MISI KERJA AMAL KAK PAH

oleh Abd Aziz Itar  (Utusan Malaysia: Isnin, 28 November 2011)

Biduanita Datuk Sharifah Aini antara penyanyi tanah air yang bukan sahaja telah 42 tahun berkecimpung menerusi bidang nyanyian tetapi dia juga masih aktif dalam bidang yang telah sebati dalam dirinya itu sehingga ke hari ini.  Penyanyi yang mesra dengan panggilan Kak Pah ini turut tidak pernah melupakan kerja-kerja amal termasuklah dengan menganjurkan persembahan Majlis Makan Malam Amal Tiga Sahabat yang akan diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 17 Disember ini.

Menurut Kak Pah persembahan amal yang akan dijayakannya bersama dua penyanyi Indonesia, Grace Simon dan Dewi Yull itu bertujuan mengisi tabung Madrasah Tahfiz Tahsin al-Quran, Puchong, Selangor dan Baitul Ehsan, Taman Maluri, Kuala Lumpur.  "Ini bukan kali pertama saya mengadakan persembahan amal tetapi sejak 42 tahun menjadi penyanyi saya telah terbabit dalam hampir 3,000 persembahan dan kerja amal.  Kali ini ia lebih kepada inisiatif saya dengan kerjasama Seri Dewi Production Sdn. Bhd., Hotel Royale Chulan dan Lime Events Management," katanya kepada Hits.

Pada pertemuan selepas sidang akhbar Makan Malam Amal Tiga Sahabat di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Kak Pah berkata, dia terpaksa bekerja bagi menjayakan persembahan itu termasuklah mendapatkan pihak-pihak yang sudi tampil sebagai penaja.  Jelas penyanyi yang popular dengan lagu Seri Dewi Malam itu, dia antaranya berjaya mendapatkan tajaan daripada syarikat penerbangan Oman Air dan Jamu Mak Dara untuk menaja pelbagai barangan termasuklah hadiah cabutan bertuah pada persembahan itu kelak.

"Bagi menjayakan persembahan itu, saya melakukan sendiri kerja-kerja, daripada menulis surat dan mengetuk pintu pejabat banyak pihak bagi mendapatkan tajaan.  Saya juga menjemput sendiri Grace dan Dewi bagi menjayakan persembahan ini.  Apabila saya terangkan kepada mereka akan hasrat saya itu, mereka bersetuju untuk menjayakan persembahan itu bersama-sama saya.  Selepas sekian lama menyanyi, sudah sampailah masanya saya lebih menumpukan kepada kerja-kerja amal seperti ini," ujarnya.

Selain membantu sekolah agama dan rumah kebajikan, penyanyi bersuara lemak merdu ini menyatakan impiannya mahu menubuhkan sebuah sekolah agama tahfiz al-Quran pada masa depan.  Jelas Kak Pah, waktunya telah tiba baginya berkecimpung dalam kerja-kerja amal yang boleh membawa bekalan pahala di akhirat dengan menggunakan sepenuhnya bakat serta popularitinya dalam bidang nyanyian.  "Sejak kebelakangan ini kerja-kerja amal saya lebih kepada membantu anak-anak yatim.  Selain itu, saya juga aktif membantu membiayai perjalanan sekolah-sekolah agama terutamanya sekolah tahfiz al-Quran.  Saya juga ada menaja pembiayaan pengajian beberapa pelajar di Afrika Selatan, Yemen dan Jordan," katanya.

Penyanyi berusia 57 tahun ini berkata, majlis makan amal itu nanti mengenakan bayaran daripada jualan meja yang berharga dari RM3,500 hingga RM10,000 untuk sebuah meja dengan 10 orang penonton.  "Selain daripada dua penyanyi terkenal itu, saya juga akan mengadakan persembahan pada malam itu.  Kami bertiga juga akan berduet dalam sebuah lagu lama bertajuk Sepanjang Jalan Kenangan pada persembahan selama dua jam 45 minit itu nanti.  Para tetamu yang hadir berpeluang memenangi cabutan bertuah antaranya dua tiket penerbangan ke mana-mana destinasi ke Eropah tajaan Oman Air.  Sebarang pertanyaan berhubung tempahan meja ke majlis itu sila hubungi talian 019-2495277," ujarnya.

Tambah Kak Pah lagi, dia akan menghulurkan kesemua kutipan daripada jualan meja pada persembahan Makan Malam Amal Tiga Sahabat itu selepas ditolak kos penganjuran dan juga bayaran kepada Grace Simon dan Dewi Yull.  Mujurlah jelasnya lagi, banyak pihak yang sudi menaja persembahan itu terutamanya Oman Air di mana itu adalah kali pertama dia menyediakan hadiah cabutan bertuah dalam persembahan yang dianjurkannya itu.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Penat Tapi Puas (Berita Minggu: B*Pop 25 Disember 2011)

  43 Tahun Dalam Industri (Sinar Ahad, 25 Disember 2011)

  Konsert Luar Jangkaan Kak Pah (Kosmo! Jumaat, 23 Disember 2011)

  Sharifah Aini Serik Kena Tipu (Utusan Malaysia Rabu, 21 Disember 2011)

  Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian Selasa, 20 Disember 2011)

  Malam Amal Penuh Bermakna (Harian Metro Isnin, 19 Disember 2011)

  Janji Persembahan Menarik (Berita Harian Khamis, 24 November 2011)

  Semangat Kak Pah Membara (Harian Metro Khamis, 24 November 2011)

  Kak Pah Terus Gigih Anjur Acara Amal (Kosmo! Rabu, 23 November 2011)

  Teruja Nanti Malam Amal Tiga Sahabat (Berita Minggu: Bi*Pop 20 November 2011)

  Kak Pah Sudah Bersiap Sedia (Harian Metro Khamis, 3 November 2011)

  Tiga Sahabat Kongsi Pentas (Harian Metro Selasa, 11 Oktober 2011)

  Kak Pah Ajak Dewi, Grace Beramal (Berita Minggu: B*Pop 9 Oktober 2011)

  Susahnya Cari Penghibur Sejati (Berita Harian Khamis, 6 Oktober 2011)