KAK PAH SUDAH BERSIAP SEDIA oleh Elrafael Sapi (Harian Metro: Khamis, 3 November 2011) |
Jadikan persembahan Makam Malam Amal Tiga Sahabat platform bercerita kenangan lama depan peminat Kehebatan vokal mahupun persembahan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini memang tiada tolok bandingnya. Merentasi peredaran zaman sejak penghujung 1960-an sehingga kini, beliau yang lebih mesra disapa Kak Pah itu terus bertahan dalam dunia seni. Bagi mengubati kerinduan peminat menantikan kemunculan semulanya di pentas, Kak Pah kini sibuk membuat persiapan bagi persembahan Makan Malam Amal Tiga Sahabat yang dijadual berlangsung di ibu negara pada 17 Disember ini. Seperti persembahan Kak Pah sebelum ini, setiap persembahan pasti membawa kelainan dan tarikan berbeza. Begitu juga kali ini apabila beliau menjemput dua penyanyi popular Indonesia, Dewi Yull dan Grace Simon untuk berkongsi pentas. Kak Pah ketika dihubungi Rap semalam berkata, persembahan terbarunya itu sangat istimewa kerana ia berjaya menemukan tiga rakan lama yang sudah lama tidak bertemu. Menariknya, pertemuan julung kali itu demi menghiburkan peminat mereka. "Memang banyak kenangan antara saya dengan Dewi serta Grace apatah lagi kami sudah lama tidak berjumpa dan persembahan ini menjadi pertemuan semula kami. Seperti Grace, saya kenal dia sejak 1970-an dan pernah mengadakan persembahan bersama di beberapa lokasi seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura. Saya percaya persembahan kali ini bukan nyanyian semata-mata tapi menjadi platform kami bertiga bercerita kenangan lama di depan peminat,� katanya. Dalam memberikan persembahan terbaik kepada peminat, Kak Pah akui sentiasa teruja setiap kali muncul di pentas. Menariknya, persembahan ini adalah projek kelima diuruskan menerusi syarikat produksinya, Seri Dewi Productions Sdn Bhd dengan Lime Events Management. Lebih membanggakan, persembahan itu turut mendapat sokongan padu Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur sebagai penaja utama lokasi. Ia akan diadakan di Dewan Taming Sari yang indah dan luas. Berbicara lanjut aspek persiapan, Kak Pah berkata dia akan memulakan latihan pada penghujung bulan ini. "Buat masa ini, saya akan berlatih dan fokus pada persembahan sendiri dulu kerana Dewi dan Grace dijangka sampai ke KL pada 15 Disember nanti. Sebolehnya, saya mahu menyanyikan 25 lagu hit saya pada persembahan itu. Pemilihan lagu akan dibuat dengan teliti, tetapi masih mengekalkan lagu wajib seperti Bunga Tanjung dan Hapuslah Air Matamu. Saya juga bercadang memilih lagu Sepanjang Jalan Kenangan untuk kami bertiga menyanyi secara bersama-sama. Persembahan itu akan diiringi lima pemuzik dan tiga penyanyi latar," jelasnya. Mengenai jualan tiket, Kak Pah berkata sebanyak 40 peratus tempat duduk berjaya dijual. Sambutan positif peminat untuk hadir bukan saja dalam kalangan peminat tempatan, tetapi juga dari Singapura dan Indonesia. Katanya, beliau mengharapkan jualan tiket akan terus meningkat dalam tempoh sebulan lagi sebelum persembahan bermula. Menariknya, persembahan ini membawa matlamat memberi sumbangan kepada dua rumah kebajikan, Madrasah Tahfiz Tahsin Al-Quran Batu 13, Kampung Sri Langkas, Puchong yang menempatkan 24 pelajar serta Baitul Ehsan, Jalan Wirawati 6, Taman Maluri, Kuala Lumpur yang dihuni 45 anak yatim selain anak terbiar. Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan amal Makan Malam Amal Tiga Sahabat Bersama Datuk Sharifah Aini, Grace Simon & Dewi Yull, tiket bersama hidangan makan malam masih dijual pada harga RM10,000 semeja (10 orang), RM7,500, RM5,500 dan RM3,500. Artikel lain yang berkaitan: Kak Pah Penat Tapi Puas (Berita Minggu: B*Pop – 25 Disember 2011) 43 Tahun Dalam Industri (Sinar – Ahad, 25 Disember 2011) Konsert Luar Jangkaan Kak Pah (Kosmo! – Jumaat, 23 Disember 2011) Sharifah Aini Serik Kena Tipu (Utusan Malaysia – Rabu, 21 Disember 2011) Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian – Selasa, 20 Disember 2011) Malam Amal Penuh Bermakna (Harian Metro – Isnin, 19 Disember 2011) Misi Kerja Amal Kak Pah (Utusan Malaysia – Isnin, 28 November 2011) Janji Persembahan Menarik (Berita Harian – Khamis, 24 November 2011) Semangat Kak Pah Membara (Harian Metro – Khamis, 24 November 2011) Kak Pah Terus Gigih Anjur Acara Amal (Kosmo! – Rabu, 23 November 2011) Teruja Nanti Malam Amal Tiga Sahabat (Berita Minggu: Bi*Pop – 20 November 2011) Tiga Sahabat Kongsi Pentas (Harian Metro – Selasa, 11 Oktober 2011) Kak Pah Ajak Dewi, Grace Beramal (Berita Minggu: B*Pop – 9 Oktober 2011) Susahnya Cari Penghibur Sejati (Berita Harian – Khamis, 6 Oktober 2011) |