KAK PAH AJAK DEWI, GRACE BERAMAL

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Berita Minggu: Bi*Pop, 9 Oktober 2011)

Sebak hati Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini mengenangkan anak-anak miskin yang terbiar.  Bukan hanya hidup terkapai-kapai tanpa dahan bergantung, malah mereka terpaksa mengikat perut untuk menjamah secubit rezeki, selain tidak mendapat pendidikan sempurna.  Pada saat kita menikmati makanan enak di hotel atau restoran mewah, selain menjalani kehidupan dalam serba keselesaan, masih ada masyarakat yang hidup umpama kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang.  Terusik dengan kesusahan anak-anak bernasib malang itu, Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah bangkit lagi meneruskan perjuangannya untuk membantu golongan itu.

Jika sebelum ini, Kak Pah mencari dana untuk membantu sekolah tahfiz, madrasah, ibu tunggal dan anak yatim, namun kali ini, beliau mahu memanjangkan rezeki untuk anak miskin yang hidup terbiar, selain ada antaranya terpisah jauh daripada ibu bapa dan hidup merempat.

Sekian lama tidak muncul dengan persembahan amal, Kak Pah akan muncul bersama dua sahabat lamanya iaitu penyanyi terkenal Indonesia, Grace Simon dan Dewi Yull.  Menamakan Malam Amal Tiga Sahabat Datuk Sharifah Aini, Grace Simon & Dewi Yull, persembahan istimewa mereka yang akan diadakan di Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 17 Disember ini, bermula jam 8 malam.     

Ia dianjurkan Seri Dewi Production Sdn Bhd dan Lime Events Managament, selain Hotel Royale Chulan menjadi penaja utama persembahan amal berkenaan.  Ketika ini, hati Kak Pah begitu tersentuh apabila ajakannya mengadakan persembahan amal diterima Grace dan Dewi Yull tanpa banyak bicara.  Grace, bukan beragama Islam tetapi beliau bersama Dewi Yull sanggup berganding bahu mencari dana untuk membantu.  Hasil kutipan Malam Amal Tiga Sahabat itu akan diserahkan kepada Madrasah Tahfiz Tahsin Al-Quran di Batu 13, Kampung Sri Langkas, Puchong.  Madrasah itu memulakan operasi sejak sembilan bulan lalu memerlukan dana untuk surau dan tempat belajar bagi menampung 100 pelajar.

Selain itu, Kak Pah akan menyerahkan bantuan kepada Baitul Ehsan di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur untuk membantu orang miskin, anak yatim piatu dan anak-anak miskin yang terbiar dengan hasil kutipan persembahan amalnya itu.  Tanpa berselindung, Kak Pah berkata: "Alhamdulillah, saya sudah membantu enam sekolah tahfiz sejak beberapa tahun kebelakangan ini.  Jauh di sudut hati, saya sering berdoa supaya dipermudahkan segala urusan dan dapat menghulurkan tangan membantu mereka.

"Saya ada beberapa ahli jawatankuasa yang membantu mencari sekolah tahfiz, madrasah atau baitul ehsan yang memerlukan sumbangan.  Sehingga kini, kami sudah temui 15 sekolah dan madrasah yang daif.  Saya tidak malu mengetuk pintu meminta bantuan untuk mereka.  Bukan mudah, banyak ujian diterima tetapi saya bangkit daripada kesusahan dan ujian.  Saya sering mengingatkan diri, Tuhan mengurniakan saya bakat dan suara.  Saya tidak mahu mempersiakan kurniaan Tuhan, hanya ini cara untuk saya membantu anak-anak yang tidak bernasib baik," katanya sambil bersyukur perjuangannya dipermudahkan apabila Hotel Royale Chulan menjadi penaja utama persembahan.

"Saya percaya Dewi Yull dan Grace punya ramai peminat, apatah lagi sudah lama tidak adakan persembahan di Malaysia.  Saya kenali Grace pada era 70-an lagi apabila kami pernah menjelajah Asia mengadakan persembahan bersama.  Saya masih ingat ketika itu kami buat persembahan di Thailand, Filipina, Indonesia dan berakhir di Malaysia.  Terbit keinginan mahu berkongsi pentas bersamanya lagi apabila sekian lama tidak bertemu.  Dewi Yull pula saya pernah bertemunya dalam persembahan korporat dulu.  Saya kagum dengan bakat dimiliki dua penyanyi tersohor Indonesia ini.  Bukan mudah mahu bertemu penghibur seperti mereka.  Saya akui sukar buat saya mencari penghibur.  Menjadi seorang penghibur bukanlah mudah, bukan sekadar menyanyi dan seterusnya menyanyi.  Saya mahu peminat yang mengeluarkan duit pulang dengan senyuman," katanya ketika ditemui B*POP, Selasa lalu.

Mengulas persembahan untuk malam itu, Kak Pah berkata, dia akan berduet bersama Grace dan Dewi Yull, selain merancang tampil persembahan bertiga serentak.  Katanya: "Grace popular dengan lagu 'Senja Kelabu', 'Bing' dan 'Sebelum Kau Pergi', manakala Dewi Yull pula pasti menyampaikan lagu popularnya, 'Kini Baru Kau Rasa', 'Jangan Ada Dusta Di Antara Kita' dan 'Kau Dan Aku Sama'.  Nantikan kemunculan kami bertiga dengan dua lagu istimewa."

  INFO MALAM AMAL TIGA SAHABAT 

  Makan Malam Amal Tiga Sahabat membabitkan persembahan Datuk Sharifah Aini, Grace Simon dan Dewi Yull.  Bakal berlangsung pada Sabtu, 17 Disember 2011,  jam 8 malam di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur

  Jualan meja ditawarkan empat kategori - RM10,000, RM7,500, RM5,500 dan RM3,500

  Peminat boleh membeli secara individu dengan harga RM1,000, RM750, RM550 dan RM350

  Untuk tempahan hubungi Shameen di talian 019-2495277, faksimili (03-79568557) atau e-mel: limeevent@gmail.com

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Penat Tapi Puas (Berita Minggu: B*Pop 25 Disember 2011)

  43 Tahun Dalam Industri (Sinar Ahad, 25 Disember 2011)

  Konsert Luar Jangkaan Kak Pah (Kosmo! Jumaat, 23 Disember 2011)

  Sharifah Aini Serik Kena Tipu (Utusan Malaysia Rabu, 21 Disember 2011)

  Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian Selasa, 20 Disember 2011)

  Malam Amal Penuh Bermakna (Harian Metro Isnin, 19 Disember 2011)

  Misi Kerja Amal Kak Pah (Utusan Malaysia Isnin, 28 November 2011)

  Janji Persembahan Menarik (Berita Harian Khamis, 24 November 2011)

  Semangat Kak Pah Membara (Harian Metro Khamis, 24 November 2011)

  Kak Pah Terus Gigih Anjur Acara Amal (Kosmo! Rabu, 23 November 2011)

  Teruja Nanti Malam Amal Tiga Sahabat (Berita Minggu: Bi*Pop 20 November 2011)

  Kak Pah Sudah Bersiap Sedia (Harian Metro Khamis, 3 November 2011)

  Tiga Sahabat Kongsi Pentas (Harian Metro Selasa, 11 Oktober 2011)

  Susahnya Cari Penghibur Sejati (Berita Harian Khamis, 6 Oktober 2011)