Sharifah Aini mencipta nama setelah menyertai pertandingan nyanyian 'Johan 69' anjuran RTS (Radio Televisyen Singapura, kini dikenali TV MediaCorp). Walaupun hanya menduduki tempat ketiga tetapi kerana kemerduan suara dan bakat semulajadinya yang menyakinkan beliau telah dilamar oleh EMI Singapura dan lahirlah EP sulungnya SERI DEWI MALAM pada Julai 1970. Album tersebut diterbitkan oleh komposer Kassim Masdor dengan menampilkan hit utama 'Seri Dewi Malam' dan 'Kini Hatiku Telah Tertawan'. Sharifah Aini cukup beruntung kerana merupakan salah satu dari dua penyanyi Melayu pertama yang mendapat peluang merakam lagu-lagu baru (4 lagu dari album SERI DEWI MALAM) dalam bentuk stereo. Seorang lagi penyanyi yang terpilih ialah Anita Sarawak untuk album Melayu pertamanya, RINDUKU HILANG. Meraih populariti secara sederhana tetapi prestasi meningkat dari album ke setiap album sehingga EMI Singapura bersedia melahirkan 3 EP Sharifah Aini dalam setahun sehebat dengan penyanyi-penyanyi ternama naungan EMI ketika itu Rafeah Buang, Sanisah Huri & Kartina Dahari. Sharifah Aini cukup versatile walaupun dalam usia yang sangat muda beliau bukan saja mampu menyanyikan lagu pop dan langgam tetapi juga lagu-lagu Melayu asli pelbagai rentak. Kelunakan suara beliau yang meruntun kalbu boleh dihayati melalui lagu 'Sejak Berpisah', 'Kenang Daku Dalam Doamu', 'Halimun Malam', 'Patah Hati', 'Kasihnya Ibu', 'Sri Banang', 'Hanya Engaku' dan banyak lagi. Versi lagu tersebut juga ramai dinyanyikan oleh penyanyi lain tetapi ternyata versi Sharifah Aini tetap unggul dan menjadi malar segar kerana 'jiwa' Sharifah Aini telah dipertaruhkan ke dalam semua lagu-lagu nyanyiannya.
Sepanjang era 70an Sharifah Aini merupakan artis yang begitu produktif melahirkan album-album baru sehingga digelar 'Anak Emas EMI'. Walaupun cetak rompak merupakan masalah utama yang sedikit sebanyak menjejaskan penjualan album original tetapi Sharifah Aini adalah satu-satunya artis yang mempunyai rekod penjualan album yang amat baik kerana album beliau pernah terjual melebihi 25,000 unit dan layak menerima anugerahkan 'Silver Disc' ataupun 50,000 units untuk anugerah 'Gold Disc'. Pertengahan 70an merupakan kemuncak kariernya sebagai penyanyi dan meletakkan beliau sebagai 'bintang pujaan' kerana album-album beliau yang diterbitkan oleh Ahmad Nawab mendapat sambutan hebat. Album-album tersebut ialah OST HAPUSLAH AIRMATAMU (1976), SHARIFAH AINI (Sayangku I Do, 1976) dan album triloginya, INILAH LAGUKU (1977) dan INILAH LAGUKU II (1978). Banyak lagu-lagu dari album tersebut menjadi pilihan ramai dalam rancangan 'lagu-lagu permintaan' dan menguasai carta lagu antaranya 'Hapuslah Airmatamu' (versi filem), 'Seiring Jalan' & 'Perasaan Hati' (duet bersama Broery Marantika), 'Pengorbanan', 'Tiba Tiba Rindu', 'Jatuh Cinta', 'Sayangku (I Do)', 'Hiburkanlah Hatiku', 'Oh Di Mana', 'Bunga Tanjung', 'Hatiku Di Curi Lagi', 'Kau Tinggi Di Awan Biru', 'Surat Dari Seberang', 'Keluhan Hatiku', 'Tiada Maaf Bagimu', 'Percayalah' dan 'Burung Pungguk'. Lagu klasik lama 'Bunga Tanjung' dan 'Burung Pungguk' bukan mudah untuk dilaguku tetapi tidak untuk Sharifah Aini kerana beliau telah berjaya menyampaikannya dengan baik malah menjadikannya popular kembali dan menenggelamkan versi asal lagu tersebut. Ramai menyangka Sharifah Aini adalah pemilik asal lagu tersebut. Ketika hayat beliau, lagu klasik ini menjadi 'trademark' dan sentiasa akan diminta oleh peminat-peminat apabila membuat persembahan pentas atau majlis korporat. Sharifah Aini seorang yang positif, cekal hati dan sanggup menempuh segala cabaran dalam bidang seni. Tidak sia-sia apabila EMI yang telah memberi sepenuh kepercayaan dengan memberi peluang Sharifah Aini untuk memperluaskan bakat seni suaranya dengan menerbitkan album Inggeris FOREVER AND EVER (penghujung 1977) membuahkan hasil. Ramai tidak yakin bahawa penyanyi yang berpendidikan Arab ini akan berjaya dengan album Inggeris tetapi Sharifah Aini telah membuktikan beliau mampu membawa lagu-lagu Inggeris dengan baik, jelas dan kedengarannya seperti tidak 'dipaksa-paksa'. Ekoran dari kejayaan album FOREVER AND EVER, Sharifah Aini muncul lagi dengan album Inggeris keduanya, WOMAN IN LOVE (1978) yang juga mendapat sambutan hangat dan telah mempopularkan kembali lagu rentak disko 'One Way Ticket', lagu sentimental 'Woman In Love' dan lagu 'dance' ciptaan tempatan 'Let Me Tecah You How To Dance'. Sharifah Aini juga merupakan artis pop pertama yang diberi penghormatan melahirkan album Melayu Asli dalam sebuah album, LELA MANJA (1979) yang diterbitkan oleh seorang tokoh muzik terkenal, Alfonso Soliano dan diringi oleh pemain biola solo terhebat, Hamzah Dolmat.
Tirai 80 dibuka dengan album istimewa sempena ulangtahun ke 10 Sharifah Aini bersama EMI. KOLEKSI 10 TAHUN LAGU LAGU PUJAAN SHARIFAH AINI menghimpunkan lagu-lagu popular Sharifah Aini disamping 3 lagu baru termasuk sebuah puisi berlagu tulisan sasterawan A Samad Said yang menceritakan kisah-duka, pahit-manis dan senyum-tangis Sharifah Aini sebagai anak seni. Ramai yang beranggapan kemungkinan populariti Sharifah Aini akan berakhir setelah berkahwin dengan Ali Bakar (Julai 1981). Tetapi ternyata mereka silap kerana dua album selepas perkahwinannya RAHSIA HATI (1982) dan SUARA KEDAMAIAN (1983) masih meletakannya sebagai penyanyi yang tiada tandingannya. RAHSIA HATI juga album istimewa kerana dirakam semasa Sharifah Aini sedang mengandung empat bulan. Manakala luahan hatinya setelah kegagalan perkahwinannya dizahirkan dalam album IRAMA DARI SEKEPING HATI (1983) yang mengandungi banyak lagu yang mengasyikkan dan Sharifah Aini kembali menulis lirik lagu termasuk lagu ciptaannya sendiri, 'Ku Tak Ingin Bercinta Lagi'. Untuk ulangtahun yang ke 15 bersama EMI, Sharifah Aini muncul dengan album CAHAYAKU (1984) dan membuat kejutan dengan menampilkan album yang berkonsepkan 'new wave' (sesuatu yang baru ketika itu). Banyak lagu rancak terkandung dalam album ini dan yang paling popular ialah 'Cahayaku Cahayamu'. Bagaimanapun sebagai penyanyi lagu-lagu cinta, Sharifah Aini turut melagukan sebuah lagu sentimental bergenre dangdut 'Keresahan' yang menjadi popular dan di Singapura ia menduduki carta hit lagu-lagu popular untuk 8 minggu berturut-turut. Album ini juga dianugerahkan 'Gold Disc' kerana penjualan melebihi 50,000 units. Namanya yang 'established' menyebabkan syarikat EMI tidak ragu-ragu untuk mengeluarkan belanja yang mahal untuk mengundang penggubah dan penerbit terkemuka Indonesia, A Riyanto (mendiang) untuk menerbitkan dua lagu baru untuk album KAU YANG BERNAMA (1986) iaitu lagu 'Kau Racun Hidupku' dan 'Hatiku Melekat Di Hatimu' dan sebuah lagu rakaman semula 'Yang Sangat Ku Sayang'. Hasilnya lagu 'Kau Racun Hidupku' begitu digemari dan menambah sebagai sebuah lagi lagu dalam koleksi lagu malar segar Sharifah Aini. Bermula pertengahan 80an, album-album Sharifah Aini diterbitkan oleh penerbit bebas dan buat pertama kalinya album Sharifah Aini menggunakan khidmat M Nasir sebagai penerbit album KASIH (1987). Walaupun mendapat sambutan sederhana kerana persaingan dari album-album rock yang mendominasi muzik tanahair ketika itu, KASIH tetap merupakan salah satu produksi terbaik. Lagu hit dari album ini ialah 'Sabarlah Sayang' dan 'Mengharap Cintamu'. Kemudian di penghujung tahun 1988 Sharifah Aini melahirkan sebuah lagi album yang hanya menggunakan namanya sebagai tajuk dan memilih Manan Ngah dan A Ali sebagai penerbit. Agak 'malang' juga apabila sebuah lagu yang menarik dalam album ini 'Yang Tak Kesampaian', karya A Ali & Habsah Hassan tidak melepasi 'piawaian' pihak penapisan lagu RTM tetapi di Singapura ia menjadi sebuah lagu yang popular. Sayangnya, ketika Sharifah Aini sedang giat mempromosikan album tersebut dugaan melanda apabila beliau telah diisytihar muflis oleh mahkamah dan kegiatan seni Sharifah Aini menjadi terbatas dan kemudian menyepi dan hilang dari publisiti.
Di awal era 90, EMI hanya menerbitkan album-album kompilasi Sharifah Aini KENANGAN MANIS I & II dan KOLEKSI KLASIK. KENANGAN MANIS vol 1 (1990) merupakan album pertama Sharifah Aini yang diterbitkan dalam format CD. Kemudian pada tahun 1994, barulah beliau muncul dengan album studio yang hanya menggunakan namanya sendiri, SHARIFAH AINI dan untuk album tersebut Sharifah Aini kembali bekerjasama dengan penerbit Ahmad Nawab. Bagaimanapun album tersebut kurang menyerlah kerana pemilihan lagu-lagu yang kurang bersesuaian dengan vokal Sharifah Aini. Mujur kehebatan vokal Sharifah Aini mampu menutup kelemahan album tersebut dan lagu 'Rindu Menghiasi Kamar Cinta' muncul sebagai lagu hit utama disamping lagu ghazal rakaman semula 'Di Pinggir Kayangan' yang turut popular. Pada tahun 1995 konsert Sharifah Aini bersama ORKESTRA KUALA LUMPUR yang berlangsung tiga malam berturut-turut telah mendapat sambutan hangat yang turut merubah landskap kerjaya nyanyian Sharifah Aini. Namanya kembali menyerlah dan bintangnya terus gemilang apabila album 'live' sempena konsert tersebut SERAUT WAJAH SEMERDU SUARA (1995) telah diterbitkan dan laris di pasaran. Album tersebut yang diterbitkan sempena 30 tahun penglibatan Sharifah Aini sebagai penyanyi telah mendapat anugerah platinum kerana jualannya melebihi 100,000 unit. Album 'live' terbitan Johari Salleh ini turut menampilkan dua lagu rakaman studio terbitan S Atan, 'Seksa' dan 'Tak Mungkin Berpaling'. Walaupun 'Seksa' adalah lagu asal yang dipopularkan oleh kumpulan Ukay's tetapi versi Sharifah Aini yang terlalu hebat turut menjadikan lagu tersebut untuk terus popular. Sharifah Aini turut melahirkan album solo raya pertamanya PILIHAN KLASIK AIDILFITRI (1996) yang turut laris di pasaran apabila lagu 'Nostalgia Aidiliftri' (lagu ciptaan pertama Pak Ngah yang dirakam) menjadi lagu raya kegemaran ramai dan kini tersenarai dalam kelompok koleksi lagu-lagu raya evergreen. Apabila genre lagu nasyid menjadi fenomena yang mulanya dirintis oleh kumpulan Raihan, Sharifah Aini juga diberi kesempatan menghasilkan sebuah album YAYADAN (1998) yang mengandung lagu-lagu yang sarat dengan mesej ketuhanan, kemanusian dan nasihat. Penghujung 90an pula Sharifah Aini diraikan oleh EMI dengan pelbagai projek album sempena 'Ulangtahun ke 30 Sharifah Aini bersama EMI'. Tetapi hanya 3 album dapat direalisasikan menerusi projek khas ini iaitu album kompilasi TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA (himpunan lagu-lagu tradisional dan Melayu klasik), SERI DEWI (himpunan lagu-lagu pop) dan DARI JAUH KU POHON MAAF (lagu-lagu raya rakaman baru). Agak terkilan juga apabila projek khas album duet untuk menyatukan Sharifah Aini dengan penyanyi terkini ketika itu dan sebuah album yang menampilkan lagu koleksi era 60an hingga 90an tidak terlaksana.
Awal Millennium (2000-2005) hanya 2 album penuh studio Sharifah Aini yang diterbitkan, SERIBU MAWAR (2000) dan SYAHDU (2003). SERIBU MAWAR merupakan hadiah istimewa Sharifah kepada peminat-peminatnya kerana inilah kali pertama biduanita yang pernah mendapat pendidikan sekolah Arab ini menyanyikan tiga buah lagu Arab didalam sebuah album, 'Ishar' (nyanyian asal Fairuz) dan dua lagu disampaikan dalam dwi-bahasa, Arab-Melayu, 'Nour El Ain' & 'Nary (Ya Habeba)' yang dipoularkan oleh Amr Diab. Popularnya lagu Nour El Ain nyanyian Sharifah Aini menyebabkan Amr Diab mulai dikenali di Malaysia dan deman lagu-lagu Arab turut mempengaruhi landskap muzik tanahair. SERIBU MAWAR juga diterbitkan dalam format CD Enhanced yang turut memuatkan retrospektif Sharifah Aini sepanjang kariernya dalam seni. Untuk pelancaran CD Enhanced SERIBU MAWAR, pihak EMI telah meraikan Sharifah Aini bersama para peminat bertuah dan wartawan di atas kapal mewah Superstar Virgo. Album SYAHDU pula telah memberi peluang kepada Sharifah Aini menjadi penerbit eksekutif dan berkerjasama dengan ramai karyawan ternama tanahair dan komposer muda berbakat seperti M Nasir, Ramli MS, Manan Ngah, LY, Ajai dan Bong. Album ini menampilkan sebuah lagu hit yang berelemen R&B, 'Maafkanlah' ciptaan dan gubahan Ahmad Idzham Omar yang disampaikan dengan baik oleh Sharifah Aini. BUKAN CINTA BIASA (2005) pula bukan album kompilasi sembarangan. Album berkonsepkan pop dakwah ini terlalu istimewa kerana buat pertama kalinya ketokohan Sharifah Aini sebagai qariah yang bakatnya telah digilap sejak zaman kanak-kanak dan remaja ditonjolkan melalui vokal merdunya mengalunkan ayat-ayat al Quran berserta terjemahan. Disamping himpunan koleksi lagu-lagu dakwah dan nasihat yang pernah dirakam oleh Sharifah Aini dalam album terdahulu, terdapat dua lagu baru, 'Gelora' dan sebuah lagu rakaman semula 'Tetamu Senja' yang asalnya dipopularkan oleh Kopratasa. 'Gelora' telah dicipta khas oleh Yasin Sulaiman sempena pelancaran autobiografi kontroversi BREAKING THE SILENCE: 55 REASONS WHY SHARIFAH AINI WAS NOT LYING. Sebuah lagu raya baru berentak ghazal, 'Di Pintu Ampun' telah dirakam untuk dimuatkan dalam album kompilasi lagu-lagu raya Sharifah Aini, DI PINTU AMPUN ... MENJELANG SYAWAL (2000). Sepanjang 10 tahun terawal era Milenium, banyak sekali album kompilasi dan rilisan semula Sharifah Aini yang diterbitkan dan antara album kompilasi yang menarik ialah CD berkembar TIMELESS (2006), yang mengandungi 4 CD; setiap CD mewakili album terbaik Sharifah Aini, 'Irama Cintaku', 'Sharifah Aini', 'Inilah Laguku' & 'Inilah Laguku II', koleksi lagu-lagu Inggeris yang dihImpunkan dalam 2 CD berkembar, DATUK SHARIFAH AINI IN DOWN MEMORY LANE dan koleksi lagu-lagu duet Sharifah Aini dalam 2CD berkembar, MEMORI HIT SEIRING SEJALAN.
Selepas sedekad Millennium, album projek khas Biduanita ternama Sharifah Aini yang telah dirancangkan sejak tahun 2008, Warisan Melayu dan Irama Terindah Malaysia gagal direalisasikan. Begitu juga pada penghujung tahun 2011, beliau dikatakan akan mula masuk studio untuk rakaman album mini dengan sebuah syarikat rakaman gergasi tempatan tetapi berita tersebut senyap begitu saja sehinggalah beliau 'berpulang' menemui sang Pencipta pada Julai 2014. Tetapi sebelum beliau 'berpergian' EMI-Warner Music telah mengedar bebarapa CD kompilasi beliau yang cukup menarik kerana ada sedikit kelainan daripada album-album kompilasi yang pernah diterbitkan sebelumnya. CD tersebut, BIDUANITA NEGARA DATUK SHARIFAH AINI vol 1 & 2 dan 101 SHARIFAH AINI. Kompilasi BIDUANINTA NEGARA DATUK SHARIFAH AINI disertakan dengan 5CD bagi setiap volume dan setiap CD mempunyai tema dengan menggunakan tajuk lagu Sharifah Aini. Lebih 200 lagu telah dipilih untuk disenarikan bagi 2 volume album kompilasi tersebut. Manakala 101 SHARIFAH AINI menghimpunkan 101 buah lagu popular dan terbaik Sharifah dalam 5CD. Walaupun lagu-lagu yang disenaraikaan adalah lagu 'kitaran semula' tetapi masih ada beberapa lagu yang jarang diterbitkan dalam format CD telah disenaraikan seperti 'Hanya Engkau', 'Kemana Ku Kan Pergi' dan 'Getaran Jiwa'. Sebagai penghormatan mengenang pemergian Biduanita Sharifah Aini, EMI-Universal Music telah mengeluarkan album kompilasi ABADI DALAM KENANGAN 1953-2014. Life Records pula telah mengedar persembahan terakhir Sharifah bersama Orkestra RTM sebelum beliau jatuh sakit, EKSKLUSIF DATUK SHARIFAH AINI BERSAMA ORKESTRA RTM dalam format audio CD+DVD. Konsert dirakam pada April 2012 yang berlangsung di Angkasapuri dan diterbitkan oleh RTM bagi mengenang perjuangan empat dekad Sharifah Aini dalam dunia nyanyian. Buah tangan terakhir allahyarham Sharifah Aini tidak sempat disaksikan oleh beliau kerana hanya diedarkan pada penghujung 2014.
Sharifah Aini juga terlibat bersama artis-artis lain dalam penerbitan album projek khas terbitan syarikat EMI atau EMI bekerjasama dengan organisasi lain. Projek khas ini termasuklah penerbitan album raya, album memartabatkan lagu-lagu Melayu asli, deli dan ghazal, runut bunyi, membanteras dadah, penghargaan ke atas seniman negara, P Ramlee. Beliau juga turut muncul sebagai artis undangan dalam album artis-artis popular. Album khas yang cukup berjaya ialah album runut bunyi HAPUSLAH AIRMATAMU (1976). Ternayata kolaborasi 3 nama terhebat zaman tersebut Ahmad Nawab, Sharifah Aini dan Broery Marantika telah mengangkat album ini sebagai album sepanjang zaman kerana ia sering dicetak dan dirilis semula. Siapa boleh melupakan lagu ceria 'Seiring Jalan' dan lagu sentimental 'Hapuslah Airmatamu' yang menjadi tema filem tersebut. Sebuah lagi album sepanjang zaman ialah album raya BERGEMBIRA DI HARI RAYA (1977) yang menampilkan lagu-lagu baru raya dan dailog ringkas lakonan Sharifah Aini bersama DJ Dave, Uji Rashid & Hail Amir. Salah satu lagu yang paling popular dari album raya ini ialah 'Suasana Hari Raya' nyanyian dan lirik oleh Sharifah Aini yang telah berusia lebih 45 tahun dan akan sentiasa releven diteliga pendengar setiap kalinya raya mendatang. Sebelum ini Sharifah Aini telahpun menghasilkan lagu raya pertamanya yang juga popular, 'Hari Yang Mulia' yang dimuatkan dalam album khas raya pelbagai artis, SELAMAT HARIRAYA ADILFITRI (1973). Komposer S Atan pula pastinya cukup berbangga apabila 'perjudiannya' menerbitkan lagu-lagu Melayu Deli menerusi ALBUM MELAYU DELI vol I & II (1982 & 1983) mendapat sambutan. Gabungan muzik moden dan lama serta pemilihan penyanyi yang tepat adalah faktor utama yang menyebabkan album tersebut mendapat sambutan bukan saja dari golongan dewasa malah anak-anak muda. Kebolehan Sharifah Aini menyanyikan lagu-lagu bergenre tradisional memang tidak perlu dipertikaikan. Sungguhpun beliau lebih terkenal sebagai seorang penyanyi pop, patah lagunya, lenggok nadanya menjadikan setiap lagu deli yang dibawanya begitu mempersonakan terutamanya 'Gunung Banang' dan 'Jalak Lenteng'. ABADI DALAM SANJUNGAN pula diterbitkan oleh S Atan sebagai tribute khas memperingati kepergiaan seniman negara, allahyarham P Ramlee genap 10 tahun. Sharifah Aini menyanyikan dua lagu klasik ciptaan dan nyanyian P Ramlee, 'Getaran Jiwa' secara solo dan 'Gelora' berduet bersama allahyarham Ali Ahmed Anwar. Sharifah Aini juga menimba pengalaman berharga kerana berpeluang buat pertama kalinya berkolaborasi dengan penerbit dan karyawan muda yang kreatif, KRU untuk lagu 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia' yang dimuatkan dalam album runut bunyi SILAT LEGENDA (1998). Lagu ciptaan KRU ini kemudiannya dirakam semula oleh Sharifah Aini dengan susunan muzik baru oleh Eddie Marzuki untuk album kompilasi lagu-lagu tradisional dan Melayu Klasik Sharifah Aini sempena ulangtahunnya yang ke-30 bersama EMI. Sebuah lagi projek khas, kerjasama Yayasan Warisan Johor dan EMI dalam memartabatkan muzik warisan negeri Johor terutamanya muzik ghazal dan gambus telah direalisasikan dalam album SENANDUNG JOHOR vol 2: PUSAKA BANGSA dengan menampilkan Sharifah Aini mendendangkan lagu ghazal 'Empat Dara' dan tampil istimewa sebagai penyanyi undangan dalam lagu 'Yaladan' nyanyian raja gambus Fadzil Ahmad. Album tersebut diterbitkan oleh pengarah muzik, Ramli MS. Sharifah Aini juga terlibat bersama SM Salim, Aishah dan bintang-bintang realiti Akademi Fantasia, Bob AF2, Farah AF2 dan Haziq AF4 untuk melaguku syair dan gurindam dalam album khas terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), PUISI TRADISIONAL: SYAIR DAN GURINDAM JILID 2 (2008). Sharifah Aini juga turut diundang sebagai penyanyi duet bersama Shamrin untuk lagu 'Di Alam Fana Cintamu' yang dimuatkan dalam album kumpulan Fotograf, JUARA MIMPI (1997). Penglibatan Sharifah Aini untuk lagu hip hop, 'You' bersama Too Phat untuk album Too Phat, PLAN B (2001) cukup 'menjadi' dan lagu ini menjadi hit walaupun Sharifah Aini hanya sekadar menjadi penyeri menyanyikan lirik lagu yang diulang-ulang 'You are my sunshine ... You are my rainbow ... After the rain has gone ... After the rain has gone." SM Salim pula mengundang Sharifah Aini untuk berduet lagu rakaman semula 'Biar Ku Pergi' untuk album duet SM Salim dengan pelbagai artis 'SEKARANG DAH JADI (2003).
Penglibatan Sharifah Aini lebih 4 dekad dalam industri rakaman lagu menjadikan beliau sangat beruntung kerana dapat melalui perkembangan teknologi rakaman dari format piringhitam (EP & LP), katrij, kaset dan kualiti audio yang lebih bermutu melalui cakera padat (CD). Album-album Melayu dalam format CD mula diperkenalkan pada penghujung 80an dan penjualannya semakin meningkat tahun demi tahun. Pada awal 90an, walaupun tiada album baru, album-album khas pelbagai artis yang turut menampilkan Sharifah Aini yang sebelumnya diterbitkan dalam format pringhitam mula dipasarkan dalam format CD seperti ASLIRAMA, ALBUM MELAYU DELI I & II. Album solo pertama Sharifah Aini yang diterbitkan dalam format CD ialah LELA MANJA yang dipasarkan pada tahun 1992. Album produksi asal tahun 1979, diterbitkan sekali lagi pada tahun 2010 sempena ulangtahun 30 penerbitan album LELA MANJA tetapi tajuk telah ditukar kepada KENANGAN LELA MANJA dengan kulit album yang lebih menarik. CD kompilasi pertama Sharifah Aini, KENANGAN MANIS I yang diterbitkan pada tahun 1991 juga telah dirilis semula dengan pakej baru pada tahun berikutnya dan diedar serentak dengan KENANGAN MANIS vol II. Perkembangan pesat ke atas penjualan CD dan permintaan peminat maka banyak album-album Sharifah Aini yang lainnya menyusul dan diterbitkan melalui siri MAT JIMAT dan MURAH HATI. Begitu juga sempena ulangtahun ke 25, album runut bunyi Hapuslah Airmatamu dan ulangtahun ke 10 album Nostalgia Aidilfitri telah diedarkan semula dengan kulit album yang lebih menarik. Pada September 2008, Warner Music telah diberi hak perlesenan untuk mengedarkan album artis-artis EMI termasuk album studio Sharifah Aini di awal 80an yang tidak pernah diterbitkan dalam bentuk CD mula menjengah dipasaran. Album-album tersebut ialah HARUM DALAM KENANGAN, RAHSIA HATI, IRAMA DARI SEKEPING HATI dan album runut bunyi SUMBER ILHAMKU. Begitu juga apabila Universal Music mengambil alih syarikat rakaman EMI Malaysia pada September 2013, banyak album solo dan kompilasi Sharifah Aini dipasarkan semula seperti KASIH, KAU YANG BERNAMA, PILIHAN SENTIMENTAL EMAS dan dua album pelbagai artis DELI AIDILFITRI & BERGEMBIRA DI HARI RAYA. Apa yang menarik kebanyakan CD tersebut diterbitkan seperti pakej album asal � sesuatu yang amat dinanti-nantikan sekian lamanya oleh peminat-peminat setia Biduanita ini yang ingin mengumpul album studionya sebagai koleksi peribadi. Terdapat juga album solo dan kompilasi Sharifah Aini yang diulang terbit tetapi ditampilkan dengan kulit album dan tajuk yang berbeza seperti PILIHAN KLASIK AIDILFITRI ditukar tajuk NOSTALGIA AIDILFITRI, MEMORI HIT SEIRING SEJALAN menjadi SEIRING SEJALAN BERSAMA SHARIFAH AINI dan ANUGERAH kepada SATU PENGHARGAAN. Juga ada album Sharifah Aini yang pernah diterbitkan dalam siri MAT JIMAT dan MURAH HATI diterbitkan semula untuk siri '24-BIT REMASTERED'. |