ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM
LELA MANJA (1979)
LELA MANJA ALBUM TERBAIK SHARIFAH AINI oleh Mahzan Musa, Professor Psikologi, Universiti Utara Malaysia (Dewan Budaya, Februari 2004) sumbangan Khir Johari@https://www.facebook.com/KhirJohari?fref=gc&dti=494800613954435
|
Di dalam album ini termuat sebelas buah lagu dalam rentak dan irama Melayu asli. Ia merupakan satu-satunya album lagu Melayu yang diusahakan berlandaskan pola, gaya lagu Melayu asli. Empat karyawan yang mahir dengan seni lagu-lagu Melayu asli - Hamzah Dolmat, Alfonso Soliano, Harris Harun dan Arshad Ismail bersama biduan Sharifah Aini membentuk gandingan perdana dalam penerbitan album 'Lela Manja'. Gandingan perdana ini memperlihatkan Alfonso Suliano bertindak sebagai penerbit. Raja Biola Malaysia, Hamzah Dolmat menerajui seni lagu melalui gesekan biolanya yang turut juga menurunkan senikata bagi semua lagu dalam album 'Lela Manja'. Album 'Lela Manja' sememangnya mengukuhkan dimensi repertoir Sharifah Aini sebagai penyanyi serba boleh. Kemerduan vokal Sharifah Aini membangkitkan semangat, nurani jiwa lagu. Lenggok, patah lagu biduan Sharifah Aini gayakan dengan penuh penghayatan dalam ketrampilan seni. Kehebatan vokal biduan Sharifah Aini mendendangkan lagu jika diukur pada tujuh kriteria dari segi kejituan, lenggok, sebutan, kawalan suara, penghayatan, julat suara dan kelunakan memang indah lagi mempersonakan. Sebutan lirik lagu Sharifah Aini pada lagu-lagu 'Lela Manja' menyuguhkan kejelasan tepat pada setiap diksi. Kejituan sebutan, serta kesinambungan nafas apungan Sharifah Aini bertahan menjadikan vokalnya kedengaran besar, mantap lagi bertenaga. Sewaktu menyanyikan lagu-lagu 'Lela Manja' Sharifah Aini kedengaran seolah bercerita mengisahkan pengalaman 'psyche' Melayu sepenuh rasa. Khalayak diasyikkan dengan rindu dendam kesan persona suara berlagu Sharifah Aini. Suara nyanyian Sharifah Aini seimbang antara lagu dan irama. Kurang kedengaran irama lagu menakluk suara dan/atau suara menakluk irama lagu. Hamzah Dolmat yang menghalusi lagu-lagu 'Lela Manja' turut mengindahkan irama lagu bersama biduan Sharifah Aini. Gesekan biola Hamzah Dolmat kedengaran dalam suasana nada dramatik, beralun lembut, memuncak, tinggi mencelah, menyampuk, gemalai, bersambung-sambung beriringan berkumandang menebarkan keindahan irama lagu-lagu Melayu asli 'Lela Manja'. Bersama paluan rebana, tabuhan gong, petikan mata piano melaraskan pesona tempo lagu. Tiupan seruling turut menyisipkan irama lagu. Tinjauan dari aspek tingkah laku memperlihatkan lagu-lagu dalam album 'Lela Manja' ada unsur 'psyche' dan pandangan alam Melayu secara berlagu. Lagu-lagu asli 'Lela Manja' adalah cernaan akal, semangat Melayu. Simbol, perlambangan dan metafora Melayu terkandung menerusi gaya seni lagu dan seni kata lagu dalam album 'Lela Manja'. Interaksi fizikal, psikologikal dengan persekitaran alam Melayu diringkaspadatkan oleh pencipta asal lagu-lagu asli 'Lela Manja' secara berseni menerusi sebelas buah lagu. Lagu-lagu ini menyisipkan pesan, amanat, nasihat untuk dijadikan pedoman dengan memuhasabah perlakuan menerusi kaedah introspeksi ke dalam diri. Kehebatan tradisi lisan menjelma menerusi semua lagu-lagu dari album 'Lela Manja' yang mengabungkan unsur pantun, syair, gurindam, seloka, peribahasa, kiasan perbendaharaan Melayu yang saling berbaur dengan irama lagu. Sebagaimana dengan tradisi lisan sastera Melayu yang tidak diketahui siapakah pencipta, pengubah asal, begitu jugalah dengan kesemua lagu-lagu asli dalam 'Lela Manja'. Pencipta, pengubah misteri lagu-lagu Melayu asli ini menjadikan lagu-lagu Melayu asli berada dalam kedudukan istimewa yang boleh dikongsi bersama oleh mereka yang berada di alam Melayu. Konsep perkongsian misteri ini kiranya adalah antara ciri yang menjadikan lagu-lagu Melayu asli 'Lela Manja' indah menawan. Lagu pertama dengan judul 'Lela Manja' memerihalkan keagungan keindahan seni lagu Melayu. Dalam lagu ini diceritakan betapa lagu Melayu 'dari dahulu sampai sekarang kekal tak hilang'. Lagu ini mempunyai unsur anamisma yang mana 'lagu lama' adalah 'hidangan bistari untuk penawar dewi abadi'. 'Ratapan Kamarulzaman' memperdengarkan julat vokal tinggi rendah biduan Sharifah Aini. Lagu ini tidak berlegar pada rintihan kesedihan sebagaimana tajuk lagunya. Lagu ini memerihalkan isu moral yang secara ringkas mengingati agar berpada-pada berbuat baik jangan nanti agar "jasa yang ditabur tidak terperi" membawa kemudaratan sehingga "hilanglah akal kerana budi". Kelangsungannya, lakukan dengan "budi bahasa" yang "sukar dicari". Lagu 'Pasir Roboh' berlegar pada isu "kasih tidak boleh dijual beli" dan kasih "bukanlah benda yang boleh dibuat berniaga". Unsur motivasi, dorongan muncul dalam bentuk hasrat, kemahuan, kegigihan untuk berusaha menjadi tema lagu 'Sri Tambak'. Dengan menggunakan citra "nyiur gading", "puncak mahligai", "ketupat berisi inti" keinginan untuk mendapatkan sesuatu mesti dilakukan dengan usaha gigih walaupun bakal berlaku "hancur daging tulang berkecai". Laksanakan tindakan sehingga "belumku dapat belum berhenti". Irama inang rancak lagu 'Dodoi Si Dodoi' memerihalkan tindakan zahir ibu mendodoikan anak kecilnya agar "buah hatiku" "tidur bermimpi". Pada masa yang sama ibu yang bertindak sebagai isteri turut cuba mententeramkan dirinya dari kegelisahan yang terselindung sewaktu ditinggalkan suami yang merantau. Keasyikan lagu ini meresap. Citra awan mendung digunakan sebagai metafora agar mereka yang mendengar lagu ini terus bekerja memajukan diri. Akan "rosak binasa" pada mereka yang selalu "termenung". Jika sesuatu "tidak ada, jangan di tunggu". Ini intipati lagu mendayu 'Mega Mendung'. Lagu 'Bentan Telani' melafazkan petua betapa "niat yang baik mestilah dijaga". Bila berdampingan "ilmu berkasih mestilah setia". Sehubungan dengan lagu 'Bentan Telani' nada lagu 'Gambus Palembang' agak dramatik sifatnya. Ia berkisar tentang tingkah laku mereka yang merantau. "Sungguh pun jauh, di negeri satu, hilang dimata dihati jangan". Diperingatkkan kalau hilang "tak kanlah sama dengan yang hilang". Tingkah laku perkasihan sememangnya perlakuan yang paling digemari didendangkan menerusi lagu. Melalui 'Damakku Sayang' dinyatakan "cinta kasih bukanlah benda buat berhias". Jika dijadikan hiasan akibatnya diri tidak orang peduli jauh sekali dipentingkan. Itu amanat lagu ini. Dalam nada yang agak melankolik irama lagu 'Sri Sarawak' menjadikan citra "perahu sempit" sebagai simbol ketidakupayaan untuk meneruskan hubungan kasih saying. Lalu dilafazkan "tinggallah intan, tinggallah junjungan". Terkesan kehibaan, kesayuan Sharifah Aini menerusi 'Sri Sarawak'. Penelitian ke atas seni kata lagu-lagu album 'Lela Manja' turut terkandung artifak-artifak tradisi Melayu yang digunakan di zaman silam. Ditemui 'perahu Bugis', 'perahu mayang', 'perahu mudik', 'layar', 'kemudi', 'pura', 'gambus'. Ada juga citra 'Kota Melaka', 'Bentan Telani', 'Palembang', 'pekan menyabung ayam berlaga'. Disisipkan juga 'ketupat berisi inti', 'pucuk pauh', 'inderawasih', 'anak semilang' yang membayangkan suasana di zaman lalu. Itu antara kelebihan seni lagu-lagu asli 'Lela Manja'. 'Lela Manja' dihasilkan di luar kelaziman biasa, tidak konvensional sifatnya. Sehingga kini masih belum kelihatan album lagu-lagu Melayu asli sehebat 'Lela Manja' baik dari segi nyanyian, susunan seni lagu, laras senikata lagu seniman dan biduan yang mengusahakan 'Lela Manja'. 'Lela Manja' bukan sebarang album seni lagu Melayu. 'Lela Manja' adalah album berdarjat yang memperkasakan seni lagu asli Melayu di alam Melayu. 'Lela Manja' memerihalkan semangat, keghairahan, keasyikan, kehebatan peribadi Melayu yang dapat dikiaskan sebagai keindahan tradisi sulaman tekad benang emas pada kain dewangga. |