KAK PAH TERUS GIGIH ANJUR ACARA AMAL oleh Roni Hidayat Ridwan (Kosmo: Rabu, 23 November 2011) |
SHARIFAH AINI mahu terus beramal menerusi bidang nyanyian Sesuai dengan gelaran Biduanita Negara yang diberikan kepadanya, Datuk Sharifah Aini boleh juga digelar penyanyi amal. Ini kerana percaya atau tidak, penyanyi yang lebih mesra dengan panggilan Kak Pah itu sehingga kini sudah terbabit dengan 3,000 acara amal sepanjang 42 tahun pembabitannya sebagai anak seni. Bagaimanapun, sejak dua tahun yang lalu Kak Pah yang memulakan karier sebagai penyanyi ketika berusia 14 tahun itu sudah mula menganjurkan sendiri acara bagi membantu golongan yang memerlukan. "Sehingga sekarang saya telah menganjurkan sebanyak lima acara amal dengan memberi bantuan kepada lima buah sekolah tahfiz serta rumah anak yatim di sekitar Lembah Klang. Sasaran saya buat masa ini adalah untuk membantu 15 buah sekolah. Jadi pada 17 Disember ini saya akan menganjurkan sebuah lagi acara yang dinamakan majlis Makan Malam Amal Tiga Sahabat untuk memberi bantuan kepada sebuah sekolah tahfiz dan anak yatim lagi," jelasnya pada satu sidang akhbar baru-baru ini. Ujar Kak Pah, dua buah sekolah yang akan dibantunya itu adalah Madrasah Tahfiz Tahsin Al-Quran yang terletak di Puchong, Selangor serta rumah anak yatim Baitul Ehsan di Taman Maluri, Kuala Lumpur. Menurutnya lagi, jumlah sumbangan yang akan diserahkan itu nanti adalah berdasarkan keuntungan setelah ditolak semua kos perbelanjaan untuk acara tersebut yang akan berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. "Untuk menganjurkan acara-acara amal sebegini, biasanya saya memerlukan kos sekitar RM170,000. Setelah ditolak bayaran kepada pemuzik dan penyanyi undangan, maka selebihnya itu akan diserahkan kepada mereka," ujarnya. Menariknya tentang acara amal yang dianjurkan kali ini, Kak Pah menerusi syarikatnya iaitu Seri Dewi Production Sdn. Bhd. turut mengundang dua orang penyanyi popular dari Indonesia iaitu Grace Simon dan Dewi Yull. Ditanya tentang pemilihan Grace dan Dewi untuk menjayakan aktiviti amal yang dianjurkannya itu, Kak Pah menjelaskan kedua-dua penyanyi itu adalah rakan lamanya dan mereka sering bekerjasama dengan mendiang Broery Marantika. "Apa yang membuatkan saya terharu apabila mereka menunjukkan kesungguhan untuk sama-sama terlibat dengan acara ini, malah mereka langsung tidak bertanyakan tentang soal bayaran untuk persembahan nanti," jelasnya. Mengenai cabaran sepanjang lima kali menganjurkan acara amal, Kak Pah memberitahu apa yang terpaksa ditempuhi adalah tanggapan serong sesetangah pihak yang mempertikaikan acara yang dianjurkan serta keberkatan sumbangan yang diberikan itu. Ujarnya, dia tidak akan mengendahkan sebarang tanggapan serong orang yang mempertikaikan usahanya itu kerana niatnya yang paling utama adalah untuk membantu golongan yang memerlukan dan akan terus lebih gigih lagi menganjur acara-acara amal selepas ini. "Saya tak peduli apa orang nak cakap kerana niat saya memang ikhlas untuk membantu. Dalam kelima-lima acara amal yang dianjurkan sebelum ini saya memang tidak ambil walau sesen pun daripada keuntungan yang diperolehi. Lagipun selama 15 tahun, saya telah mempunyai seramai 2,500 anak angkat yang terdiri daripada pelajar tahfiz di seluruh negara. Saya taja mereka dan ambil sebagai anak angkat dan sekarang ini ada yang telah pun berjaya dalam kehidupan masing-masing," luahnya. Mengenai acara yang akan berlangsung nanti, Kak Pah menjelaskan setakat ini sambutan terhadap penjualan meja sudah 50 peratus terjual dan dia menyasarkan seramai 800 orang yang akan hadir. Meja-meja yang dijual untuk acara makan malam amal itu adalah berharga RM10,000, RM7,500, RM5,500 dan RM3,500 dan kebanyakan yang terjual adalah menerusi organisasi korporat. "Kami juga turut mengalu-alukan penjualan tiket untuk perseorangan. Jadi saya berharap agar ada pihak yang sudi untuk hadir kerana selain berhibur mereka juga turut membuat amal menerusi meja atau tiket yang dibeli itu," ujarnya. Kepada sesiapa yang berminat untuk hadir pada majlis tersebut itu nanti bolehlah menghubungi Puan Shameem untuk mendapat keterangan lanjut berhubung penjualan meja dan tiket di talian 019-2495277. Artikel lain yang berkaitan: Kak Pah Penat Tapi Puas (Berita Minggu: B*Pop – 25 Disember 2011) 43 Tahun Dalam Industri (Sinar – Ahad, 25 Disember 2011) Konsert Luar Jangkaan Kak Pah (Kosmo! – Jumaat, 23 Disember 2011) Sharifah Aini Serik Kena Tipu (Utusan Malaysia – Rabu, 21 Disember 2011) Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian – Selasa, 20 Disember 2011) Malam Amal Penuh Bermakna (Harian Metro – Isnin, 19 Disember 2011) Misi Kerja Amal Kak Pah (Utusan Malaysia – Isnin, 28 November 2011) Janji Persembahan Menarik (Berita Harian – Khamis, 24 November 2011) Semangat Kak Pah Membara (Harian Metro – Khamis, 24 November 2011) Teruja Nanti Malam Amal Tiga Sahabat (Berita Minggu: Bi*Pop – 20 November 2011) Kak Pah Sudah Bersiap Sedia (Harian Metro – Khamis, 3 November 2011) Tiga Sahabat Kongsi Pentas (Harian Metro – Selasa, 11 Oktober 2011) Kak Pah Ajak Dewi, Grace Beramal (Berita Minggu: B*Pop – 9 Oktober 2011) Susahnya Cari Penghibur Sejati (Berita Harian – Khamis, 6 Oktober 2011) |