KAK PAH PENAT TAPI PUAS oleh Mohd Aizat Shamsuddin (Berita Minggu: Bi*Pop, 25 Disember 2011) |
Melihat kesungguhan Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah melakukan kerja amal dengan caranya yang kerap mengadakan persembahan menerusi majlis makan malam sambil berhibur memang satu tujuan murni. Masuk penganjuran kali keenam, Kak Pah yang kali ini mengajak dua rakan baiknya dari Indonesia – Grace Simon dan Dewi Yull – berkongsi pentas menjayakan Malam Amal Tiga Sahabat: Datuk Sharifah Aini, Grace Simon & Dewi Yull di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, memperlihatkan manifestasi keikhlasan untuk mengajak orang ramai, masyarakat dan peminat supaya sentiasa tidak melupakan insan yang kurang bernasib baik. Mesej penting persembahan itu bukannya untuk berhibur semata-mata, tetapi untuk menjadi insan yang lebih peka dengan kerja amal. Walaupun terdapat dua lagi konsert diadakan serentak malam itu di sekitar Lembah Kelang, nyata persembahan Malam Amal Tiga Sahabat masih mampu mengumpul 760 peminat untuk sama-sama beramal sambil dihiburkan biduanita negara itu. "Saya menjangka acara ini hanya dihadiri sekitar 350 penonton dan mencetak hanya 400 tiket saja. Namun pada saat akhir masih lagi mendapat permintaan peminat untuk datang menyaksikan persembahan kami. Peminat yang hadir bukan hanya dari sekitar Lembah Kelang, tapi saya mendapat tahu, ada peminat dari Jeddah, Perth, Singapura, Sabah dan Sarawak yang sanggup datang," katanya. Harus diakui aura penyanyi veteran ini masih mampu bertahan dan mempunyai sokongan kelompok peminatnya tersendiri. Persembahan bermula jam 9.20malam itu, segar dengan kemunculan Grace Simon yang menyanyikan lagu seperti Bing, Bengawan Solo, Kapan Lagi dan Sway yang dipopularkan oleh Michael Bublé sebelum diambil alih Dewi Yull yang membuat kejutan muncul dari belakang meja penonton. Dia menyanyikan lagu, Jangan Ada Dusta Antara Kita, Kini Baru Kau Rasa dan Dealova yang membuatkan hadirin dalam dewan bagaikan terpegun dengan kehebatan vokalnya. Mengambil posisi sekitar jam 10.30 malam, Kak Pah menguasai pentas dengan mendendangkan kira-kira 19 lagu termasuk medley dan duet bersama dua sahabatnya itu. Membuka persembahan dengan lagu Seri Dewi Malam dan Sayangku, Kak Pah mengakui masih berasa gemuruh setiapkali memulakan nyanyian di pentas, apatah lagi di depan tetamu kehormat, termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. "Saya berada dalam industri ini sudah lama, lebih 40 tahun namun setiap kali memulakan persembahan, lagu pertama dan kedua mesti berasa gementar dan gemuruh. Saya merancang untuk menyanyikan antara 28 hingga 30 lagu termsauk tribute untuk Datuk Ahmad Jais, namun kesuntukan masa apatah lagi sudah berlanjutan hingga lewat malam," katanya. Membuka lembaran di pentas seterusnya, Kak Pah mengalunkan lagu Sayangku, Putus Kasih, Kenangan Lalu, Terbang Helang, Smile, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Halimun Malam. Dalam setiap nyanyiannya, Kak Pah tidak lekang menceritakan kisah di sebalik lagu yang dirakam serta berjenaka dengan peminat sebagai selingan. Ternyata,sebagai penghibur, Kak Pah mampu mengawal suasana dengan cemerlang membuatkan penonton tidak bosan, sebaliknya ceria dan bersemangat. Selain itu, Kak Pah juga menyanyikan pelbagai genre lagu daripada albumnya secara medley seperti Kenangan Manis Di Bulan Septmber, Oh Di Mana Mustika Hati, Surat Dari Seberang dan Jangan Tinggalkan Daku. Kak Pah turut berduet dengan Grace menerusi lagu Kemayoran serta bersama Dewi Yull dengan lagu Engkau Laksana Bulan, selain bergabung tiga untuk menghiburkan peminat dengan lagu Jatuh Cinta dan Sepanjang Jalan Kenangan. Walaupun sudah larut malam, peminat masih lagi setia duduk di kerusi mereka dan Kak Pah mempersembahkan lagu Bunga Tanjung dan Zapin Budi sebagai penutup persembahan, sekaligus tidak mahu menghampakan permintaan peminatnya. Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian/Berita Minggu, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib. Sejurus ditemui selepas tamat persembahan, Kak Pah mengakui berpuas hati dengan kehadiran peminat dan keseluruhan perjalanan persembahan malam itu. "Kami hanya kerja berdua dengan pembantu saya, Shamim untuk menjayakan majlis ini. Kerja keras saya selama empat bulan, walaupun terasa penatnya, saya berpuas hati dan sangat berbaloi. Kalau sambutan seperti ini diterima, saya tidak bimbang untuk terus mengadakan majlis seperti ini lagi. Walaupun banyak yang terpaksa dilalui, saya akan teruskan misi ini dan mengharapkan sokongan ramai. "Saya bercita-cita besar, kalau boleh saya mahu sumbangkan untuk rumah anak yatim dan Maahad tahfiz sehingga RM1 juta namun sekiranya dapat RM500,0000 melalui majlis makan malam seperti ini, saya sudah bersyukur," katanya lagi yang merancang mengadakan persembahan sama di Johor dan Melaka selepas ini. Katanya lagi, setakat ini, RM82,000 sudah disumbangkan kepada Maahad tahfiz, rumah dan anak yatim termasuk membantu membaiki madrasah dan keperluan harian mereka. Hasil jualan meja malam itu sebahagiannya diserahkan klepada Madrasah Tahjfiz Tahsin Al Quran, Kampung Sri Langkas, Puchong dan Biatul Ehsan, Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur. Artikel lain yang berkaitan: 43 Tahun Dalam Industri (Sinar – Ahad, 25 Disember 2011) Konsert Luar Jangkaan Kak Pah (Kosmo! – Jumaat, 23 Disember 2011) Sharifah Aini Serik Kena Tipu (Utusan Malaysia – Rabu, 21 Disember 2011) Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian – Selasa, 20 Disember 2011) Malam Amal Penuh Bermakna (Harian Metro – Isnin, 19 Disember 2011) Misi Kerja Amal Kak Pah (Utusan Malaysia – Isnin, 28 November 2011) Janji Persembahan Menarik (Berita Harian – Khamis, 24 November 2011) Semangat Kak Pah Membara (Harian Metro – Khamis, 24 November 2011) Kak Pah Terus Gigih Anjur Acara Amal (Kosmo! – Rabu, 23 November 2011) Teruja Nanti Malam Amal Tiga Sahabat (Berita Minggu: Bi*Pop – 20 November 2011) Kak Pah Sudah Bersiap Sedia (Harian Metro – Khamis, 3 November 2011) Tiga Sahabat Kongsi Pentas (Harian Metro – Selasa, 11 Oktober 2011) Kak Pah Ajak Dewi, Grace Beramal (Berita Minggu: B*Pop – 9 Oktober 2011) Susahnya Cari Penghibur Sejati (Berita Harian – Khamis, 6 Oktober 2011) |