Memasuki era perfileman mungkin sukar lagi untuk khalayak di negara ini menonton pementasan teater bangsawan. Seni budaya Melayu ini bagaikan sudah hampir pupus ditelan zaman. Namun tokoh bangsawan, Abdul Rahman Abu Bakar atau Rahman B, 78 masih lagi giat memperjuangkan satu cabang seni teater ini yang kebanyakan pementasan bangsawan kini dilakukan dalam bentuk lebih komersial dan eksklusif. Rahman B yang dilahirkan pada 18 Mei 1935 di Kapar, Klang adalah anak kepada pasangan pelakon bangsawan, Abu Bakar Saleh atau Bakar M dan ibunya, Kasminah Taib atau dikenali sebagai Minah B. Sejak kecil lagi Rahman dan adiknya, Rohani B didedahkan dengan dunia bangsawan kerana mengikut orang tuanya berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain untuk pementasan bangsawan. Jatuh Cinta Situasi berkenaan menyebabkan jiwa Rahman sentiasa dibajai dengan seni itu. Semangatnya terus diresapi dengan dunia bangsawan dan mula berlakon bangsawan pada usia masih muda seterusnya menjadikan Rahman bukan saja berbakat sebagai pelakon, malah begitu jatuh cinta terhadap kesenian ini. Rahman bukan saja mampu berlakon, tetapi mampu untuk menyanyi, menari, melukis dan mengarah dalam pementasan bangsawan. Antara pementasan pada zaman kanak-kanaknya ialah Batu Belah Batu Bertangkup, Tujuh Perigi Di Gunung Curdu dan Raden Mas, manakala Tengku Sulung Mati Digantung yang dipentaskan di Johor pada 1952 menjadikannya 'orang muda', jolokan kepada pelakon muda dalam bangsawan yang diminati ramai. Beliau mendirikan rumahtangga dengan pelakon bangsawan, Zabedah Ibrahim (Rohaya Rahman) ketika berusia 18 tahun dan mula mengarah bangsawan pada usia 22 tahun kerana keupayaan menghafal dan mengolah skrip. Bangsawan pertama arahannya berjudul Keris Melayu, dipentaskan pada 1955. Teruskan Perjuangan Apabila bangsawan menghadapi zaman malap akibat kemunculan filem pada dekad 1950-an, Rahman tetap mementaskan bangsawan. Namun pada 1953, beliau berhijrah ke Singapura dan sempat berlakon filem antaranya Amuk Tok Nading, Kancan Tirana, Harimau Berantai dan Semambu Kuning. Rahman meneruskan perjuangannya dalam pementasan bangsawan apabila menerajui Persatuan Bangsawan Bintang Timur pada 1974 dan melalui persatuan itu, beliau menerbitkan lima drama untuk siaran RTM, iaitu Si Bongkok Tanjung Puteri, Meniti Ke Neraka, Istana Iman, Megat Panji Alam dan Buluh Rencung. Beliau terbabit dalam ratusan pementasan bangsawan dan berjaya mengarah lebih 200 bangsawan, antaranya Raja Laksamana Bentan, Putri Patmawati, Alang Buana, Menjunjung Dulu dan Shamsir Alam. Berpandukan kepada pengalamannya yang luas dalam pementasan bangsawan, Rahman pernah dilantik sebagai pensyarah di Akademi Seni Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 1966 untuk mencungkil bakat baru dalam pementasan bangsawan. Atas jasanya memperjuangkan pementasan bangsawan juga, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Seniman Negara (ASN) pada 2004 yang juga penerima keenam anugerah itu. Sumber: B*POP (Berita Minggu, 13 Januari 2013) |