SUSAHNYA CARI PENGHIBUR SEJATI

oleh Farihad Shalla Mahhmud  (Berita Harian: Khamis, 6 Oktober 2011)

Sharifah Aini pilih Grace Simon, Dewi Yull sertai persembahan amal 17 Disember

Ada keluhan yang lahir dari bibir biduanita negara ini.  Keluhan yang boleh dianggap sebagai penyakit dalam dunia hiburan hari ini.  Bukan gejala cetak rompak ataupun masalah penyanyi kena 'kapur', tetapi luahan itu menggambarkan betapa sukarnya mencari seorang penghibur dalam erti kata yang sebenar.  Sungguh menghairankan apabila Datuk Sharifah Aini meluahkan rasa kesalnya kerana beliau tidak bertemu penghibur yang dicari sedangkan hakikatnya dunia seni hari ini, khususnya nyanyian mengalamai sindrom lambakan penyanyi.

Menurut Sharifah Aini yang lebih akrab disapa Kak Pah ini, sejak menjadi penganjur beberapa majlis amal, baru kini sedar bahawa kita sebenarnya tidak memiliki penyanyi bertaraf penghibur.  "Setap kali mahu menganjurkan majlis amal dan mencari penyanyi, mesti Kak Pah mengalami masalah mencari mereka yang sesuai.  Memang kita ada banyak penyanyi tapi untuk mencari yang mampu menyanyi dengan baik dan pada masa yang sama boleh berkomunikasi dengan penonton memang susah.   

"Majlis yang Kak Pah anjurkan ini hanyalah majlis makan malam dan biasanya ada ramai korporat.  Kak Pah mahu penyanyi yang diundang itu bukan saja boleh buat penonton terhibur tetapi juga buat penonton ketawa dan memberi memori manis kepada tetamu untuk dibawa pulang.  Kak Pah mahu mereka terkenang-kenang persembahan itu dan sentiasa menantikan persembahan yang seterusnya," katanya pada sidang media Makan Malam Amal Tiga Sahabat bersama Datuk Sharifah Aini, Grace Simon dan Dewi Yull di ibu negara, petang kelmarin.

Majlis yang bakal di adakan di Hotel Royal Chulan, Jalan Conlay pada 17 Disember itu anjuran bersama Seri Dewi Production Sdn Bhd dan Lime Events Management.  Tambahnya, apabila beliau agak teliti dalam memilih siapa penyanyi yang layak untuk bekerjasama dengannya dalam beberapa projek amal yang bakal dianjurkan, bukanlah bermakna cerewet.  "Disebabkan ini adalah majlis amal, Kak Pah mahu mencari yang senang untuk berurusan dan tidak terlalu berkira.  Sepanjang Kak Pah mengendalikan acara sebegini Kak Pah bertemu dengan pelbagai ragam manusia. 

"Tidak mahu pening kepala, Kak Pah lebih selesa berurusan dengan penyanyi yang bersikap profesional dalam kerjaya seni mereka," katanya.  Dan alasan yang sama juga diberikan penyanyi ini apabila ditanya mengapa Dewi Yull dan Grace Simon yang menjadi pilihan untuk menjayakan majlis makan malam ini.  Mereka memberikan reaksi yang cukup positif apabila diundang menjayakan majlis ini selain mempunyai ramai peminat di sini serta memiliki suara masih hebat.  Sebelum ini pun kami pernah mengadakan persembahan bersama.  Grace umpamanya pernah bersama-sama Kak Pah mengadakan persembahan di Indonesia, Thailand dan Filipina.  Manakala Dewi Yull pula kami pernah menyanyi bersama ketika berkunjung ke negara ini suatu ketika dulu.

Selain menyanyi solo untuk satu jam setengah, Kak Pah juga akan berduet dengan mereka," katanya yang cukup anggun mengenakan kurung moden dan tudung dari warna yang senada.  Kak Pah turut menyifatkan dua penyanyi wanita ini sebagai penghibur sejati.

Selesa Anjur Majlis Amal Sendiri

Sepanjang empat dekad menyanyi, Kak Pah berkata, beliau sudah menjayakan lebih 3,000 persembahan amal.  Selepas puas menjadi penyanyi undangan, beliau kini lebih selesa menganjurkan majlis sendiri walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran.  "Paling menyeronokkan dan mencabar apabila Kak Pah dan teman perlu menulis surat kepada mana-mana syarikat korporat untuk membeli meja.  Mengetuk satu pintu ke satu pintu mencari penaja.  Itu semua satu pengalaman buat Kak Pah.  Pun begitu ada juga cabaran lain yang terpaksa dihadapi apabila ada segelintir golongan yang tidak mahu menerima wang sumbangan daripada hasil nyanyian.  Jadi Kak Pah akan cari juga mana-mana pihak yang sudi menerima wang sumbangan ini," katanya.

Untuk menyaksikan persembahan ini tiket akan dijual dengan harga termasuk makan malam.  Harga yang dikenakan adalah RM1,000, RM750, RM550 dan RM350 iaitu dalam bentuk jualan meja dan orang perseorangan.  Segala keterangan lanjut berhubung acara ini bolehlah menghubungi Shameem di talian 019-2495277 ataupun no faksimili 03-79568557 ataupun emel limevent@gmail.com

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Penat Tapi Puas (Berita Minggu: B*Pop 25 Disember 2011)

  43 Tahun Dalam Industri (Sinar Ahad, 25 Disember 2011)

  Konsert Luar Jangkaan Kak Pah (Kosmo! Jumaat, 23 Disember 2011)

  Sharifah Aini Serik Kena Tipu (Utusan Malaysia Rabu, 21 Disember 2011)

  Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian Selasa, 20 Disember 2011)

  Malam Amal Penuh Bermakna (Harian Metro Isnin, 19 Disember 2011)

  Misi Kerja Amal Kak Pah (Utusan Malaysia Isnin, 28 November 2011)

  Janji Persembahan Menarik (Berita Harian Khamis, 24 November 2011)

  Semangat Kak Pah Membara (Harian Metro Khamis, 24 November 2011)

  Kak Pah Terus Gigih Anjur Acara Amal (Kosmo! Rabu, 23 November 2011)

  Teruja Nanti Malam Amal Tiga Sahabat (Berita Minggu: Bi*Pop 20 November 2011)

  Kak Pah Sudah Bersiap Sedia (Harian Metro Khamis, 3 November 2011)

  Tiga Sahabat Kongsi Pentas (Harian Metro Selasa, 11 Oktober 2011)

  Kak Pah Ajak Dewi, Grace Beramal (Berita Minggu: B*Pop 9 Oktober 2011)