MALAM AMAL PENUH BERMAKNA oleh Ridzuan Abdul Rahman (Harian Metro: Isnin, 19 Disember 2011) |
Suatu malam yang sangat bersejarah! Hanya kesyukuran yang bermain di bibir biduanita tersohor Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar atau Kak Pah apabila acara Makan Malam Amal Tiga Sahabat menggabungkan dia, Grace Simon dan Dewi Yull berlangsung dengan jayanya di Ballroom, Hotel Royal Chulan, pada malam semalam. Awalnya Kak Pah menjangkakan acara ini hanya dihadiri sekitar 350 peminat dan untuk itu dia mencetak 400 tiket. Namun siapa sangka, pada saat-saat akhir permintaan semakin bertambah menjadikan hampir 760 peminat menyaksikan persembahan yang berdurasi sehingga empat jam ini. Sinonim dengan konsert terdahulu, mereka yang hadir rata-ratanya peminat yang setia menyokong perjuangan seninya sejak dahulu sehingga kini. Paling istimewa, Kak Pah menerima penghargaan terbesar apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sudi meluangkan masa menonton persembahannya. Sambil disajikan dengan makanan enak, Grace Simon tampil membuka acara tepat jam 9.20 malam dengan mendendangkan lagu Kapan Lagi. Seterusnya, dia membuai peminat menerusi kemerduan suaranya apabila mengalunkan lagu keroncong Begawan Solo dan Antara Pria Dan Wanita. Penonton bertepuk kesukaan apabila penyanyi berusia 58 tahun ini menyampaikan lagu popularnya, Bing sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu Sway. Sebagai penyanyi berpengalaman, Grace tidak mempunyai masalah berkomunikasi dengan peminat. Selepas itu giliran Dewi Yull mengambil tempat dengan sedikit kejutan apabila tampil menyanyikan lagu Cinta Hampa dari kawasan belakang tempat duduk penonton. Penyanyi bernama sebenar Raden Ayu Dewi Pujiati berusia 50 tahun ini seterusnya menyampaikan lagu Dealova, Jangan Ada Dusta Diantara Kita dan mengakhiri persembahan dengan Kini Baru Kau Rasa. Ramai terpegun dan mengakui kemantapan vokal Dewi yang juga aktres popular Indonesia ini terutama ketika menyampaikan lagu Dealova yang bernada tinggi. Selepas persembahan berehat seketika bagi memberi ruang buat penonton menikmati hidangan, suasana menjadi gamat semula apabila Kak Pah tampil pada jam 10.20 malam. Sempat dia berinteraksi sebelum menyampaikan lagu pertamanya. "Saya tetap rasa 'nervous' muncul di depan walaupun sudah 42 tahun menyanyi. Saya sudah berjalan jauh dalam bidang seni suara dan malam ini ingin membawa anda mengembara dalam tempoh 42 tahun saya menyanyi. Terimalah lagu pertama, Seri Dewi Malam," katanya yang disambut jeritan kegembiraan peminat. Seterusnya dia menyampaikan lagu Sayangku yang dihasilkan pada 1976 sebelum berceloteh semula dengan peminat. "Kalau ada sambutan macam ini lagi, saya tak bimbang bekerja keras untuk menganjurkannya. Sebenarnya jam empat pagi ini (Sabtu) baru saya habis rehearsal (latihan)," katanya berkongsi cerita yang disambut tepukan gemuruh mereka yang hadir. Kebanyakan lagu saya ada kisah tersendiri. Seperti lagu Putus Kasih ini, ia bukan bermaksud apa-apa tapi ketika usia kandungan saya sembilan bulan pada 1982, ia lagu kegemaran saya. Bayangkan saya berbadan besar ketika di studio semasa merakamkan lagu ini," tambahnya lagi sebelum menyampaikan lagu yang dimuatkan dalam album Rahsia Hati terbitan tahun 1982 ini. Sambil menghibur, Kak Pah tidak lupa berkongsi matlamat penganjuran makan malam ini yang bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik. Ceritanya, sejak menganjurkan beberapa persembahan amal pelbagai ragam manusia sudah mereka jumpa. "Saya akhirnya pilih buat sendiri kerana jika anjuran orang lain lebih memihak kepada penganjur. Banyak artis kena tipu. Ini detik yang bagus untuk saya buat kebajikan. Dengan bantuan lapan hingga sembilan komiti, kami cari rumah yang nak roboh dan sekolah budak-budak miskin. Saya tolong mereka menerusi suara. "Saya bekerja sampai subuh untuk siapkan pelbagai perkara. Kadang-kadang lepas subuh pun saya masih mengadap komputer. Saya nak kongsi cerita lucu, ada juga pihak tertentu yang berikan cek atas nama Seri Dewi Malam, sedangkan syarikat saya ialah Seri Dewi Production Sdn Bhd," katanya. Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib. Hasil kutipan acara anjuran bersama Lime Events Management dan kerjasama Hotel Royal Chulan ini disumbangkan kepada Madrasah Tahfiz Tahsin Al-Quran Batu 13, Kampung Sri Langkas, Jalan Klang Puchong dan Baitul Ehsan di No 49, Jalan Wirawati 6, Taman Maluri, Kuala Lumpur. Berbekalkan pengalaman luas, Kak Pah yang masak dengan cita rasa peminatnya terus menghiburkan mereka dengan barisan lagu hebat seperti Kenangan Lalu, Terbang Helang, Smile, Kau Pergi Tanpa Pesan, Malam Persandingan, Halimun Malam dan Biarkan Bulan Bicara. Dia tidak ketinggalan menyelitkan info setiap kali menyampaikan sesebuah lagu. Kehebatan Kak Pah terserlah kerana peminat akan menyanyi bersamanya setiap kali dia buka mulut. Malah, Kak Pah pandai memancing pembabitan peminat setiap kali menyanyikan lagu Kau Pergi Tanpa Pesan yang menjadi lagu wajibnya. Tanpa kenal penat, Kak Pah menyambung persembahannya dengan koleksi lagu hit era 1970-an iaitu Oh Di Mana Mustika Hati, Surat Dari Seberang, Jangan Tinggalkan Daku dan Kenangan Manis Di Bulan September. Persembahan dengan iringan pemuzik di bawah pimpinan Belle Fatah, selaku pengarah muzik sememangnya bertenaga dan menghiburkan. Malam semakin larut namun seorang pun peminat tidak berganjak meninggalkan dewan. Kak Pah seterusnya mendendangkan lagu When You Tell Me That You Love Me dan berduet dengan Grace menerusi lagu Kemayoran serta berduet dengan Dewi dalam lagu Engkau Laksana Bulan. Tidak lupa, dia turut mengadakan segmen tribute buat mendiang Broery Marantika sebagai mengenang bekas rakan duetnya itu apabila menyampaikan lagu Jatuh Cinta dan Sepanjang Jalan Kenangan bersama Grace dan Dewi. Selesai mendendangkan lagu ini, Kak Pah minta diri untuk berundur namun peminat meminta dia terus menyanyi. Tidak mahu mengecewakan mereka, dia menyampaikan lagu bonus Pantun Budi. Sekali lagi dia minta diri untuk menutup tirai persembahan selepas menyanyikan lagu itu namun sekali lagi peminat memintanya terus menyanyi. Kak Pah akur dan menyampaikan lagu Bunga Tanjung sebagai lagu terakhir, sekali gus membuatkan peminatnya pulang dengan senyuman puas. Artikel lain yang berkaitan: Kak Pah Penat Tapi Puas (Berita Minggu: B*Pop – 25 Disember 2011) 43 Tahun Dalam Industri (Sinar – Ahad, 25 Disember 2011) Konsert Luar Jangkaan Kak Pah (Kosmo! – Jumaat, 23 Disember 2011) Sharifah Aini Serik Kena Tipu (Utusan Malaysia – Rabu, 21 Disember 2011) Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian – Selasa, 20 Disember 2011) Misi Kerja Amal Kak Pah (Utusan Malaysia – Isnin, 28 November 2011) Janji Persembahan Menarik (Berita Harian – Khamis, 24 November 2011) Semangat Kak Pah Membara (Harian Metro – Khamis, 24 November 2011) Kak Pah Terus Gigih Anjur Acara Amal (Kosmo! – Rabu, 23 November 2011) Teruja Nanti Malam Amal Tiga Sahabat (Berita Minggu: Bi*Pop – 20 November 2011) Kak Pah Sudah Bersiap Sedia (Harian Metro – Khamis, 3 November 2011) Tiga Sahabat Kongsi Pentas (Harian Metro – Selasa, 11 Oktober 2011) Kak Pah Ajak Dewi, Grace Beramal (Berita Minggu: B*Pop – 9 Oktober 2011) Susahnya Cari Penghibur Sejati (Berita Harian – Khamis, 6 Oktober 2011) |